Cerita saya mulakan bisnes pest control tanpa ada pengalaman dalam industri


Hidup ini satu perjalanan yang singkat ..

Artikel kali ni nak cerita pengalaman saya mulakan bisnes pest control lebih 20 tahun dulu dengan lansung tak ada pengalaman dalam industri yang sama sebelum itu.

Mungkin anda selalu dengar nasihat. Kalau nak mulakan bisnes, elok buat bisnes yang anda ada pengalaman tentangnya. 

Perlu juga ada minat. 

Itu semua akan jadi pelincir untuk mudahkan perjalanan yang sangat berliku ketika berniaga nanti.

Saya juga selalu akan berikan nasihat macam tu sekarang. Sebab dah lalui pahit getirnya meraba dalam gelap sampai terantuk baru nak sedar depan ada dinding.

Masa mula nak berniaga dulu, tak ada orang nak berikan panduan. Jadi main redah saja. Buat muka konfiden sampai semua orang rasa saya tahu apa yang saya buat.

Saya cuba kongsikan pendedahan dari awal terlebih dahulu. Supaya anda yang baca dapat gambaran keseluruhan proses nak berniaga dengan lebih mendalam.

Belajar keusahawanan di ITM Shah Alam

Ini pendedahan pertama saya dalam ilmu keusahawanan atau perniagaan. 

Masa kat ITM, saya ambil subjek pilihan, belajar tentang keusahawanan dan perniagaan.

Semua orang yang masuk kelas keusahawanan akan diberitahu yang langkah pertama nak bisnes adalah kena buat Rancangan Perniagaan. 

Itulah yang mula-mula pensyarah kat ITM beritahu.

Saya perah otak untuk usahakan sampai siap kertas kerja perniagaan yang lengkap.

Semua cara nak buat kertas kerja ada saya kongsikan kat blog ini satu persatu. 

Macam yang saya kongskan, itulah Kertas kerja yang saya kena buat. Dari mukadimah sampai ke rancangan kewangan, unjuran untung dan rugi, operasi dan semua rancangan pemasaran kena tulis dalam RP tu.

Bukan main buat macam tulis karangan Bahasa Malaysia. 

Tapi kena turun padang, pergi tanya dan dapatkan maklumat dari pengusaha dalam industri yang sama.

Semua kertas kerja itu akan dibentangkan kepada pensyarah. Dia akan korek dan korek nak pastikan yang saya tulis itu adalah berdasarkan kajian dan penyelidikan.

Saya mulanya nak buat bisnes logistik. Nak usahakan khidmat angkut barang dengan lori.

Kena cari syarikat logistik atau Trucking yang ada kat Shah Alam. Saya jumpa beberapa syarikat milik orang Cina yang sederhana besar. Buat temujanji dan usaha cari maklumat.

Apa yang saya dapat dari mereka, adalah nasihat, jangan buang masa nak buat kertas kerja bisnes trucking ni sebab atas kertas tak akan pernah untung.

“Kalau ikut kertas, bisnes ni tak boleh buat. Jadi nak buat kertas kerja buat apa?”

Nasihat seorang taukeh Cina

Itu nasihat seorang taukeh Cina pada saya ketika soal jawab bisnes yang dia buat kat pejabatnya. 

Ayat dia menghantui saya sehinggakan last minute, saya batalkan projek tu dan ubah kertas kerja buat bisnes jual santan segar.

Ambik habuan. 

Mudah dan pantas untuk disiapkan dan bentangkan kepada pensyarah. Masa nak tukar projek pun pensyarah dah warning yang saya tak kan sempat habiskan kertas kerja dalam masa yang suntuk.

Tapi saya degil dan ubah juga sebab fobia nak cuba projek logistik yang saya dah rasa hampir mustahil untuk dilengkapkan.

Belajar pasal unjuran kewangan

Dalam semua perjalanan siapkan kertas kerja tu, satu-satunya perkara yang sangat bermanfaat yang saya dapat adalah tentang unjuran kewangan bulanan yang perlu disiapkan sampai betul.

