Wajib periksa dan betulkan 10 perkara ini sebelum mulakan idea bisnes kecil anda


Panduan 10 perkara yang wajib anda baca dan betulkan ini sering saya kongsikan dalam setiap kursus perniagaan yang saya buat.

Dalam artikel ini, supaya lebih senang faham, saya buat contoh lebih spesifik.

Katakan anda nak buka sebuah bengkel membaiki dan selenggara kenderaan di sebuah pekan kecil di Sungai Pelek, Sepang, Selangor.

Sebelum mulakan bisnes bengkel kenderaan itu, anda wajib semak 10 perkara ini terlebih dahulu.

Saya mulakan dengan perkara pertama berikut di bawah.

1. Tahap desakan produk anda

Ini perkara paling awal untuk difikirkan.

Lebih mudah faham kalau saya sebut perkataan Bahasa Inggeris, ‘Demand’.

Ada permintaan tak?

Kalau ada, berapa kuat tahap desakannya?

Urgent ke tak?

Buat survey kawasan dulu

Untuk jawab persoalan itu, anda perlu pusing kawasan persekitaran di mana bengkel baiki kenderaan itu mahu dibuka.

Dah ada banyak workshop ke?

Kalau ada, berapa banyak?

Kalau selepas pusing habis sekitar 10 ke 20 kilometer dari pekan kecil tu, didapati hanya ada 3 workshop saja, itu tandanya ada harapan baik.

Anda perlu pergi zoom lebih dekat. Lihat workshop jenis apa yang dah ada kat situ.

Katakan 3 workshop itu adalah seperti berikut.

Yang pertama, fokus kepada jentera berat. Kedua pula tayar dan yang akhir, workshop umum. 

Dari situ anda akan dapat idea untuk buka satu lagi workshop yang lebih fokus melengkapi apa yang dah ada.

Katakan anda akan buka sebuah workshop yang berikan tumpuan hanya kepada kenderaan nasional sahaja. Proton dan Perodua.

Workshop sebegitu, paling dekat pesaing yang ada adalah di Lukut. Satu lagi ada di Kota Warisan. Keduanya jauh lebih dari 20 km dari pekan tersebut.

Ertinya, jika anda ditawaran untuk adakan workshop specialize terhadap model Perodua dan Proton sahaja, sudah tentu tahap keperluannya sangat tinggi buat penduduk di sekitar kawasan itu.

Untuk pastikan lagi samada telahan itu betul atau tidak, boleh tanya kepada seramai mungkin pemilik kenderaan Perodua dan Proton yang dijumpa tinggal di area situ.

Seandainya setiap orang yang ditanya bagi tahu ..

Kalau ada workshop khas untuk Perodua / Proton kat Pekan Sungai Pelek ni, next servis sudah tentu saya akan terus pergi berkunjung!

Tandanya tekaan anda terhadap tahap desakan yang tinggi untuk diadakan workshop di situ adalah sangat tepat.

Ada ramai yang menunggu nak jadi pelanggan.

Ditambah lagi jika tempat itu memang belum ada workshop. Maka lebih tinggi tahap desakan idea bisnes anda itu.

Workshop yang bakal di buka di situ akan memberikan kelegaan yang sangat tinggi pada penduduk sekitar.

Fokus pada keperluan orang

Bila main musik atau menyanyi, anda akan main lagu yang anda suka. Biarkan saja samada orang lain suka atau tak suka lagu tu. 

Tak perlu ambil kisah sebab anda menyanyi hanya untuk layan perasaan dan hiburkan hati sendiri sahaja.

Lebih ke arah hobi. Bukan untuk buat duit atau nak jadi artis terkenal.

Tapi, kalau anda menyanyi sebab nak jadi artis untuk cari makan sara hidup, maka tak bolehlah cakap ‘lantak lah samada orang suka atau tidak!’.

Anda dah masuk ke zon berniaga. Mengharapkan bayaran terhadap aktiviti menghiburkan orang yang suka pada lagu yang anda nyanyi.

Mahu tak mahu, perlu menyanyi lagu yang orang suka.

Barulah ada perniagaan, baru ada pasaran, baru ada permintaan.

Sama macam kes nak buka workshop kat atas tadi.

Tak bolehlah main buka saja dan buat satu workshop ikut selera hati anda sendiri. Ini bab berniaga. Bukan boleh syok sendiri.

Dalam bisnes, anda tak akan di bantu seandainya tak buat sesuatu yang dapat membantu orang lain terlebih dahulu. Bantu orang selesaikan masalah mereka, maka barulah ada duit masyuk!.

Ramai orang cakap, buat bisnes yang anda suka, ikut kata hati dan fokus kepada apa yang anda cintai.

Betul tu!

Itu akan menjadikan usaha tersebut tidak menjemukan.

Macam kes menyanyi lagu asli yang memang anda gemari dengan genre lagu sebegitu. Atau lagu rock kapak, itu mengimbau kenangan zaman seluar ketat satu ketika dahulu. Anda suka dan orang juga suka. Itu sangat ideal.

Tapi kalau disebabkan nak ikut kata hati, anda buat sesuatu yang tak ada orang lain suka, alamat bisnes akan kelaut.

Yang paling baik adalah kedua-duanya ngam.

Anda suka dengan bisnes tu, dan dalam masa yang sama ramai orang lain yang suka dan mahukan apa yang anda suka itu. Tak ada yang lebih baik dari itu.

Bayangkan kalau nak buka workshop baiki bot laju, hanya disebabkan anda suka main bot laju dan ada sebuah bot laju dalam simpanan.

Sedangkan dalam sekitar 20 km radius area tu, tak ada seorang pun yang punya bot laju, memang anda cari penyakit kalau nak buka juga.

Contoh tu nampak macam over pulak.

Takkan benda simple macam nipun nak bagi tahu?

Ya! memang simple dan sangat common sense.

Tapi kenyataannya, ramai yang terlepas pandang bab ni. Ada yang buka workshop fokus untuk kenderaan race tahap tinggi sedangkan sangat sedikit permintaannya di sekitar kawasan workshop yang dia buka tu.

Bila suruh ubah, tak mahu! sebab itu memang minat dia!

