5 langkah yang anda perlu buat untuk atasi masalah kewangan dalam bisnes anda sekarang


Ada masalah kewangan dalam bisnes yang anda buat sekarang?

Relaks!

Jangan risau!

Anda sedang baca artikel yang, insyaallah dapat berikan kelegaan dalam menghadapi cabaran perniagaan tersebut.

Naik dan turun dalam bisnes adalah perkara biasa. Macam laut juga. Bukan selalunya tenang. Ada masa akan datang gelora. Jadi bertahan dan teruskan usaha.

Ada beberapa cara yang anda boleh buat untuk perbaiki keadaan kewangan dalam bisnes.

Sebagai peringatan, saya nak pesan pada semua peniaga kecil macam saya. Baca quote kat bawah ni

Masa terbaik untuk mulakan usaha betulkan kedudukan kewangan dalam perniagaan adalah ketika anda rasa tak ada masalah kewangan dan tak perlu lakukannya"

Ketika keadaan tenang tak ada masalah lah, anda perlu mulakan semua usaha pencegahan. Dalam keadaan tiada tekanan begitu, anda hanya perlu lakukan usaha sedikit demi sedkit sahaja, asalkan ianya konsisten. 

Contohnya peruntukkan simpanan bencana hasl dari keuntungan bisnes dalam satu akaun khas upamanya. Akan dapat bantu bisnes bila bencana melanda.

Begitu juga dengan amalan sistem pengurusan kewangan yang rutin setiap bulan untuk melihat penambah baikan dalam semua aktivitinya.

Untuk makluman, saya pun turut sama rasa goyang dalam keadaan sekarang. Melihat apa yang berlaku di sekeliling, menambahkan lagi rasa risau terhadap apa yang bakal berlaku di depan sana.

Bisnes yang saya buat adalah bisnes sokongan. Pelanggan sasaran adalah entiti perniagaan juga. Orang panggil 'B2B'. Ianya berbeza dari bisnes jenis 'B2C'.

Jenis bisnes yang saya buat ni, hanya wujud hasil daripada wujudnya bisnes asas seperti perkilangan dalam industri makanan atau keperluan asas. Mereka wujud terlebih dahulu, barulah saya muncul.

Dalam keadaan ekonomi mencabar seperti sekarang, pemilik bisnes asas akan tengok mana kos sokongan yang dia boleh cantas terlebih dahulu.

Bagi mereka, keutamaan adalah hanya untuk pastikan bisnes dapat hidup. Jika ada urusan yang jika tidak dilakukanpun, syarikat tetap boleh beroperasi, maka urusan itu masuk dalam kategori 'good to have' saja. Maknanya boleh KIV dulu sehingga keadaan pulih semula.

Jadi bisnes sokongan macam saya akan kena kesannya lebih awal.

JIka bisnes asas goyang, secara automatik, saya juga akan turut goyang. Kalau mereka buat aktiviti potong kos, tempiasnya akan terkena pada bisnes saya juga.

Bila semua bisnes asas goyang. Pekerja turut sama goyang. Dah tentu ramai yang hilang sumber pendapatan.

Aktiviti perbelanjaan orang ramai merudum turun. Akan jadi kesan berantai yang berpusing ke bawah. Makin lama, makin besar.

Dalam keadaan begini, kalau nak terus kekal relevan, wajib perhatikan kedudukan kewangan syarikat.

Berikut 5 perkara yang anda boleh buat.

#1. Cantas kos sebanyak mungkin

Ini merupakan cara paling pantas untuk tingkatkan keuntungan bisnes. 

Cuba lihat mana-mana kos yang boleh di kurangkan. Kalau boleh elakkan terus lagi bagus.

Anda tentu kata, "tak payah nak bagi tau la pasal cut cost ni!, semua orang tahu!"

Ya betul!

Semua orang tahu.

Perkara yang semua orang tahu ni lah yang majoriti orang tak ambil peduli. Lihat sahaja macam mana perbelanjaan peribadi anda sendiri sekarang. Tahu kena berjimat kan?

Tapi buat tak?

Dalam hati sendiri memang nak buat. Tapi desakan kawan-kawan datang, gagal juga. Kalau bukan kawan, keluarga pula. Banyak sangat faktor pendorong untuk tak buat.

Jika perbelanjaan sendiri pun susah nak kawal, apatah lagi perbelanjaan bisnes!

Oleh itu, urusan kurangkan perbelanjaan ini sebenarnya sentiasa relevan. Perlu sentiasa di ingatkan sampai bila-bila.

Semakin tinggi jumlah transaksi dalam bisnes, semakin banyak potensi kebocoran duit akan berlaku.

Buka semua laporan transaksi perbelanjaan anda dari awal tahun lalu hingga sekarang dan semak satu persatu.

Cari mana-mana kos yang anda rasa boleh dicantas.

Kalau tak pun, kurangkan.

Tanya diri samada perlu atau tidak kos itu ditanggung lagi oleh bisnes?

Samada kos itu keluar setiap bulan, setiap 3 bulan atau 3 kali setahun semuanya sama saja. Kos tetap kos. Kalau boleh cantas, terus cantas.