Walaupun sebenarnya saya tak berapa faham sangat, tapi hasil dari bantuan kawan-kawan yang tahu pasal akaun, saya siapkan juga dalam keadaan separa faham.

Walaupun separa faham, masih berguna sebagai pendedahan awal. Sekurangnya bila tengok benda tu saya tahu yang itu adalah unjuran kewangan.

Lepas itu masa mula buat bisnes betul-betul, buat sekali lagi unjuran kewangan bersama kawan. Unjuran bulanan untung dan rugi bisnes yang kami rancang. 

Untung kawan saya tu jauh lebih faham sebab dia memang belajar akaun.

Masa itulah baru saya faham lagi separuh yang tak faham masa belajar kat ITM dulu.

Projek sampingan kena jual kerepek

Satu lagi perkara yang bagus masa buat subjek keusahawanan tu adalah kena jual kerepek. 

Itu latihan praktikal yang saya rasa jauh lebih berguna dari buat kertas kerja tadi.

Kami diberikan target untul jual krepek dalam kuantiti yang banyak untuk dapat markah. Kalau lepas sasaran, lulus.

Itu kerja mudah sebenarnya.

Mulanya saya jual secara terus, usung guni kerepek kat pekan cuba jual kepada sesiapa saja yang saya jumpa seorang demi seorang. 

Banyak juga yang terjual.

Buat macam itu saja dah dapat sasaran. Tapi saya nampak ada potensi buat duit sampingan.

Saya jual lebih jauh dari sasaran sebab duduk kat asrama pelajar memang macam tikus yang nak asah gigi. Wajib ada benda mengunyah sepanjang masa.

Masa itu saya dah amalkan konsep self-servis.

Saya war-warkan kat semua orang yang saya ada jual keropok. 

Cara nak beli mudah saja. Masuk dalam bilik saya, ambil keropok sebungkus dan masukkan duit dalam kotak yang disediakan.

Berkarung-karung kerepek saya habis. Boleh tahan juga duit dapat masa tu.

Satu hari saya balik dari kelas dan dapati habis duit saya kena curi. Ada pelajar nakal yang masuk ambil krepek dan belasah sekali semua duit.

Saya geram tapi taklah sedih sangat sebab memang dah jangka itu akan berlaku. Memang itu risikonya jika buat andaian semua orang adalah baik hati.

Saya buka laci nak ambil rokok nak hisap sebab nak hilangkan rasa marah ..

Alangkah terkejutnya saya ….. !!!

Rokok Dunhill yang saya baru beli sekotak, baru ambil hisap sebatang telah turut sama dicuri!

Haaaa! Itu memang buat saya rasa sangat sedih. 

Duit hilang semua masih ok lagi. Tapi hilang rokok sekotak ketika saat saya memerlukannya nak hisap adalah sesuatu yang sangat berat ketika itu.

Selepas itu saya berhenti dari jual krepek. Takut ada lagi kejadian orang masuk bilik dan curi rokok saya!. 

Punya sesat cara berfikir masa tu!

Projek bisnes serius pertama gagal

Bila dah selesai belajar, saya mula cari kerja. 

Masa itu tak ada hasrat nak berniaga lagi. Cuma fikir nak cari duit bagi kat mak. Juga nak cuba dapat kerja bagus stabil, mengorat anak dara orang dan nak kahwin bila dah ada modal.

Itulah fikiran awal yang tertanam dalam benak kepala saya ketika itu. 

Saya punya cara pemikiran normal seperti hampir kebanyakan orang. Bisnes bukanlah satu kerja yang mendapat tempat ketika itu. Terutamanya jika nak kahwin dengan anak dara orang.

Hasrat nak berniaga memang ada sedikit. Sebab itu saya ambil subjek keusahawanan tadi. Buat persediaan manalah tahu kalau-kalau satu hari nanti saya nak berniaga.

Tapi bukan dalam masa terdekat dan bukan ketika usia masih muda.