Tapi dia juga yang merungut sales tak berapa ada untuk hidupkan perniagaan.

Pertimbangkan tahap desakan

Rasanya saya dah terangkan dengan cara yang sangat mudah faham.

Bila cari idea niaga anda, ini perkara paling utama untuk dipertimbangkan.

Ada lagi 9 perkara yang berkait dengan tahap desakan ini yang perlu dilihat. Dari semua perkara tersebut, anda akan dapat lihat satu persatu bila baca dan fahaminya.

Untuk permulaan, bab desakan ini perlu diselesaikan dahulu.

Pastikan tahap desakan atau permintaan dari pelanggan untuk dapatkan produk yang anda nak tawarkan itu adalah sangat tinggi.

Kalau ditanya bakal pelanggan, dia kata 'kalau tak adapun tak apa, tak ada masalah!', itu petanda buruk!

Kita sambung perkara kedua pula iaitu ‘saiz pasaran’ di bawah.

2. Berapa besar saiz pasaran

Ini soalan kedua yang wajib diberikan pertimbangan. 

Berapa ramaikah orang yang anda yakin memerlukan produk atau servis yang nak ditawarkan?

Samada dia akan beli atau tidak itu bukan persoalannya. Yang penting, dia ada potensi untuk jadi pelanggan anda.

Kita guna contoh yang saya berikan di awal artikel tadi. Nak buka sebuah workshop kenderaan di sebuah pekan kecil, Kampung Pelek di Sepang, Selangor. Fokus kepada kenderaan Proton dan Perodua.

Dalam contoh tersebut, mereka yang berpotensi jadi pelanggan adalah pemilik kenderaan samada Perodua atau Proton. Anda perlu dapatkan maklumat berapa ramai orang macam tu ada kat sekitar Pekan Sungai Pelek.

Hanya perlu buat anggaran sahaja. Tak perlu tepat. Tapi perlu tahu macam mana nak dapatkan maklumat itu.

Ada macam-macam cara untuk buat anggaran pasaran.

Anda boleh dapatkan statistik jumlah rumah di kawasan tersebut. Atau korek maklumat dari dealers Perodua atau Proton berapa ramai pembeli dari area kawasan itu.

Biasanya, syarikat kenderaan ada semua maklumat itu. Mereka perlu simpan semua perincian tentang pelanggan yang dah beli produk mereka untuk pastikan ada follow-up selepas jualan.

Bisnes kenderaan dari syarikat automotif sebenarnya sangat tersusun dan bersistematik.

Mereka tak akan lepaskan setiap manusia yang masuk ke dalam showroom mereka begitu saja. Semuanya akan di-follow-up sehinggalah berjaya diubah jadi pelanggan.

Bila dah jual pula, mereka tak akan berdiam diri.

Semua maklumat ada. Mereka akan pastikan pelanggan datang selenggara di pusat servis yang dilantik.

Mereka ada sistem reminder. Ada sms. Ada panggilan telefon. Semua usaha dilakukan agar pelanggan terus memberikan duit kepada syarikat kenderaan tersebut dari hari pertama dia beli sampai hari terakhir dia melepaskan kenderaan itu.

Jika jadi dealers mana-mana jenama kenderaan yang ada dipasaran, anda akan dapat sekali, satu model dan sistem perniagaan yang sangat lengkap terperinci. Anda hanya perlu laksanakan keseluruhan sistem yang telah mereka susun itu untuk berjaya.

Berbalik kepada saiz pasaran pemilik kenderaan Perodua dan Proton di Sungai Pelek. Cuba google maklumat berkenaan Sungai Pelek.

Ada maklumat jumlah pengundi pada tahun 2018 di Pekan Sungai Pelek, seramai 29,770 pengundi.

Tolak dan campur mereka yang mengundi tapi tak tinggal di situ, boleh dianggarkan ada dalam 25 ribu pengundi.

Tolak lagi mereka yang tiada kemampuan, boleh dapat dalam 12 ribu dan akhir sekali anda boleh andaikan ada 6 ribu pemilik Perodua dan Proton.

Kita anggap pemilik Perodua dan Ptoron adalah dalam lingkungan 50% dari kesemua pemilik kenderaan. Itu belum ambil kira kawasan persekitaran seperti Pekan Sepang, Labu dan Tanjong Sepat lagi.

Dengan jumlah pasaran 6 ribu itu, katakan anda berjaya mendapat 5% sahaja untuk jadi pelanggan tetap workshop. 

Dari semua anggaran di atas, akan ada 100 pelanggan sebulan dengan anggaran perbelanjaan setiap pelanggan sebanyak RM250 sekali datang.

Workshop anda berpotensi untuk dapat jualan sebanyak RM25 ribu sebulan.

Pelanggan akan datang workshop 3 bulan sekali. Jadi setiap bulan anda akan dapat jualan tetap RM25 ribu.

Itu satu pendapatan yang boleh tahan jugak untuk area tenang seperti di Sungai pelek. Tapi dari segi potensi bisnes, taklah bagus sangat untuk maju lebih jauh.

Buat anggaran sampai puas hati

Macam itulah lebih kurang untuk kira saiz pasaran terhadap idea perniagaan anda.

Macam kes nak buka workshop yang saya jadikan contoh di atas, hasilnya tak berapa nak menarik. Ada sedikit risiko kat situ sebab anggaran jualan yang saya buat dengan cara sederhana itu tidak berapa menarik sangat.

Alang-alang nak berniaga, biar sampai kaya. Dengan hasil jualan RM25 ribu sebulan saya perlu sediakan hanya dalam 3 pekerja sahaja termasuk saya sendiri.

Tolak kesemua kos gaji tokeh dan pekerja, sewa, dan lain-lain mungkin tinggal dalam RM1 ribu atau kurang sebagai untung bersih sebulan masuk dalam akaun syarikat.

Keuntungan bersih sebelum cukai begitu bagi saya tak berapa menarik sangat. 

Kalau nak teruskan juga buat workshop di situ, kena cari maklumat lebih lagi untuk pastikan saiz pasaran penduduk yang ada di sana benar-benar menarik.

Tamat saiz pasaran.

Jom tengok perkara ke-3 pula di bawah.

