Keliru antara 'takut' vs 'bahaya' buat anda tak henti kerja makan gaji untuk berniaga


Ada seorang sepupu saya yang tak sanggup naik kapal terbang. Kalau belanja free pun dia tak akan mau. Semua itu berpunca dari rasa takut bila bayangkan kapal terbang jatuh terhempas.

Memang setiap kali ada berita kemalangan kapal terbang, sesiapa saja akan rasa ngeri. Kalau ada 300 penumpang dalam kapal terbang tu, biasanya semua akan diumumkan meninggal. Kejadian kapal terbang terhempas dan penumpangnya semua selamat adalah satu perkara luar biasa.

Boleh dirumuskan, yang sepupu saya itu rasa, naik kapal terbang adalah satu perkara yang merbahaya.

Tetapi, sepupu saya tu tak kisah naik kereta. Dia boleh pergi balik dengan kelajuan 90 km/sejam atas jalanraya tanpa rasa risau. Samada perjalanan jarak dekat, mahupun jarak jauh dia selesa saja naik kereta.

Boleh dirumuskan juga yang sepupu saya tak rasa bahawa naik kereta tu satu perkara yang merbahaya.

Sepupu saya bukan keseorangan dalam bab tak mahu naik kapal terbang ni.

Ramai lagi yang ada perasaan takut sebegitu sampai mereka tak pernah naik kapal terbang. Takut betul mereka akan kemalangan udara. Tapi, macam sepupu saja juga, mereka tidak takut naik kereta atas jalanraya.

Beza antara takut dan merbahaya

Kalau saya berikan fakta statistik kemalangan yang membandingkan antara naik kereta dengan naik kapal terbang, anda tentu akan rasa pelik.

Cuba lihat data kemalangan yang boleh membawa maut antara kapal terbang dengan kereta di bawah.

Dari kajian, kemungkinan anda akan mati kemalangan atas jalan raya adalah 86 kali lebih tinggi daripada kemungkinan anda akan mati terlibat dalam kemalangan kapal terbang.

Secara mudah, naik kereta adalah 86 kali jauh lebih bahaya berbanding naik kapal terbang.

Maksudnya sepupu saya kat atas tadi takut naik kapal terbang bukan sebab perkara itu bahaya. Kalau dia benar-benar takut kepada perkara yang merbahaya, adalah lebih logik untuk dia jangan naik kereta.

Ada kekeliruan antara takut dengan bahaya kat situ!

Orang barat takut ikan jerung

Kalau di barat pulak, maksud saya di Amerika, para ibubapa tak benarkan anak mereka pergi ke laut ketika musim panas. Takut di baham ikan jerung.

Tapi para ibubapa yang sama akan pastikan anak-anak mereka pergi masuk ke dalam ‘tab mandi’ untuk bersihkan diri setiap hari.

Bila tengok statistik kematian disebabkan tab mandi di Amerika, secara purata, setiap hari akan ada seorang yang meninggal disebabkan tab mandi. Sedangkan secara purata, hanya seorang saja yang mati dalam setahun dibaham ikan jerung.

Dari segi bahaya, sudah tentu tab mandi jauh lebih bahaya berbanding ikan jerung. Tapi dari segi takut, terbalik pulak!

Orang lebih takut ikan jerung yang kurang berbahaya tu dan tak takut kepada tab mandi.

Fikir semula kenapa anda takut

Kedua maklumat yang saya berikan kat atas tu adalah untuk anda fikirkan semula semua perkara yang membuatkan anda rasa takut selama ini.

Rata-rata rakyat Malaysia tentu tahu berapa jumlah orang mati kemalangan atas jalan raya setiap tahun.

Dari statistik PDRM yang kumpulkan maklumat dari tahun 2011 hingga tahun 2019, secara purata, sebanyak 1,378 kemalangan berlaku setiap hari. Dari situ, seramai 17 orang mati akibat kemalangan jalan raya setiap hari di negara kita.

Tapi pergilah tanya sesiapa saja atas jalanraya samada dia takut naik kenderaan atas jalanraya atau tidak. Anda akan jumpa lebih ramai yang kata dia tak berapa takut.

Kalau pergi tanya pada orang yang sama samada dia takut hantu atau tidak, kemungkinan besar dia akan angguk kepala tanda setuju. Kalau nak kata tak takut tentu dia risau kalau-kalau hantu akan taram dia sebab berlagak dan cakap besar.

Dalam bab hantu ni, saya tak pernah dengar lagi ada orang mati kena cekik dengan hantu. Kecuali dalam cerita seram filem adalah. Dalam dunia sebenar tak ada.

Sepatutnya orang Malaysia, semua rakyat negara kita tak takutkan hantu. Lebih baik takut naik kenderaan atas jalanraya berbanding takutkan hantu.

Hantu tidak merbahaya sedangkan kenderaan atas jalanraya adalah sangat-sangat merbahaya.

Tapi itu semua tidak berlaku. Hantu ditakuti lebih, berbanding naik kenderaan atas jalanraya.

Berhenti kerja juga tidak merbahaya

Ada seorang kawan saya jadi pensyarah dah lama. Dia juga sangat idamkan untuk berhenti kerja dari jadi pensyarah itu untuk kerja sendiri atau berniaga.

Tapi kalau saya tanya dia kenapa masih tak berhenti, tentu jawapan sama akan diberikan. Masih tak ada kekuatan. Ertinya takutlah tu!

Tapi dia juga ulang alik pergi kerja samada dengan motosikal atau dengan kereta.

Amalan naik kenderaan itu, terutamanya motosikal, tak pulak dia takut. Sedangkan kemungkinan untuk dia mati kemalangan atas jalan raya adalah sangat tinggi.

Kemungkinan dia akan mati sebab berhenti kerja makan gaji dan mulakan perniagaan nya sendiri pula saya yakin sangat nipis. Nak kata tidak ada lansung saya tak pasti sebab masih tak ada kajian rasmi. Tapi saya masih belum dengar ada orang mati sebab berhenti kerja makan gaji untuk berniaga lagi setakat ini.

Semua itu membawa maksud bahwa berhenti kerja makan gaji adalah lansung tidak merbahaya.

Kalau anda berani naik kereta pergi balik ke tempat kerja. Apatah lagi berani naik motosikal celuk kiri kanan dengan kelajuan lebih dari 90 km/sejam atas jalan raya, anda sepatutnya tak ada masalah lansung untuk letak jawatan berhenti kerja dan berniaga.

Betul tak?

Tapi kenapa anda masih tak berani berhenti kerja?

Sekarang saya harap anda setuju dengan saya bahawa sebenarnya, anda memang benar-benar keliru antara takut dengan merbahaya.

Tetapi jika anda memang selesa makan gaji, tak apalah. Tak ada salahnya makan gaji. Saya hanya lemparkan persoalan ini kepada anda yang memang sangat teringin berniaga tapi masih ada rasa takut untuk berhenti kerja dan berniaga saja.

Post a Comment

Previous Post Next Post