Kerja satu dua tempat cari pendedahan, akhirnya dapat kerja yang boleh dikatakan stabil dan bagus. 

Saya dapat kerja di syarikat buat kenderaan, Inokom kat Padang Meha, Kulim Kedah.

Masa itu saya rasa akan lama kat situ dan nampak macam ada peluang bina kerjaya dalam dunia automotif pembuatan.

Tapi perjalanan hidup saya memang dah tertulis. 

Masa itulah timbulnya perancangan nak buka kilang buat alat ganti barang automotif.

Ditambah dengan keadaan ekonomi yang sangat suram masa tahun 1997. Ada peluang ambil VSS. 

3 kali saya minta nak ambil VSS dan akhirnya dapat.

Perancang utama projek bisnes saya ketika itu masih teruskan kerjanya kat situ. Dia akan susul kemudian selepas saya berhenti, usahakan projek dan jayakannya. Baru dia akan berhenti dan turut serta sepenuh masa.

Masa itu kami buat perancangan yang teliti walaupun tak ada kertas kerja. 

Sebab semuanya adalah dalam kepala. Perancang utama memang berpengalaman luas dalam automotif parts development. 

Ada pelabur pula yang suntik duit.

Semuanya nampak macam lancar.

Tapi belum sempat kilang dibuka, produk pun tak pernah buat sebijikpun, semua perancangan dan usaha dihentikan. 

Ekonomi makin teruk dan pelabur sendiri dah tak bleh bertahan dengan bisnesnya sendiri.

Akhirnya saya terkapai seorang diri. Kerja dah tak ada. Projek bisnes semuanya hancur. Duit VSS dan lesap.

Nasib baik belum kahwin masa itu. 

Dan nasib tak baik juga sebab hancur harapan nak kahwin awal. Bermula dari situ saya tak kahwin-kahwin dalam masa yang lama. 

Siapa nak orang macam saya ketika tu?

Perancang utama projek bisnes tu sampai sekarang masih kerja! 

Dia bina kerjayanya kat situ dan saya mula bertindak untuk cari jalan nak teruskan hidup ..

Sambung nanti dalam artikel seterusnya.

Part 2

Selepas letak jawatan dari Inokok, saya dan 3 lagi orang pekerja yang baru direkrut pergi ke Langkawi. Kami duduk di situ lebih sebulan untuk belajar teknik buat bot dengan menggunakan fibreglass.

Dah selesai latihan tu, kami balik untuk mulakan kilang buat barang dengan fibreglass tu. 

Tapi malangnya keadaan ekonomi makin merosot dan akhirnya pelabur utama tarik brake kecemasan.

Fasa belajar teruskan kehidupan

Masa jumpa untuk beritahu keputusannya, pelabur tu rasa kesian dengan saya sebab dah terperangkap dalam keadaan macam tu.

Saya tenang saja lansung tak risau.

Sebenarnya, lebih kesian padanya. Duit dia habis dengan projek sekerat jalan.

Itulah yang saya beritahu padanya.

Tapi dia kata pasal duit tak perlu nak fikir. 

Duit datang dan pergi. Kalau dia tak mencuba pada projek itu, duit tu akan hilang ke perkara lain jugak.

“Orang berniaga macam itulah ..”, selamba saja dia beritahu saya.

Saya kagum dengan sikap lansung tak sayang duit untuk mencuba, yang dia tujnjukkan.

Itu jadi pelajaran awal saya terhadap cara orang berniaga fikir.

Selesai dengan semua itu, dalam keadaan tak tau nak buat apa, saya tetapkan satu minggu untuk mula minta kerja dari mana-mana tawaran kerja kosong yang saya nampak sesuai kat akhbar.

Saya buat surat dan kirimkan semua permohonan.

Masuk minggu kedua saya mula keluar pagi-pagi cari kawan. Duduk nga-nga kat rumah tak akan membawa apa-apa hasil.