3. Berapa tinggi boleh letak harga

Dalam perkara ke-3 ini, kita bincang pasal harga pulak.

Panduan asasnya sangat mudah. Lebih mahal anda boleh jual, maka lebih bagus lah potensi perniagaan itu.

Bayangkan kalau nak buka bisnes jual kapal selam Scorpene. Harga sebuah Scorpene yang Malaysia beli dulu adalah lebih dari RM3 billion!.

Haaa! itu baru sempoi!

Tapi, dengan membuka bisnes jual kapal selam, anda nak berniaga kat Malaysia ni, pembelinya hanya seorang sahaja. Iaitu Menteri Pertahanan Malaysia.

Kalau bab harga dah bagus, sampai RM3 billion. Bab saiz pasaran pulak hampas sebab seorang saja. Kalau nak buat juga kena pasarkan ke seluruh dunia di semua 195 negara yang ada. 

Nampak tak bagaimana kesemua perkara-perkara yang saya senaraikan untuk anda semak di sini saling berkaitan antara satu sama lain. Kalau bagus kat sini, kat sana pulak lemah.

Perlu dilihat dengan jelas kat sini bahawa semakin mahal harga yang nak ditawarkan, biasanya, saiz pasaran akan mula mengecut. Terpaksa besarkan kawasan liputan untuk cover.

Bila area di besarkan, usaha untuk memasarkannya juga akan jadi semakin mencabar.

Tapi, suka atau tidak. Perlu fikir bagaimana nak buat supaya purata pembelian dari setiap pelanggan adalah tinggi. Itu akan membuatkan idea perniagaan anda jadi semakin berdaya maju.

Mulakan dengan harga 1 produk

Untuk mudah faham bagaimana perkara pasal harga ni bermanfaat untuk anda fikirkan, saya akan mulakan dengan pertimbangkan harga satu produk terlebih dahulu.

Katakan nak buat bisnes jual nasi lemak. Nak fokus hanya kepada menjual nasi lemak siap dibungkus yang dijual dengan harga RM1 sahaja.

Anda pacak payung tepi jalan. Setiap pagi bawa dua raga nasi lemak yang dah siap dibungkus. Bila semua terjual, tutup dan balik.

Cuba bayangkan. Berapa purata pembelian setiap orang pelanggan yang akan datang ke bawah payung jual nasi lemak anda itu?

Saya agak, purata seorang yang datang beli mungkin 2 atau 3 bungkus seorang. Ertinya, potensi harga jualan perniagaan yang nak anda jalankan itu adalah antara RM2 ke RM3 sahaja.

Dari segi teorinya, itu bukanlah satu perniagaan yang bagus sebab murah sangat. 

Susah nak buat duit macam tu punya bisnes.

Fikir cara naikkan harga

Bila harga jualan purata seorang pelanggan sangat rendah, bisnes memang tak boleh pergi jauh.

Kalau nak berniaga, perlu fikir bagaimana nak jual mahal lagi.

Tapi tak semestinya anda kena mula buat nasi lemak dengan harga sebungkus RM15. Susah juga nak cari orang yang datang beli nasi lemak dengan harga macam tu.

Ada cara lain yang lebih menarik dan lebih mudah.

Contohnya, anda boleh buat pakej lengkap, sekali dengan bungkusan air bersama kuih. Atau buat tawaran beli 5 dapat satu free.

Dengan berbuat begitu, purata belian seorang pelanggan yang datang akan mula naik jadi lebih tinggi. Model bisnes anda adalah lebih kepada beli 5 free satu. itulah yang akan anda war-warkan.

Bila ramai dah tahu, maka jumlah pelanggan yang fokus nak beli sekali 5 bungkus akan datang lebih ramai. Sekarang kemungkinan untuk seorang pelanggan datang terus beli pakej anda sebanyak 2 atau 3 mula tinggi.

Bila fokus betul-betul, seorang pelangan mungkin akan beli purata 2 pakej 5 bungkus tu. Ertinya purata harga jualan anda sekarang dan jadi RM10 untuk setiap pelanggan.

Haaa!

Nampak tak, bagaimana bisnes anda tadi yang purata jualan seorang pelanggan hanya RM2 atau 3 sahaja dan berdesup naik jadi RM10 atau RM15 !.

Naikkan lagi harga lebih tinggi

Anda boleh naikkan lagi harga tu dari RM10 ke RM15 kepada mungkin RM300 ke RM500!

Konsepnya atau model bisnes anda sudah berubah lagi kepada yang lebih advance.

Begini caranya.

Anda mula cari kantin sekolah atau kilang atau pejabat, kedai makan, atau cari ajen jual nasi lemak tepi jalan.

Anda juga boleh cari semua stesen minyak atau nak hebat lagi pergi bincang dengan 99 speedmart atau 7E.

Letakkan di semua tempat tersebut sebanyak 300 ke 500 bungkus nasi lemak dengan harga RM1 sebungkus.

Sudah tentu akan ada sedikit diskaun untuk anda lepaskan kepada ajen atau pusat edaran nasi lemak tu.

Tapi yang penting, sekarang nilai jualan untuk setiap pelanggan dah jadi antara RM300 ke RM500 !

Bukan lagi RM2 ke RM3 macam mula tadi.

Jangan gelak bisnes Kacang Putih

Saya perasan perkara ini masa mula belajar bisnes ikut kawan di Penang dulu. Dia bawa saya pergi ke pelabuhan nak tunggu kapal dari Indonesia masuk. Dia order buah kelapa berkontena.

Ada seorang Uncle Cina datang ke tempat kami melepak minum. Tengok dia naik Merz tapi pakai selekeh saja. Bila tanya dia buat bisnes apa, "Jual Kacang Putih", itu jawabnya.

Saya nak tergelak. Maklumlah akal masih kurang cerdik masa tu. Kacang putih dikaitkan hanya kepada Uncle India jual kacang bungkus dengan kertas RM1 ketika itu.

Saya sangkakan uncle Cina tu melawak.

Mungkin dia tengok saya nak gelak, lalu dia lanjutkan, "saya import kacang putih dan edarkan satu Malaysia!".

Dia beli kacang putih main kontena satu kapal. Ketika itu juga saya rasa betapa bodohnya diri ini tapi berlagak macam pandai. Taubat tak mahu jadi bodoh macam tu lagi selepas itu.

