Kenapa susah dapat pelanggan baru. Kenapa susah jual produk baru


Semalam saya baca satu buku pemasaran yang menarik. Buku itu ditulis oleh Seth Godin.

Dia terangkan tentang satu perkataan.

‘Pattern’

Dalam Bahasa Malaysia, perkataan itu diterjemahkan sebagai ‘Corak’. Dalam Bahasa Indonesia pula, mereka terjemah jadi ‘Pola’.

Saya rasa selesa pakai perkataan Pola. Itu apa yang penulis maksudkan bila sebut perkataan ‘Pattern’, dikaitkan dengan pemasaran.

Pola yang ngam

Pola yang ngam berlaku dalam kebanyakan hidup anda dan saya. Majoriti manusia lebih cenderung, lebih suka dengan keadaan sedemikian.

Maksudnya, sesuatu berlaku seperti mana kebiasaan. Pagi pekena teh tarik dan roti canai kat kedai mamak. Tengahari makan nasi campur. Petang makan kuih dan kopi o. malam makan nasi berhidang kat rumah bersama keluarga.

Semua yang saya sebut kat atas itu berada dalam keadaan pola yang ngam. Tiada kekacauan dalam amalan atau gaya hidup anda dan saya.

Produk atau khidmat yang dijual kena dengan pola yang ngam adalah lebih mudah.

Kedai makan tengahari yang jual nasi dan ais sirap limau lebih mendapat ramai pelanggan berbanding kedai makan tengahari yang tawarkan pasta atau piza (sekarang mungkin dah lebih mudah dari dahulu penerimaan makanan Italy ni)

Satu lagi contoh. Jika anda dah biasa makan dan minum pada beberapa kedai yang sama sejak bertahun yang lalu, agak sukar untuk ubah jadikan anda sebagai pelanggan di kedai yang baru.

Mungkin dia masuk, pekena sekali dua atas ajakan kawan. Tapi kemudiannya dia akan kembali ke pola ngam semula. Iaitu ke kedai yang dia dah biasa.

Itu maksud pola ngam

Pola tak ngam

Jika anda faham makna pola ngam. Maka tak perlu saya terangkan lagi makna pola tak ngam.

Ini adalah satu gangguan.

Pola atau amalan yang baru. Rasa tak selesa. Tak ngam.

Bila anda baru buka kedai. Baru perkenalkan produk yang tak pernah ada lagi di pasaran. Luar biasa hebat tahap manapun, susah nak pecah masuk pasaran.

Kalau setakat biasa-biasa punya promosi. Tak desak betul-betul, sebab anda rasa produk tu hebat sangat. Dapat selesaikan masalah yang banyak, anda akan kecewa dengan respon dari pengguna.

Bukan sebab produk anda tak bagus.

Tidak sama sekali!

Hanya disebabkan kesukaran untuk ubah pola yang ngam melekat pada amalan kebanyakan pengguna.

Itu saja.

Mereka risau risiko yang perlu ditanggung jika beranikan diri mencuba perkara baru. Sekalipun risiko itu sebenarnya tak wujud. Tetap masih sukar nak pecah pola yang dah ngam.

Mereka tak mahu duduk dalam keadaan pola yang tak ngam.

Pola tak ngam pasaran kecil

Untuk perkenalkan sesuatu yang pola tak ngam, perlu kepada satu kekuatan yang besar. Mungkin tahap paksaan.

Hanya berlaku bila berlaku satu keadaan yang luar biasa. Macam pandemik covid-19 ini.

Wabak covid-19 adalah ajen paksaan yang menolak produk pola tak ngam kepada pengguna. Macam penggunaan Zoom, Google Meet, dan lain-lain seumpamanya.

Tanpa covid-19, populariti semua kemudahan itu sudah tentu tidak sehebat sebagaimana yang kita lihat sekarang.

Jadi, krisis sebenarnya adalah satu peluang. Ada kuasa paksaan yang mampu menolak naik pola tak ngam dicuba oleh pasaran.

Satu lagi cara untuk pasarkan produk atau servis yang tak ngam polanya adalah dengan memasarkan kepada pasaran yang kecil.

Memang ada segelintir pengguna yang jenis suka lawan arus.

Pola ngam bagi mereka adalah sesuatu yang tak ngam bagi kebanyakan orang. Dalam bahasa nakalnya, mereka ialah pemberontak.

Biasanya, dalam keadaan biasa. Tanpa ada kuasa paksaan seperti contoh yang saya sebut kat atas tadi, anda terpaksa harapkan para pemberontak ini sebagai pengguna awal produk anda.

Dalam suasana teknlogi maklumat, penggunaan media sosial yang luas, untuk sampaikan mesej anda kepada pemberontak ini adalah mudah berbanding dahulu.

Perlu tahu siapa mereka, di mana tempat berkumpul dan apa yang disukai mereka. Saluran media mana kegemaran mereka dan lain-lain lagi, untuk anda salurkan tawaran.

Itu lebih mudah untuk berjaya.

Moga artikel ini bermanfaat.

Post a Comment

Previous Post Next Post