Lainlah sekarang. Dengan internet yang meluas, duduk depan komputer kat rumah mampu jana pendapatan 4 atau 5 ribu sebulan senang-senang.

Masa itu dah ada internet tapi bukan macam sekarang. Belum secara meluas lagi. 

Nak masuk internet kena pakai modem kalau tak silap saya. Guna talian telefon. Biasanya ramai orang pakai internet explorer masa itu untuk layari internet.

Saya pergi cari kawan-kawan yang turut sama diberhentikan kerja dan tak ada kerja masa tu. 

Memang ada ramai sebab kes kena berhenti kerja memang berlaku meluas dalam keadaan ekonomi yang gawat.

Macam burung yang keluar pagi-pagi. Burung tak ada kelebihan akal fikiran macam manusia. Itupun akan ada juga makanan yang dia bawa balik untuk dirinya dan juga anak-anaknya di sarang.

Takkan lah saya yang ada akal fikiran, boleh cakap, boleh buat macam-macam tak dapat nak cari rezeki?

Memang ternyata ada saja rezeki saya untuk teruskan kehidupan masa itu.

Dari situlah saya buat macam-macam usaha cari duit. Buat MLM, jual baju kelawar, jual petai, jual kain batik, jual baja dan lain-lain.

Masa itu saya belajar perkara yang sangat penting.

Kalau nak teruskan usaha jadi usahawan, anda perlu ada keupayaan untuk fikir pasal survival. 

Ertinya perlu kreatif untuk cari jalan dapatkan duit dengan cara yang halal untuk teruskan hidup.

Survival tu bukan bab nak bina perniagaan lagi. 

Fokus adalah nak hidup. Apa saja benda boleh jual dapat duit, buatlah.

Kalau ada produk dan ada pembeli, maka adalah duit untuk anda.

Kalau tak ada produk atau benda nak jual, tawarkan apa-apa khidmat bantu kawan-kawan yang berniaga. Akan ada juga duit untuk anda bawa balik.

Bina rangkaian kenalan usahawan

Ketika fasa survival itu saya ambil kesempatan untuk bina rangkaian kenalan mereka yang sukses dalam bisnes.

Kalau saya tengok ada orang yang bergaya, kenal ramai orang dan pakai kereta Merz, saya akan usaha cari kawan yang kenal dia. 

Saya minta kawan saya itu untuk perkenalkan kepada orang itu.

Bukan susah nak bina kenalan kawan-kawan yang sukses sebenarnya. Macam pepatah selalu sebut ..

Yang enggang sama enggang juga, yang pipit sama pipit juga.

Peribahasa Melayu


Anda hanya perlu jumpa seekor enggang saja untuk jumpa kesemua enggang lain. Begitu juga perlu cari seekor pipit saja, akan jumpalah semua pipit lain.

Sebaik saja berjaya kenal dan rapat dengan seorang kawan yang sukses dalam bisnes mereka, dia bawa saya jumpa semua kawan-kawan lain yang sama macamnya.

Saya mula bina kenalan satu persatu. 

Buat tapisan mana yang sesuai dengan saya untuk kekal rapat. Banyak masa saya, akan dihabiskan dengan mereka. Nak serap macam mana cara mereka berfikir.

Dari pergaulan dengan kawan-kawan berniaga, saya cuba sesuaikan diri dengan cara mereka berfikir. Cuba ikut apa yang mereka bincang dan bersembang dan sertai apa saja aktiviti mereka.

Nasib saya mungkin baik sebab semua yang saya kenal, mereka berjaya tapi kekal hidup secara sederhana. Tak main kelab malam atau minum kat hotel mewah. Tak bergaya Don Juan dan lansung tak sombong.

Apa yang mereka rajin buat adalah duduk kedai kopi, minum dan bersembang. 

Satu hari boleh minum 8 ke 10 gelas air. Teh Tarik, Nescafe, air suam. Silih berganti setiap kali singgah kedai minum jumpa orang.