Pastikan harga boleh dinaikkan

Untuk makluman, bagi menilai keseluruhan perniagaan, anda kena pertimbangkan dan semak kesemua 10 perkara yang akan saya cuba habiskan dalam artikel ini.

Bila dah semak kesemuanya, baru boleh nampak samada keseluruhan model bisnes anda tu berdaya maju atau tidak.

Seperkara lagi. Dengan melihat setiap kriteria yang saya berikan, anda akan lebih faham bisnes yang nak dibuat satu persatu.

Macam bab harga yang saya terangkan di atas.

Bila anda tahu bahawa harga lebih tinggi adalah lebih bagus. Maka fikiran atau idea hendaklah pergi ke arah itu. Bukan sekadar membeku dengan konsep asal bisnes anda dari awal sahaja.

Perlu pastikan yang produk atau servis yang ditawarkan sentiasa ada ruang untuk dinaikkan harga.

Naikkan harga samada satu produk itu sendiri per unit. Atau anda reka cipta pakej yang membentuk satu produk baru. Di mana setiap pakej merupakan gabungan berbagai unit produk yang berbeza.

Kita sambung pulak perkara ke-4 di di bawah.

4. Kos bawa pelanggan

Ini merupakan isu pemasaran. Aktiviti untuk pastikan pelanggan sasaran anda tahu tentang bisnes anda.

Marketing ini adalah perkara paling asas yang menentukan samada bisnes anda akan ada pembeli atau tidak, yang ramai terlepas pandang.

Jangan lupa bahawa punca no. 1 kenapa orang tak datang beli produk atau servis anda adalah disebabkan mereka tak tahu.

Dah tak tahu, macam mana nak beli?

Hampir mustahil untuk orang beli sesuatu yang dia tak tahu wujud.

Melainkan dia mendapat mimpi ketika tidur. Dalam mimpi tu ada seorang Wali datang memberitahu pada pelanggan tersebut tentang bisnes anda. Siap bagi lokasi dan alasan kenapa pelanggan itu perlu pergi beli!

Kalau terjadi macam itu, ia adalah satu keajaiban.

Boleh saja percaya perkara ajaib. Tapi jangan bergantung kepada keajaiban untuk berjaya

www.bisneskecil.com

Apa saja bisnes, kena buat aktiviti beritahu orang ramai tentang kewujudannya. Dan biasanya, aktiviti ini ada kos.

Bab kos nak bagi orang tahu inilah yang perlu kita pertimbangkan. 

Adakah kosnya tinggi atau boleh dilakukan secara percuma sahaja.

Sasaran yang semua usahawan perlu buat adalah untuk menjadikan kos beritahu orang ni serendah mungkin.

Lagi rendah lagi bagus.

Senarai cara nak bagi tahu pelanggan

Mulakan dnegan buat senarai cara nak bagi tahu orang satu persatu. Kat hujung tu letakkan kosnya.

Katakan anda nak buka sebuah bengkel servis dan selenggara kenderaan. Saya berikan contoh kat bawah. Apa yang anda boleh buat supaya orang ramai tahu tentang workshop anda tu.

  1. Lokasi – Buka tepi jalan raya yang jumlah kenderaan lalu lalang tinggi. Dengan pilihan lokasi begini, tak perlu buat apa-apa lagi untuk orang tahu kewujudan workshop anda tu. Kos sewa saja mahal tapi bab kos sewa kedai tak masuk dalam kategori no. 4 ni. Maksudnya kos untuk orang tahu jika workshop anda tepi jalan adalah percuma.
  2. Pasang signboard – Buat signboard besar yang jelas dan nyata serta menarik untuk gambarkan workshop jenis apa anda fokus. Ini ada kos sedikit tapi sekali buat tak perlu buat untuk 3 atau 4 tahun lagi. Bajet signboard yang mengancam dalam RM2,500 saja.
  3. Buka Page Facebook dan media sosial lain – Dalam zaman sekarang anda boleh buat page atau akaun dalam media sosial secara percuma saja.
  4. Buat fliers – Anda boleh tempah design fliers atau broshure yang menarik menceritakan tentang workshop dan apa yang anda tawarkan kepada pelanggan dan edarkan. Bajet dalam RM1000 untuk aktiviti ini.
  5. Buat business card – Design dan cetak kad bisnes anda untuk diedarkan kepada pelanggan dan setiap orang yang anda kenal.
  6. Buat tanda arah ke workshop – Design dan pasang tanda arah disekitar jalan raya dalam lingkungan 2 kilometer dari workshop anda. Ini ada melibatkan kos lesen dari majlis perbandaran dan kos tempah signboard tunjuk arah. Bajet dalam RM2,500
  7. Buat kenduri pembukaan – Panggil satu kampung, taman dan masjid serta surau berdekatan untuk majlis pembukaan. Ini juga ada kos. Bajet dalam RM3,000
  8. Iklan – Boleh guna media massa konvensional tapi mahal. Kalau nak bajet, boleh saja cari mana-mana influencer yang ada ramai pengikut dalam industri berkaitan bisnes anda untuk war-warkan tentang workshop anda dan apa istimewanya. Bajet dalam RM1,500. Kalau kebetulan anda kenal ramai yang punya akaun media sosial popular, lagi mudah dan murah.
  9. Taja program berkaitan dengan industri automotif – Ini agak mahal juga. Tapi kalau anda kenal pengurus event, boleh bincang ntuk dapatkan kos kawan-kawan. Bajet dalam RM1,500
  10. Kerjasama dengan penjual kereta terpakai – Pergi cari bisnes kereta terpakai sebanyak mungkin dan bincang kerjasama dengan mereka. Kosnya mungkin belanja minum saja. Bajet dalam RM300 saja.

Pilih mana yang kosnya rendah

Dari senarai yang saya dah buat kat atas tu nampak memang ada banyak juga kos bawa pelanggan yang percuma atau murah. Ertinya, kalau anda tak ada bajet, masih tetap terlaksana untuk aktiviti beritahu pada orang ramai.

Maksudnya, idea bisnes anda tu sangat berdaya saing dalam bab beritahu orang ramai.