Atau mungkin anda perlu bincang semula dengan pembekal atau vendor. Nego harga semula, kata orang bisnes. Kalau tak boleh juga, buat tindakan paling akhir, cari pembekal lain yang lebih murah.

Kos macam mana yang boleh dicantas terlebih dahulu dengan segera?

Panduan asas nya adalah untuk lihat kos yang anda belanjakan buat kemudahan pelanggan, tetapi pelanggan lansung tak hargai.

Perbelanjaan begitu elok cantas segera.

Buat apa sibuk keluarkan duit, buat sesuatu yang orang lansung tak hargai! Tak ada apa-apa faedah untuk bisnes. Dan sudah pasti tak ada faedah besar sangat pada pelanggan. Tak perlu diteruskan amalan macam itu.

Satu lagi yang anda boleh tengok adalah perbelanjaan peribadi anda sendiri yang syarikat tanggung. Boleh buang atau kurangkan tak?

#2. Refinance atau susun pinjaman

Syarikat ada hutang ke tidak?

Kalau ada, harap bukanlah dengan Along!!!

Jika ada hutang dengan bank atau agensi kewangan kerajaan, anda boleh semak semula untuk kurangkan jumlah pembayaran ansuran itu. Segera berhubung dengan pihak berkenaan untuk melihat apa pilihan yang ada.

Boleh jadualkan semula ke tak?

Boleh kurangkan interest dengan ubah skim pinjaman ke tak?

Atau kalau tamatkan loan tu, buat full settlement kena denda ke tak?

Kalau anda jenis tak ambil hutang dari bank tapi selalu guna kad kredit, sila fikirkan semula perangai tu. Kosnya sangat tinggi. 

Kad kredit bukan pilhan terbaik untuk dapatkan akses kewangan perniagaan sebenarnya. Cari jalan lain.

Jika hutang kad kredit masih ada baki yang banyak tak berbayar, boleh bincang untuk ubah kepada pinjaman tetap yang rendah kosnya. Bayar bulan-bulan secara konsisten sampai habis.

Paling penting! jangan lah pi guna lagi kad kredit tu!

Jika selama ini anda hanya buat loan dari bank dan tak pernah cuba agensi bantuan kewangan kerajaan, ini masanya untuk berubah alih arah

Pergi panjat semua tangga agensi kerajaan yang ada dan mula berkawan baik dengan mereka.

Bermuka-muka demi kesejahteraan semua orang adalah satu amalan usahawan berjaya yang berorientasikan objektif !

#3. Percepatkan bayaran

Sila pastikan anda dibayar dengan pantas sebaik saja berlakunya jualan.

Lihat semula polisi hutang yang bisnes amalkan selama ini. Sediakan satu Polisi Hutang syarikat. Duduk, ambil pen dan rangka polisi yang perlu anda kuat kuasakan. Saya berikan idea kat bawah ni ..

Polisi pertama adalah, 'Jangan berikan hutang'

Jangan bagi pelanggan berhutang!

Jadikan itu moto bisnes anda dengan kadar segera.

Untuk laksanakan polisi itu, langkah awal adalah dengan menempah banner dan tulis besar-besar ..

TUNAI SAHAJA! – Tidak dibenarkan berhutang!”

www.bisneskecil.com

Jika tak boleh nak elak dari berikan terma kredit kepada pelanggan sila buat prosedur yang sesuai seperti berkut.

1. Kenakan syarat untuk tapisan

Kenakan syarat yang bersesuaian seperti pelanggan regular saja dan dengan jumlah yang dihadkan sahaja. 

2. Ambil serius

Serius dengan tempoh pembayaran yang anda tetapkan. Sentiasa jelaskan dan berikan reminder pada pelanggan. 

3. Pastikan semuanya bertulis hitam & putih

Tulis semua syarat itu dan berikan kepada setiap pelanggan untuk mereka baca, faham dan turnkan tandatangan!

4. Inbois sepantas mungkin

Keluarkan inbois dan hantar sebaik saja pembelian ditunaikan. Paling baik, serentak dengan penghantaran barang. Jangan tunggu hujung bulan baru nak terhegeh-hegeh buat dan hantar inbois. Masukkan semua terma hutang dalam setiap inbois.

5. Berhenti menjual

Jika ada pelanggan yang masih tak bayar setelah berakhir tempohnya, segera hentikan penghantaran selagi dia tak bayar. Jangan takut hilang pelanggan. Lebih baik hilang pelanggan yang jenis tak reti bayar awal daripada merana bisnes kencang tapi duit tak masuk! 

6. Serius dan tegas dalam aktiviti kutip hutang

Jangan sesekali terima alasan tak ada duit ketika kutip hutang. Bayar sedikit daripada tak bayar lansung. Duit tetap duit, samada sikit atau banyak. Ia akan berikan kesan kepada bisnes anda jika setiap pelanggan tak bayar RM50 dan semuanya adalah 1000 pelanggan macam tu!

7. Kenakan Deposit

Untuk pelanggan yang memang jenis lambat bayar, yang anda bersetuju. Sila kenakan deposit terhadap setiap pembelian mereka.