Selama setahun duduk macam itu, saya rasa lebih banyak yang saya belajar tentang perniagaan dan kehidupan daripada 3 tahun duduk kat universiti masuk kelas dengar kuliah.

Kawan-kawan tu bila nak dapatkan maklumat yang memerlukan pendidikan universiti, mereka hanya pergi jumpa kawan yang kerja pensyarah kat U. Selesai masalah.

Apa yang mereka perlukan adalah sekadar ilmu dan keperluan yang mencukupi untuk bertindak dan buat keputusan. 

Tak payah nak lebih-lebih mendalam segala teorinya.

Cari idea bisnes untuk diusahakan

Begitulah saya teruskan kehidupan tanpa ada satupun bisnes yang serius untuk saya usahakan. 

Maksud saya perniagaan yang saya nampak gambarannya bila dipandang ke depan 5 atau 10 tahun lagi.

Semua bisnes yang saya buat ketika itu hanya sekadar nak cari duit, cari pengalaman dan cari kenalan. 

Tidak ada gambaran untuk pergi lebih jauh dari itu. 

Sekarang baru saya sedar bahawa itulah bezanya antara bisnes yang ada visi dengan yang tak ada visi.

[Nota: Vision bermakna keupayaan untuk melihat]

Pada tahun 1999 saya naik ke KL.

Masa itu, masih tak ada bisnes lagi. 

Ke KL sebab nak bantu kawan buat projeknya kat KLCC. 

Masa itu juga saya dah mula senaraikan satu persatu idea bisnes yang boleh diusahakan sambil teruskan usaha cari makan.

Nak dipendekkan cerita, akhirnya saya senarai pendekkan 2 bisnes.

Idea bisnes pertamanya adalah nak buka Cold Storage. Dan yang keduanya pula nak buat Syarikat Pest Control.

Dan akhirnya saya pilih buat perniagaan khidmat Pest Control sebagai bisnes untuk saya bina dan usahakan sampai berjaya.

Niat nak ke KL sebentar pada tahun 1999 itu berakhir dengan saya tak balik lagi ke Pulau Pinang sampai sekarang. 

Menetap di Lembah Kelang, lembah yang penuh peluang dan dalam masa yang sama penuh kesengsaraan.

Untuk pengetahuan anda pembaca, kesemua idea bisnes yang saya senaraikan, tak ada satupun yang berdasarkan minat atau kemahiran yang saya ada.

Bukan nak beritahu bahawa anda kena buat bisnes yang anda tak ada ilmu tentangnya. Tapi saya terpaksa buat macam itu memandangkan tak ada pilihan lain.

Dari segi pengalaman, bisnes yang sesuai buat saya sudah tentu dalam dunia automotif.

Tapi keadaan ekonomi tidak mengizinkan ketika itu. Lagipun, bidang automotif yang saya tahu adalah dalam industri pembuatan dan bukan bengkel repair kenderaan.

Nak guna ilmu dalam pendidikan pula, saya belajar Matematik, Fizik dan Statistik. Nak buat bisnes apa dengan 3 subjek macam tu?

Mungkin statistik boleh digunakan untuk bina idea bisnes maklumat. 

Memang saya ada hasrat untuk buka satu agensi penyelidikan dan kajian dalam jurusan pemasaran. Nak fokuskan kepada kajian terhadap pasaran dalam perniagaan.

Tapi semua terpendam bila saya teruskan idea pest control.

Buat syarikat pest control tanpa ada sedikitpun kemahiran, pengalaman dan pengetahuan dalam industri tersebut bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan.

Saya perlu ada strategi untuk pantaskan proses pembelajaran. Teruskan membaca ..

Part 3

Saya sampai ke Lembah Kelang pada tahun 1999. Tujuan utama adalah nak pendedahan kepada dunia perniagaan.

Masa tu apa saja tawaran baru dan menarik, yang dapat bantu pencarian memahami dunia bisnes, akan saya sambut dengan penuh minat. 

Kebetulan ketika saya tengah sibuk buat bisnes baja kat kampung, kawan yang bisnes kat KL datang jumpa.