Apa yang paling baik dalam pertimbangan kos bawa pelanggan ini adalah semua idea yang paling murah. Lagi banyak idea murah atau percuma anda boleh buat, lagi bagus idea bisnes anda tu.

Begitulah, lebih kurang cara nak buat pertimbangan idea bisnes anda dalam bab kos bawa pelanggan ini.

Moga anda faham bab ini.

Sekarang kita sambung kepada perkara ke-5 pulak di bawah.

5. Kos jualan perlu rendah


Saya terangkan terlebih dahulu apa itu kos jualan.

Ia bermaksud segala kos yang anda terpaksa keluarkan apabila berlakunya jualan. Kalau orang tak beli, tak ada kos perlu dikeluarkan.

Contoh mudah. 

Kalau anda buat bisnes jual karipap kat rumah misalnya. Bila ada orang beli, kena ada karipap. Jadi semua kos yang diperlukan untuk buat karipap itu dikira sebagai kos jualan.

Kalau jualan tak berlaku, karipap tak perlu ada.

Mungkin anda tanya, ‘macam mana nak bisnes karipap kalau tak ada karipap?’.

Kena lah buat karipap terlebih dahulu untuk tunjukkan pada orang yang anda jual karipap!.

Betul!

Tapi anda boleh saja ambil gambar cantik dan menawan, letakkan kat page FB dan mula pasarkan dan ambil tempahan pada mereka yang berminat.

Kalau tak ada orang tempah, tak perlu buat karipap. kalau ada orang tempah baru buat karipap sebanyak jumlah yang ditempah tu.

Kalau ambil contoh workshop baiki kenderaan pulak. Kos jualan adalah spare parts. Bila nak repair atau tukar parts, kena pergi beli parts tu. Berlakulah kos jualan.

Maksudnya, kalau tak ada pelanggan yang datang nak repair keretanya, tak ada spareparts pun tak apa.

Itu semua contoh mudah nak beritahu kepada anda apa maksudnya ‘Kos Jualan’.

Memang dalam bisnes, semua keadaan berlaku serentak. Jadi produk atau segala bahan untuk tunaikan pembelian biasanya diadakan terlebih dahulu.

Realitinya begitu, tapi saya asingkan kesemua kes sebab nak bagi mudah faham dan supaya dapat bezakan antara kos jualan dengan kos tetap.

Penting sangat untuk anda faham beza antara kos tetap dengan kos jualan ni. Sebab ia memudahkan anda buat pembetulan dan susun strategi dalam melancarkan dan menguruskan kewangan bisnes anda.

Kita rumuskan begini ..

Kos Jualan bermaksud segala kos yang perlu dikeluarkan apabila berlaku jualan

www.bisneskecil.com

Kos jualan perlu rendah

Ideanya adalah untuk pastikan bahawa kos jualan terhadap perniagaan yang anda nak jalankan tu adalah serendah yang mungkin.

Yang terbaiknya adalah jika kos jualan adalah percuma.

Lansung tak ada kos. Anda tak perlu keluarkan duit sendiri satu senpun untuk tunaikan pembelian dari pelanggan.

Contoh yang paling banyak orang buat bisnes tanpa ada kos jualan ni adalah seperti bisnes dropship. Anda pasarkan produk pada orang ramai yang disasarkan.

Bila ada pembelian, pelanggan akan bank-in duit terlebih dahulu. Anda ambil duit tu transfer kepada pemilik produk yang akan buat semua kerja pembungkusan dan penghantaran.

Produk tak sampai lagi kepada pelanggan, anda dah buat untung!

Dropship adalah idea perniagaan yang kos jualan memang tak ada.

Kos jualan dalam industri pembuatan

Biasanya kos jualan dalam industri pembuatan adalah segala bahan mentah yang diperlukan untuk buat produk tersebut.

Anda perlu kira kesemua kos sehingga mampu ketahui berapa kos produk per unit.

Bagi mereka yang dah ada pengalaman dalam industri pembuatan tentu mahir untuk buat kiraan ni. Tapi bagi mereka yang tak ada pengalaman dalam industri pembuatan tentu keliru sikit.

Biasanya untuk mudahkan kiraan, anda perlu mulakan dengan buat anggaran terlebih dahulu. Kemudian bila jalankan aktiviti membuat tu, wajib kira kesemua barang, bahan mentah yang dibeli secara terperinci.

Kita buat contoh mudah dalam bisnes jual karipap.

Anda beli tepung, kentang, rempah, daging dan sebagainya. Buat karipap 100 biji.

Jika karipap anda jual dengan harga 50 sen sebiji, maka untuk 100 biji karipap anda boleh dapat RM50.

Bila kira kesemua kos bahan mentah yang anda catiti tadi untuk buat 100 biji karipap, termasuklah kos minyak masak, gas dan lain-lain yang berkenaan, katakan anda keluarkan sebanyak RM20

Jadi kos jualan anda adalah RM20 untuk 100 biji karipap. maksudnya, satu karipap kos jualan anda adalah 20 sen sahaja.

Macam itulah lebih kurang kiraannya. Itu jika anda sendiri buat semua kerja.

Jika anda upah seorang Ibu Tunggal untuk buat kesemua karipap tu dengan bahan mentah yang diberikan, kena kira upah kerja ibu tunggal tadi.

Kos kerja ibu tungga itu termasuk dalam kos jualan. Tapi bukan kos tetap sebab dia hanya dibayar berdasarkan jumlah karipap yang dibuatnya dan bukannya gaji tetap.

Kalau anda bayar gaji tetap kat dia, tak boleh masuk dalam kos jualan sebab ianya dah jadi Kos Tetap.

Nampak tak?

Kos jualan dalam industri perkhidmatan

Dalam industri perkhidmatan pula ada sedikit perbezaan berbanding industri pembuatan.

Tak ada bahan mentah dalam industri perkhidmatan.

Yang ada hanyalah segala bahan yang diperlukan untuk tunaikan servis tersebut. 

Macam bisnes cuci rumah, kos jualan adalah bahan pencuci sahaja. Kalau tenaga kerja anda bayar ikut kerja, maka kos bayaran kepada pekerja itu juga masuk kos jualan.

