Himpun duit sampai cukup, henti kerja makan gaji awal - Macam mana nak buat

Saya ada kongsikan satu pergerakan antarabangsa yang dinamakan FIRE dalam page facebook hidupringkas baru-baru ini. Tengok kat pautan ni.

Fire adalah singkatan pendek kepada ‘financial independence, retire early’

Untuk me-Malaysia-kan perkataan itu saya jadikan ‘cukup duit, pencen awal’

Ramai rupanya yang ada semangat nak buat macam tu. Anda juga tentu idamkan perkara sama seandainya sekarang ni masih kerja tetap makan gaji.

Kalau sekarang ni makan gaji, nak cuba pencen awal bila dah cukup duit nanti, secara teorinya bukanlah payah sangat nak buat. Saya berikan langkah paling asas untuk buat macam tu kat bawah ni.

#1. Tentukan berapa umur nak pencen

Sekarang umur berapa?

Kalau dah masuk lewat 50-an, itu dah kira berumur sikit walaupun bukanlah tua sangat. Standard orang sekarang tak sama macam orang dulu. Mungkin moto ‘life start at 40’ kena ubah sekarang jadi ‘life start at 50’

Saya lihat rata-rata kawan-kawan yang masuk 50 ke atas masih gagah bergaya. Masih pakai baju dan seluar ketat. Masih giat bina badan dan ligat bersukan.

Berbeza dengan masa kat kampung dulu. Umur 50-an dah nampak sangat tua. Pakaian rasmi mereka bila masuk umur tu adalah kopiah, baju melayu dan kain pelikat. Masa banyak dihabiskan kat surau atau masjid jadi ahli sukarela buat khidmat untuk aktiviti kemasyarakatan dan keagamaan.

Melalut pulak .. saya kembali ke topik asal semula.

Tentukan berapa umur anda nak berhenti kerja makan gaji terlebih dahulu bermula dari sekarang. Berdasarkan kumpulan FIRE yang saya sebut di atas, mereka sasarkan untuk berhenti kerja makan gaji ketika umur masih muda.

Maksudnya lebih awal dari umur yang membolehkan anda pencen. Kat negara kita umur pencen adalah 60 tahun.

Bukan bermakna masuk 60 tahun wajib pencen. Ia bermaksud selagi umur tak capai 60 tahun, majikan tak boleh nak berhentikan anda untuk pencen. Undang-undang umur 60 tahun pencen adalah untuk lindungi diri anda dari disuruh balik rumah jangan datang kerja lagi.

Jika anda ada impian untuk berhenti kerja makan gaji awal, maksudnya nak lakukan perkara itu sebelum masuk umur 60 tahun. Tak kisah samada ketika umur 30, 40, atau 50 tahun. Bergantung kepada berapa umur anda sekarang.

Yang pastinya jangan sampai lebih 60 tahun pun masih terpaksa ulang alik pergi kerja makan gaji lagi. Kalau tak teruskan kerja, tak ada sumber untuk sara kehidupan dan segala tanggungan yang ada. Itu yang mahu dielakkan.

#2. Belajar urus kewangan

Bila dah tahu nak pencen umur berapa, jangan lengah dari lakukan perkara penting no 2 ni. Mula belajar urus kewangan.

Tak boleh main bedal beli ikut suka. Tak boleh tak berkira lagi macam selalu. Mula amalkan hidup dengan ada bajet.

Saya kongsikan sikit pasal bajet ni yang banyak ubah hidup saya masa mula bisnes dulu.

Masa makan gaji, perkataan bajet tak ada dalam kamus hidup. Yang saya ingat masa tu hanyalah belanja saja. Ada saja nak beli. Jika tak cukup duit pakai kad kredit sampai habis limit. Bila kerap belanja lebih, bank akan tambah lagi limit kredit. Boleh belanja lagi. Kemudian tambah jumlah kad kredit pulak. Sampai ada lebih dari 2 kad kredit.

Hanya bila berhenti kerja makan gaji barulah saya mula buat bajet. Niat awal hanyalah nak pastikan saya tak ada hutang kad kredit lagi.

Bukan payah pun buat bajet. Saya pakai excel saja. Buat unjuran setiap bulan dari Januari ke December, jumlah duit masuk dan berapa belanja atau duit yang perlu dikeluarkan.

Masa itulah baru saya tahu bahawa formula asas yang sangat berkesan untuk urus duit adalah dengan pastikan duit masuk sentiasa lebih dari duit keluar. Dari aktiviti bajet anda dapat lakukan semua itu.

Jika yang keluar lebih dari masuk, samada anda perlu tambah lagi jumlah duit masuk. Atau kalau tak boleh, kena rendahkan lagi jumlah duit keluar. Formula yang sangat mudah.

Cuba buat sekarang, jika anda tak pernah buat bajet lagi. Pergi buka laptop dan pakai excel untuk masukkan kiraan itu. Kelebihan excel adalah anda boleh campur tolak secara automatik guna formula. Jadi mudah buat simulasi. Semua akan nampak lebih jelas bila anda bajet secara bulanan tarik sampai 2 atau 3 tahun ke depan.

#3. Rancang peningkatan nilai diri

Ini satu lagi perkara penting. Jangan puas dengan kemahiran atau kelayakan yang anda ada sekarang. Tambah lagi supaya nilai anda meningkat.

Maksud saya, ambil kelas atau pergi belajar ilmu baru atau kemahiran baru yang relevan dengan kerja anda sekarang. Biasanya kerja makan gaji ni ada kelebihan untuk dapatkan perkara itu secara percuma.