Kawan tu buat bisnes dalam bidang telekomunikasi. Jadi kontraktor tarik, pasang dan testing kabel optik.

Itu zaman projek pasang kabel tengah rancak. Ramai kontraktor yang ceburi bidang tu mewah dengan projek yang rancak.

Tarik dan pasang kabel telekomunikasi ‘twisted pair copper’ saya dah ada pengalaman buat kerja tu. 

Tapi kabel optik merupakan perkara baru buat saya. Sangat menarik dan terfikir mungkin bisnes tu boleh saya cuba pelajari dan fahami. Dan kalau sesuai boleh saya mulakan kat Pulau Pinang.

Lagipun kawan tu sindir saya, kenapa nak buat bisnes baja. Buatlah bisnes yang lebih canggih teknologinya dan seiring dengan perkembangan semasa.

Tak lama selepas itu dia ajak saya ke KL tengok projek bermasalah yang dia cuba atasi kat KLCC. Saya tak fikir panjang terus setuju. 

Satu lagi pendedahan baru untuk saya tempuhi.

Pengalaman tangani projek masalah

Saya duduk lebih kurang 6 bulan kat bawah tanah KLCC tu. 

Cuba buat banyak perkara sekali gus. Cuba faham kerja, cuba faham cara kerja, cuba faham cara orang kerja, cuba faham para pekerja, cuba faham keadaan kerja, cuba faham segala-galanya.

Tekanan meeting dengan jurutera untuk berikan laporan terkini yang sentiasa lewat dari jadual. 

Tekanan cuba jadi orang tengah untuk pastikan semua berikan kerjasama sampai kerja selesai dan macam-macam lagi.

Rentak kerja di pusat bandar lansung tak sama dengan rentak kerja di kampung. 

Masa seolah-olah dicepatkan oleh keadaan sekeliling. Malah cara orang bergerak juga jauh lebih laju dari kat kampung.

Semua orang saling tekan menekan. 

Bayangkan ketika berhenti depan lampu isyarat tunggu hijau. Lampu baru saja berubah dari merah ke hijau, dah kena horn dari kenderaan belakang .. dia orang nak terberak ke apa?

Semua itu pendedahan awal yang sangat bagus untuk sedarkan diri saya supaya lebih cergas dan ligat berfikir serta bertindak.

Semua kerja berjaya juga ditamatkan dengan jayanya dan saya selepas itu, terjebak pula terima tawaran kerja dengan sebuah syarikat multinational kat Shah Alam.

Macam mana cari idea bisnes?

Saya hanya mulakan dengan buat senarai idea bisnes

Sejujurnya memang tak ada apa-apa idea lansung asalnya. Jadi hanya buka mata dan perhatikan apa bisnes yang orang lain buat.

Bila nampak menarik, saya tulis dan buat pencarian maklumat. 

Macam itulah satu demi satu bisnes disenaraikan. Dan akhirnya teralu banyak pulak senarai perniagaan yang boleh dipertimbangkan.

Kalau tak silap, berhelai-helai kertas kajang tu saya senaraikan segala bisnes yang boleh dimulakan. 

Perlu buat proses penapisan supaya senarainya lebih pendek dan lebih mudah untuk dipertimbangkan.

Apa cara nak pendekkan senarai tu?

Gariskan gaya hidup idaman

Bila dah terjun berniaga, satu perkara penting yang saya belajar adalah, hanya orang makan gaji saja yang akan bezakan antara kerja dan rehat.

Orang makan gaji terpaksa buat macam itu sebab dia mahu asingkan masa yang dia peruntukkan untuk diri dan kehidupan peribadi dengan masa yang diperuntukkan untuk majikan.

Tapi bila saya sara hidup dengan kerja sendiri, dengan buat bisnes, saya perasan yang tak ada sempadan untuk waktu kerja dan tak kerja. 

Ruang kerja dan cuti bergabung bercampur aduk sampai jadi caca marba.