Tapi kalau pekerja anda tu dibayar gaji tetap, ia tak termasuk dalam kos jualan.

Macam itu juga dengan industri perkhidmatan seperti repair kereta umpamanya. Anda hanya perlu pergi ambil atau beli spare parts untuk tunaikan pembelian.

Jika anda dapat kemudahan kredit dari pembekal spare parts, maka kos jualan anda juga adalah percuma. Bila pelanggan bayar, barulah anda buat pembayaran kepada pembekal spare parts.

Tapi kalau anda tak ada kemudahan kredit, kena beli secara tunai, maka kos spare parts itu termasuk dalam kos jualan. Ada kos kat situ.

Bila nak mulakan bisnes bengkel kenderaan, berusaha untuk dapatkan kemudahan kredit dari pembekal spare parts adalah idea yang terbaik. Ini berdasarkan petua yang saya katakan kat atas tadi.

Idea bisnes yang terbaik adalah bisnes yang mana kos jualan adalah paling rendah.

Kalau tak dapat kemudahan kredit, kena fikirkan cara lain untuk elak keluarkan kos spare parts tu.

Boleh cuba idea untuk minta pelanggan keluarkan duit separuh atau jumlah yang mencukupi untuk anda pergi beli spare parts.

Itu juga akan membuatkan kos jualan anda percuma sebab tak keluarkan duit dari poket anda sendiri. Pelanggan yang keluarkan.

Perah otak rendahkan kos jualan

Saya yakin penerangan kat atas tu dah sangat mudah dan boleh difahami.

Setiap kali anda merancang idea bisnes, pastikan untuk semak, perah otak cari jalan bagaimana nak buat supaya kos jualan idea bisnes anda itu adalah yang paling rendah.

Itu akan menyelamatkan anda dalam mengharungi liku-liku perniagaan yang sangat mencabar.

Moga bermanfaat buat anda yang sedang merancang nak mulakan bisnes.

Kat bawah ni kita akan lihat pula perkara no. 6

6. Sukar untuk ditiru

Ada banyak elemen dalam sesebuah bisnes yang anda jalankan. Dari segi produk, pasaran, cara pembuatan, cara pengedaran, cara bayaran dan lain-lain lagi.

Semua itu menjadikan bisnes anda berbeza berbanding bisnes yang sama yang dilakukan oleh orang lain.

Dari segi terma, keseluruhan bisnes anda itu boleh dipanggil sebagai ‘Model Bisnes’.

Bagi anda yang pernah belajar pasal ‘Business Model Canvas’ atau pendeknya di sebut BMC, tentu dah biasa dengar perkataan model bisnes ni.

Secara ringkasnya, anda boleh saja jumpa dua orang peniaga yang buat bisnes jual nasi lemak. Tapi tidak semestinya mereka mempunyai model bisnes yang sama.

Sekali dengar rasa macam sama. Kedua-duanya jual nasi lemak. Tapi hakikatnya, bila anda zoom kepada model bisnes, akan nampak jelas model bisnes mereka tidak sama.

Mungkin yang seorang tu sasarkan pembeli majoriti berbangsa Cina. Sebab kawasan dia jual nasi lemak tu majoritinya orang berbangsa Cina yang tinggal di kawasan itu.

Sudah tentu rasa nasi lemaknya perlu pertimbangkan citarasa atau lidah orang Cina. Perlu tak berapa pedas sangat umpamanya. Lauknya juga tentu berbeza dan lebih sesuai untuk pelanggan yang dia sasarkan.

Jika kawasan tersebut ramai orang berada, tentu lauk yang ditawarkan juga berbeza. Dipelbagaikan dengan lauk-pauk yang istimewa dan agak mahal.

Semuanya akan berbeza berbanding seorang lagi yang jual nasi lemak di kawasan majoriti penduduk Melayu yang ada banyak flat PPRT di sekitar kawasan tersebut.

Lauknya juga berbeza. Mungkin fokus utama adalah untuk sediakan bungkusan nasi lemak berkonsepkan bajet. Nasi biar banyak, lauk sikit tak apa dan kuah mesti pedas yang tidak kemut.

Dari situ anda boleh lihat ada dua model bisnes yang berbeza walaupun kedua orang peniaga tersebut buat bisnes nasi lemak.

Ada terlalu banyak perbezaan yang anda boleh cipta untuk menjadikan model bisnes anda berbeza daripada bisnes orang lain.

Kalau anda masih ingat tentang subjek probability atau kebarangkalian. Katakan anda mahu gabungkan nombor 1, 2, 3, 4 & 5 dalam berbagai kemungkinan yang ada.

12345, 13245, 14235, 15234, 23451, 23415, 23145, ..

.. banyak lagi gabungan atau susunan berbeza yang anda boleh reka dengan kesemua 5 nombor tu. Semuanya nampak sama tapi tak serupa.

Bisnes juga macam itu.

Anda boleh pelbagaikan susunan dan pendekatan dari keseluruhan kemungkinan yang ada untuk menjadikan bisnes anda berbeza berbanding orang lain.

Semuanya bergantung kepada tahap kreativiti yang ada dalam minda anda.

Yang paling penting untuk anda pastikan adalah supaya idea model bisnes yang diketengahkan itu sukar untuk ditiru.

Semakin sukar, semakin baik bisnes anda.

Ia dapat berikan satu pertahanan yang kuat mengelak dari orang lain meniru idea bisnes anda.

Kalau ada pesaingpun, disebabkan model bisnes anda unik dan sukar ditiru, pesaing akan hanya menjadi pesaing secara tidak lansung sahaja. Bukan pesaing secara lansung.

Contohnya kalau anda jual nasi lemak dengan konsep atau model bisnes yang sama dengan satu lagi peniaga nasi lemak lain tak jauh dari kawasan itu, anda terpaksa berebut pasaran yang sama. Kalau pelanggan beli kat sana, dia tak akan datang beli lagi di gerai anda pula.

Tapi kalau anda punya model bisnes berbeza. Akan ada kemungkinan dia akan tetap datang beli kat gerai anda juga, sebab ada sesuatu yang berbeza tidak didapati oleh pelanggan pada pesaing sana.