#4. Jangan berikan diskaun

Jika anda selalu berharap nak close deal dengan teknik berikan diskaun, segera tamatkan sikap sedemikian. 

Cari cara lain untuk close deal!

Jika anda cuba nak tingkatkan jualan dengan berikan diskaun, ertinya anda hanya ambil jalan untuk buat kerja lebih sedangkan hasil keuntungannya sama sahaja. Malah mungkin lebih rendah dari biasa!

Bukanlah satu idea yang bijak untuk buat dua kali ganda jumlah kerja sedangkan keuntung yang diperolehi sama saja.

Kecuali …

Jika anda buat strategi, berikan diskaun terhadap satu produk untuk tingkatkan jualan terhadap satu lagi produk yang untung keras. Apatah lagi produk yang nak dimurahkan itu memang dah mahu dilupuskan.

Itu barulah bijak namanya. Diskaun macam itu boleh saja diamalkan.

#5. Naikkan harga

Untuk lakukan idea ini anda terlebih dahulu perlu percaya bahawa orang buat keputusan untuk membeli bukan sebab harganya murah.

Orang setuju dengan apa saja harga yang ditawarkan sebab 2 perkara asas ini ..

  1. Dia yakin yang anda / syarikat boleh dipercayai - penampilan, rekod dan semua maklumat yang ada menunjukkan anda boleh dipercayai
  2. Dia faham faedah yang bakal diperolehi dengan jumlah duit yang dia keluarkan - selain dari produk, keistimewaan lain yang berkaitan diterangkan dengan jelas dan mantap tanpa ada selindung atau tipu tipu.
  3. Dia tidak risau pada kemungkinan apa yang dijanjikan tidak berlaku - Jika berlakupun, dia tau anda akan ambil tanggung jawab untuk selesaikannya.

Oleh itu, mantapkan komunikasi dalam aktiviti menjual anda.

Biar semua orang faham samada peringkat nenek mahu pun budak sekolah rendah. Jika anda mampu buat begitu, semua orang diantara 2 peringkat itu pasti akan faham jua.

Untuk naikkan harga, perhatikan dahulu bagaimana pesaing anda letakkan harga.

Jika servis dan kualiti produk anda sama saja dengan mereka, sila pastikan harga anda juga adalah sama atau lebih tinggi sedikit. Kurang dari itu adalah tidak bijak.

Rangka produk super premium untuk pelanggan sasaran anda. 

Memang ada pelanggan yang suka pilih produk macam itu sebab mereka banyak duit dan tak kisah untuk dapatkan super premium punya produk.

Peringatan!

Jangan fikir nak naikkan harga terhadap semua produk atau servis yang anda tawarkan. Memang ‘pelanggan setia’ akan marah dan rasa tidak dihargai.

Pilih beberapa produk saha terlebih dahulu. Ubah pakej tawarannya supaya nampak jadi satu produk baru lain yang istimewa.

Buat satu persatu sehingga akhirnya anda ubah kesemua produk yang ada selama ini dalam bisnes anda.

Tips Kewangan Tambahan

Satu lagi cara bijak untuk pertingkatkan kewangan bisnes adalah dengan memilih untuk tingkatkan produk yang paling tinggi keuntungannya dalam bisnea anda.

Untuk itu, anda perlu tahu setiap gross profit margin produk yang ada dalam bisnes anda sekarang. Susun antara yang paling tinggi untung turun ke bawah kepada yang paling rendah keuntungannya.

Bila dah ada senarai tersebut, rangka projek pemasaran untuk 3 produk paling menguntungkan. Push jualannya semaksimum mungkin.

Dalam masa yang sama, fikirkan semula produk yang paling rendah keuntungannya. 

Perlukah diteruskan?

Boleh ubah ke tidak?

Biasanya produk rendah untungnya adalah jenis yang paling rendah risiko untuk pelanggan baru mencuba. Produk itu juga mudah didapati di mana-mana. Anda terpaksa sediakan juga prodk tersebut sebab janggal jika pelanggan nak beli tapi tak ada.

Anda boleh gunakan produk tersebut untuk tarik pelanggan baru. Dalam masa yang sama, wajib up-sell. Jual produk yang menguntungkan.

Perbaiki tahap kewangan bisnes anda

Saya dah kongsikan 5 cara yang anda boleh buat segera untuk perbaiki masalah kewangan bisnes yang anda lakukan sekarang. Siap tambahan satu bonus lagi.

Setakat ni, itu saja yang sempat saya fikirkan. nanti kalau anda idea lain, saya akan tulis lagi.

Saya yakin dengan semua cara itu, perubahan insyaallah akan berlaku. Kewangan bisnes akan berubah menjadi lebih baik secara pantas dan kemas.

Saya doakan bisnes anda berjalan lancar dan selamat serta menguntungkan. Juga bertambah makmur sehingga semua cubaan wabak kembali tenang.

Sila doakan juga agar bisnes saya berjaya. Terima kasih saya dahulukan atas doa anda dan jangan lupa kongsikan artikel ini pada kawan-kawan bisnes yang anda kenal.

Post a Comment

Previous Post Next Post