Saya rumuskan bila anda terjun berniaga atau jadi usahawan sepenuh masa, semua kehidupan anda adalah satu saja. 

Samada anda sentiasa kerja, atau anda tak pernah kerja.

Untuk itu, saya perlu tentukan gaya hidup macam mana yang saya nak. 

Dari situ, lebih mudah nak singkirkan segala idea bisnes yang tidak seiring dengan gaya hidup yang saya mahukan.

Sebagai contoh, salah satu kriteria utama yang saya mahukan adalah berurusan terus dengan pengguna. Tidak bergantung kepada tender kerajaan sebagaimana ramai para usahawan Melayu libatkan diri.

Saya tak mahu kerja lobi melobi jadi gaya hidup.

Itu berdasarkan pengamatan saya kepada kawan-kawan yang jenis ligat kejar projek kerajaan. Bila mereka jadi pakar lobi-melobi, hidup dah tak ada pantang larang lagi, “membujur lalu melintang patah”.

Satu lagi gaya hidup yang saya gariskan adalah tidak terlibat dalam dunia glamor.

Cukup kerja di belakang tabir tak ada orang kenal untuk naikkan bisnes. Dengan kriteria macam itu, bisnes kosmetik dan seumpamanya saya keluarkan dari senarai.

Dengan cara gariskan gaya hidup idaman begitu akhirnya 2 bisnes saja tinggal. 

Macam yang dah saya beritahu di atas tadi. Saya rancang nak buat pest control di Lembah Kelang. Bisnes Cold Storage pula di Pulau Pinang.

Akhirnya saya pilih pest control sebab bila bincang dengan penasihat, dia suruh saya kekal duduk berniaga di Lembah Kelang dan jangan balik ke Kampung. Takut nanti saya akan hanyut leka berkawan dan berpolitik di kampung.

Pantaskan proses pembelajaran pest control

Bila dah nekad nak buat bisnes pest control, perkara pertama yang saya lakukan adalah pergi jumpa semua kawan-kawan yang ada pengalaman lama dalam dunia perniagaan.

Saya beritahu mereka tentang hasrat tersebut dan minta pandangan. Kawan-kawan yang ada pengalaman hampir semuanya hairan dan tidak menggalakkan saya masuk ke bidang tersebut.

Mereka berikan banyak sebab untuk kuatkan alasan kenapa saya perlu fikirkan idea bisnes lain.

Semua maklumat itu memberikan saya garis panduan untuk cari maklumat. Apa saja alasan yang mereka berikan menjadi cabaran buat saya selesaikan dan cari jawapan.

Antara perkara paling berat yang mereka berikan adalah tentang saya tak ada ilmu pasal pest control, tak ada pengalaman, tak ada kenalan, tak tahu buat kerja, tak tahu nak cari pelanggan kat mana dan seribu saya persoalan lagi.

Mereka memang betul dan saya perlu selesaikan masalah itu. Point pentingnya adalah ilmu dan networking.

Saya gariskan aktiviti untuk atasi kelemahan dalam bab ilmu pest control dan networking.

Dalami ilmu tentang industri

Salah satu perkara penting yang saya wajibkan untuk diamalkan setiap hari adalah untuk membaca bahan maklumat, buku dan sains tentang subjek pest control.

Saya wajibkan membaca sehari selama satu jam.

Nak baca buku apa?

Kat mana nak dapat segala bahan bacaan tersebut?

Hasil dari bertanya, saya dapat tahu rupanya wujud sebuah persatuan pest control kat Kuala lumpur ni. 

Setelah mendapatkan segala maklumat yang diperlukan saya pergi cari pejabat persatuan.

Masa tu persatuan tu dikenali sebagai, Pest Control Association of Malaysia (PCAM).

Dari persatuan saya dapat beberapa bahan bacaan yang membantu pemahaman saya tentang industri pest control. 

Dapat pula berkenalan dengan orang yang aktif dalam persatuan dan paling penting, saya dapat maklumat program berkaitan industri pest control yang bakal diadakan dalam masa terdekat.