Pilih sesuatu yang anda cekap

Jika keunikan yang anda ada adalah resepi turun temurun dari puteri Gunung Ledang, kebetulan pula anda merupakan satu-satunya waris yang mendapat rahsi resepi tersebut, maka tak ada lagi orang lain yang boleh tiru resepi anda melainkan jika didedahkan kesemua rahsianya.

Itu akan membezakan anda dari segi produk.

Tambahkan lagi kesukaran orang nak tiru dengan pastikan anda ada kesemua lesen dan memenuhi segala prosedur lain yang dikenakan oleh pihak majlis perbandaran.

Itu juga akan sukarkan kemunculan pesaing baru untuk datang mencabar pasaran anda.

Mengenal pasti kelebihan yang anda ada, samada kemahiran, pengalaman, keturunan, rupa paras, bakat, lokasi, pemilikan dan lain-lain lagi seumpamanya akan dapat membantu anda untuk jadi unik dan berbeza.

Oleh itu, bila berniaga, sentiasa ingat untuk suluh diri dan bukan nak tengok orang lain punya idea untuk ditiru.

Kalau anda boleh tiru dengan mudah apa yang orang lain buat, sudah tentu akan ada orang lain yang dengan mudah pula tiru apa yang anda buat.

Tapi bila anda lihat kelebihan yang ada berbanding orang lain. Kecekapan yang anda lebih bagus berbanding orang lain, lalu diguna pakaikan untuk menjadikan bisnes anda berbeza, akan membuatkan bisnes anda sukar untuk ditiru oleh orang lain.

Sekian!

Harap bermanfaat dan membantu untuk anda merenung semula idea bisnes yang ada dalam kepala anda sekarang dalam bab jadikan bisnes yang sukar untuk ditiru.

7. Boleh segera dimulakan


Untuk kriteria yang ke-7 ni, anda perlu pertimbangkan samada idea bisnes tu boleh segera di mulakan atau ambil masa yang panjang sebelum nak boleh buat.

Dalam bahasa orang pantai timur, mereka kata ‘boleh mula selalu’. Bermakna, pantas atau segera boleh dimulakan. (Untuk kawan-kawan pembaca dari pantai timur, minta tolong betulkan saya kalau silap ya!)

Pastikan bisnes anda ‘boleh mula selalu’

Idea bisnes yang baik adalah idea yang mana bisnes yang anda nak buat boleh dimulakan dengan pantas. 

Tak payah nak tunggu masa yang lama untuk dimulakan.

Untuk nak mudah faham saya berikan dua idea bisnes yang berbeza yang mana tempoh nak mulakan bisnes tu tak sama.

Idea bisnes yang baik adalah idea bisnes yang pantas untuk dimulakan

Mohd Shubhi

Idea pertama: Bisnes cuci rumah

Katakan anda nak mulakan bisnes khidmat cuci rumah orang yang baru nak pindah masuk.

Anda pilih idea bisnes tu selepas 7 tahun berpengalaman kerja dengan syarikat yang menjalankan bines perkhidmatan pembersihan dan penyelengaraan.

Oleh kerana anda tak ada banyak modal nak mulakan bisnes tu sekali gus secara besar-besaran, maka anda buat keputusan yang bijak mulakan secara kecil-kecilan terlebih dahulu.

Sebaik saja idea nak buat bisnes sendiri tu terpancul keluar dari benak kepala anda, malam tu selepas berbincang dengan pasangan, anda terus nekad nak mulakannya esok.

Malam itu juga anda mula buka page di FB, hias dengan cantik headernya, senaraikan servis yang anda tawarkan dan fokuskan kepada mereka yang nak cuci rumah mereka di kawasan berdekatan dengan tempat anda tinggal.

Anda jemput semua kawan-kawan dari senarai FB anda untuk like page tersebut malam itu juga.

Kebetulan kawan-kawan semuanya jenis yang kuat berikan sokongan, maka anda berjaya dapat like malam itu juga seramai 50 orang. Mudah sebab semua kawan-kawan anda tu tahu pengalaman anda dalam bidang cuci rumah ni.

Malam itu juga dah ada pertanyaan. Anda tak risau untuk berikan pencerahan ke atas segala kemusykilan yang ada dari mereka yang bertanya.

Bab harga juga anda tak ada masalah. Maklumlah dah lama berkecimpung dalam bidang yang sama dan andfa ambil tahu pasal harga pasaran selama ini.

Jika esok ada permintaan untuk khidmat cuci rumah, anda tak risau sedikitpun. Memang boleh buat terus.

Anda boleh pergi ke kedai hardware saja untuk dapatkan segala barang dan beralatan yang patut dalam hal ehwal mencuci rumah ni. Tak payah nak susah-susah perlu ada barang yang sophisticated.

Kalau ada permintaan nak kena pakai mesin scrubber pun, anda tahu kat mana boleh sewa semua mesin tu.

Sebab itu anda berani untuk teruskan buat aktiviti pemasaran sebaik saja idea bisnes tu keluar.

Itulah yang saya maksudkan dengan kriteria ‘boleh mula selalu’ ni. Hari ini keluar idea, esok dah boleh terus buat bisnes tu.

Idea kedua: Bisnes repair kereta

Kita cuba lihat pula bagaiman nak mulakan idea bisnes kedua anda ni. Katakan anda nekad nak buka sebuah workshop baiki kenderaan sendiri.

Anda memang seorang mekanik yang handal. Dah 15 tahun berkhidmat dalam industri automotif ni sejak anda habis belajar. Juga dalam bidang yang sama.

Mulanya anda masuk Giat MARA, belajar pasal automotif. Habis Giat Mara, anda mohon masuk ke Malaysia France Institute (MFI). Lanjutkan lagi dalam bidang automotif.

Selepas habis belajar, anda dapat kerja jadi mekanik di sebuah workshop. Kerja 2 tahun kat situ anda loncat masuk kerja jadi mekanik di Pusat Servis kenderaan Perodua. Kerja kat situ selama 4 tahun.

Selepas itu, rezki anda murah, dapat pula masuk jadi foreman kat Pusat Servis Kenderaan Toyota. Kat situlah kerjaya anda mula naik. Dari mekanik anda berjaya pula jadi Service Advisor sebab anda pandai goreng dan ambil hati pelanggan.