Majikan yang baik sangat suka jika pekerja mereka suka tambah kemahiran. Ini akan tingkatkan produktiviti staff dan mampu lonjakkan prestasi syarikat atau jabatan di mana anda kerja. Ambil peluang itu dan sapu semua peluang yang ada dengan lahap tak usah nak malu-malu.

Ada macam-macam tawaran sekarang. Kursus pendek. Kursus jangka panjang part time sijil profesional dan lain-lain lagi seumpamanya. Semua itu dapat dipergunakan walaupun anda dah berhenti kerja nanti. Jadi tak rugi untuk buat sekarang.

Aktiviti ini juga dapat buka peluang naik pangkat. Seterusnya ada peluang tambah banyakkan lagi jumlah gaji. Kalau ada peluang loncat tempat kerja pula, jumlah peningkatan gaji adalah jauh lebih tinggi.

Semua itu akan bantu cepatkan proses cukupkan duit dan pencel awal yang anda sedang rancang sekarang.

#4. Mula tanam disiplin menyimpan

Dalam bajet yang anda buat di atas tadi, pastikan ada lebihan untuk dijadikan duit simpanan. Itu tidak termasuk duit epf yang anda potong secara wajib. Maksud saya jangan anggap epf itulah satu-satunya duit simpanan anda.

Petua ringkas yang disyorkan dalam buku ‘the richest man in Babylon’ adalah untuk simpan 20% daripada apa saja duit yang anda dapat. Samada gaji, duit kerja part-time, duit durian runtuh, bonus atau apa saja.

Saya cadangkan untuk jadikan angkat 20% itu angka wajib. Buatlah apa saja supaya anda dapat simpan 20% tu sekarang. Kemudian cuba usahakan untuk tingkatkan lagi peratusan itu.

Dalam satu perkongsian ahli kumpulan Fire yang saya ada terbaca, dia simpan 50% dari pendapatannya setiap bulan untuk persediaan pencen awal!. Kalaua dna boleh buat macam tu, memang terbaik!.

#5. Jadi pakar jimat kos

Apa saja yang anda rasa perlu beli sentiasa pertimbangkan terlebih dahulu soalan berikut

  • Kalau tak beli boleh tak? Perah otak cari alasan yang supaya anda tak perlu beli. tanya kawan yang jenis berkira dan kedekut. Jangan pergi tanya kawan kaki belanja atau ada taste tinggi.
  • Jika kena ada juga barang atau perkara tersebut, cuba tanya samada boleh pinjam atau sewa sahaja.

Ambil kesempatan untuk pakai benda free sahaja. Contohnya bila ada kenduri nasi bungkus kat masjid, pergilah ambil. Lepas makan tengahari anda hari itu. Tak payah la nak jadi macho atau kononnya nak bagi orang susah sahaja makan. Melainkan terang-terang makanan itu dikhaskan untuk orang susah.

Jika memang orang nak buat kenduri, semua orang boleh makan samada kaya atau miskin. Pergi ambil dan makan. Perut kenyang dan jimat duit.

Korbankan keselesaan untuk dapatkan kelebihan berjimat cermat. Fokus kepada objektif. Lihat kepada fungsi setiap barang dan bukan lihat kepada status yang dijanjikan oleh barang.

Semua itu hanya contoh untuk jadi pakar jimat. Ada banyak lagi ruang untuk anda berjimat cermat. Peka dan belajarlah secara berterusan untuk mahirkan diri anda jimatkan kos tanpa rosakkan kualiti hidup anda.

Jumlah duit yang anda perlu bila pencen

Dalam bab berapa perlu ada duit bila pencen nanti, memang sangat subjektif. Lain orang lain keperluannya.

Bergantung kepada tahap kesihatan anda. Semak keturunan anda samada ada penyakit yang berkaitan dengan genetik atau tidak. Juga gaya hidup anda sekarang, merokok atau tak. Gemuk gedempul atau fit. Kaki makan tak kenal pantang atau tidak.

Jika masih muda, mula serapkan gaya hidup sihat dari sekarang. Kalau dah agak berumur, perlu ubah gaya hidup juga. Semua itu bakal memberikan kualiti hidup yang lebih tinggi untuk anda nikmati di masa yang akan datang, Insyaallah.

Keperluan juga bergantung kepada lokasi. Kalau anda ok untuk tinggal diluar bandar, kos sara hidup di sana adalah sangat rendah. Jadi bila pencen bawa semua keluarga anda pindah duduk kampung sana.

Anda sendiri tahu dan boleh rancang semua itu. Apapun, buat senarai yang saya kongsikan kat atas tu terlebih dulu.

Bila semua itu dah berjalan baik, anda boleh cari banyak lagi maklumat untuk perancangan waktu pencen anda nanti, macam mana nak buat. Apa aktiviti yang nak dilakukan dan kat mana nak duduk dan sebagainya ..

Tips untuk yang kerja dibandar dan ada niat balik kampung – Jika ada peluang beli rumah awal, belilah. Duduk kat rumah tu masa makan gaji dan berkeluarga. Anda akan dapat upgrade dari rumah kos rendah kepada rumah teres bila harga rumah yang dimiliki naik. Kemudian bila pencen nanti, jual rumah kat bandar bawa duit balik kampung beli tanah kat sana. Itu juga bantu tambah jumlah duit masa pencen nanti dalam jumlah yang banyak!

Post a Comment

Previous Post Next Post