Bina jaringan dalam industri

Perkara paling awal yang saya buat adalah masuk sertai persatuan. Banyak perkara yang akan anda dapat bila sertai persatuan. Paling penting adalah kenalan dalam industri yang sama.

Satu lagi cara terbaik untuk membina kenalan dalam industri yang anda ceburi adalah dengan sentiasa turut serta dalam apa saja program yang berkaitan dengan industri.

Itulah yang saya buat.

Pembekal racun dan bahan kimia dalam industri pest control biasanya akan anjurkan program memperkenalkan bahan kimia terbaru atau program perkongsian ilmu dan maklumat tentang industri.

Bila anda sertai program sedemikian, anda akan mula belajar banyak perkara dari mereka yang dah lama menceburi industri tersebut.

Memberikan sokongan kepada pembekal dengan membei barang dari mereka juga membolehkan anda belajar banyak maklumat dan ilmu yang sangat membantu.

Kalau anda setia beli barang dari satu pembekal dalam kuantiti yang mencukupi, anda boleh dapatkan khidmat latihan dari mereka secara percuma.

Luangkan masa untuk berkenalan dengan pengusaha khidmat pest control lain dan belajar dari mereka. Biasanya semua sangat terbuka dalam perkongsian ilmu dan maklumat industri.

Jangan malu bertanya

Ini amalan penting yang wajib ada pada semua usahawan yang nak maju ke depan.

Tak tahu, bertanyalah. Kalau orang tak jawab, jangan marah, pergi tanya pada orang lain pula. Biasanya anda akan pasti dapat jawapan.

Ada banyak sumber untuk saya dapatkan maklumat yang diperlukan. Antaranya adalah seperti berikut:

  • Pembekal – Pembekal sentiasa bersedia untuk bantu anda dalam apa saja perkara yang membolehkan bisnes anda berjaya. Jika anda berjaya, mereka juga turut merasakan hasilnya bila anda membeli dalam jumlah yang lebih besa.
  • Pesaing – Syarikat pest control lain memang merupakan pesaing anda. Tapi itu tidak bermakna anda perlu bermusuh dengan taukehnya. Mereka banyak maklumat yang anda tak tahu. Begitu juga anda mungkin ada maklumat yang mereka tak tahu.
  • Pensyarah – Samada anda kenal secara peribadi atau tidak kenal, anda tak akan dikecewakan jika berhubung dengan pensyarah dan minta idea untuk selesaikan masalah dalam industri yang pensyarah itu mahir.
  • Pekerja – Jangan sombong dengan pekerja di bawah anda. Mereka tahu lebih banyak perkara dalam industri dari anda sendiri sebab mereka terlibat secara lansung. Maklumat cara tipu buat kerja terutamanya adalah salah satu dari kepakaran mereka.
  • Google – Ini perkara wajib yang anda perlu tahu guna. Pastikan anda pakai Google Alert untuk mendapatkan maklumat terkini dalam apa saja perkara. Hanya perlu tahu keyword yang berkaitan saja.
  • Buku – Kalau anda jenis tak suka baca buku fizikal, boleh baca e-book. Saya beli sebuah buku tebal dan mahal yang kumpulkan semua maklumat berkenaan ilmu urban pest control dari US secara online saja. Buku sebegitu memang tak ada kat negara kita. Tapi sekarang mendapatkan buku dari luar negara adalah satu perkara biasa saja.
  • Persatuan – Hampir semua industri ada persatuan yang ditubuhkan untuk menjaga kepentingan bersama mereka yang terlibat dalam industri. Sertai persatuan dan anda akan tidak ketinggalan dalam mendapatkan maklumat yang penting.
Dengan semua usaha yang saya buat di atas, berjaya juga usaha bisnes pest control saya. Sampai sekarang, saya masih ada lebih dari satu syarikat pest control .. Alhamdulillah.

Post a Comment

Previous Post Next Post