Semua itu membuatkan anda ada satu himpunan pengalaman yang padu untuk buka dan jayakan sebuah workshop baiki kenderaan anda sendiri.

Bila nekad nak buka workshop sendiri, anda mula merangka semua keperluan untuk memulakannya.

Idea bisnes workshop ni sudah tentu tak sama macam idea bisnes cuci rumah orang kat atas tadi.

Mana boleh malam ni nak mula bisnes workshop esok pagi terus boleh mulakan.

Perlu ada premis, perlu ada peralatan, perlu ada lesen berniaga kat premis tu. Perlu pilih tempat yang benarkan oleh pihak Majlis Perbandaran dan panjang lagi senarai perlu ada itu.

Katakan sekarang anda ada 2 pilihan. Samada nak buka workshop atas tanah sendiri. Kebetulan ayah anda ada tawarkan untuk pakai tanah di tepi jalan yang dia ada untuk digunakan bagi tujuan bisnes.

Atau, anda sewa saja workshop seorang kawan yang dah nak gulung tikar sebab tak tahan dengan perniagaannya yang suram.

Mana satu pilihan yang anda akan buat?

Buat workshop sendiri, atas tanah sendiri yang lapang memang bagus. Tapi sudah tentu ambil masa yang lama untuk naikkan bangunan dan sediakan segala kemudahan yang diperlukan untuk dijadikan sebuah workshop yang meyakinkan pelanggan.

Kalau anda ambil alih workshop kawan yang nak bungkus tu, esok juga dah boleh mulakan. Paling lamapun, ambil masa sekitar 2 minggu untuk buat perubahan susun atur, pembersihan, cat semula dan tukar imej segar sebagaimana yang ada dalam gambaran di dalam kepala anda.

Kwan tu pula mudah bincang. Dia surh anda beli terus semua peralatan yang ada dengan harga pukal. Cara bayarannya pula boleh bincang. Anda boleh buat beberapa kali bayaran ikut kemampuan.

Agaknya, mana satu pilihan anda?

Pilih yang paling pantas

Untuk buat keputusan penting ni, anda boleh ikut pedoman yang saya berikan.

Pilihlah jalan yang paling mudah dan paing pantas nak mulakan bisnes anda tu. Jadinya, pilihlah cara kedua. Ambil alih workshop kawan. Sebab itu jalan paling pantas yang membolehkan anda terus mulakan perniagaan.

Dalam perniagaan, kepantasan masuk pasaran adalah satu kriteria yang banyak kelebihannya.

Boleh cepat mula, boleh cepat buat aktiviti pemasaran, boleh cepat beroperasi dan boleh cepat berusaha buat yang terbaik untuk menjaakan idea bisnes anda.

Bila semuanya dah diusahakan, kalau nampak macam tak boleh jalan, anda boleh cepat-cepat bungkus. Tak perlu kemut-kemut harung dan harung dan menambahkan kecederaan yang akhirnya boleh membawa maut dan taubat tak mau niaga dah.

Dari dua contoh idea bisnes yang saya berikan kat atas tadi, saya yakin anda nampak apa yang dimaksudkan dengan boleh mula selalu ni.

Jadikan panduan ini sebagai cara penting untuk anda buat keputusan dalam idea perniagaan yang anda nak jalankan.

Jom tengok bab modal pulak di bawah.

8. Modal mula paling minimum


Modal permulaan untuk berniaga ni satu bab yang paling panas dibincangkan oleh orang yang ada hasrat berniaga tapi masih tak berniaga.

Modal permulaan juga jadi batu penghalang paling besar yang cuba diubah oleh mereka yang nak berniaga. Ramai yang masih tak berniaga bila persepsi ini melekat kukuh dalam pemikirannya.

Bagi yang secara degil, cari jalan juga untuk berniaga, dia akhirnya akan mula berniaga juga walaupun tak berapa nak ada modal.

Tapi setelah mula berniaga, jika ditanya apa masalah yang dia hadapi untuk majukan lagi bisnesnya, dia masih akan tetap kata, “masalah modal tak berapa nak ada!”

Modal permulaan sentiasa tak cukup

Pernah sekali saya berceramah pada lebih dari 50 usahawan yang dah berniaga. Sebelum itu saya buat sesi suai kenal. Beri peluang pada setiap yang hadir ceritakan perniagaan dan kedudukan bisnes masing-masing.

Dalam dewan itu ada himpunan usahawan dari yang kecil dengan hasil jualan hanya beberapa ribu saja sebulan sehingga beratus ribu sebulan.

Menariknya, hampir kesemuanya angkat tangan bila saya tanya siapa yang rasa modalnya tak cukup.

Maksudnya, semua masih kekal pegang persepsi modal permulaan masih tak ada dan diperlukan lagi untuk ke depan.

Yang peliknya, mereka yang dah pergi jauh, dengan jualan yang mencecah puluhan ribu malah ada yang ratusan ribu, sedar yang mereka berjaya naik tanpa suntikan modal baru yang banyakpun.

Mereka pusingkan segala duit yang beredar masuk dan keluar dalam perniagaan mereka sedikit demi sedikit sampai bola pusingan tu makin lama makin membesar.

Solusinya, saya cadangkan kepada semua yang ada dalam sesi ceramah itu, untuk pergi tanya kawan yang lebih besar darinya dari segi nilai jualan, macam mana dia buat untuk membesar begitu tanpa ada suntikan modal baru.

Apa yang cuba nak saya buktikan adalah, ada cara lain yang boleh bantu anda membesar tanpa suntikan modal baru.

Tapi sudah tentu, saya akur bahawa dengan adanya suntikan modal baru yang banyak, proses besarkan bisnes adalah lebih mudah dari tak ada modal.

Tapi, sebagaimana semua tahu, bukan mudah nak minta duit dari pihak bank atau agensi kewangan lain untuk dilaburkan dalam perniagaan masing-masing.

Pihak bank akan kejar nak bagi duit pada bisnes yang memang tak ada masalah duit.

Mohd Shubhi

Pihak bank juga akan lari jauh dari bisnes yang tak ada duit.

Memang pelik, memang tak kena dari segi logik mudahnya. Sepatutnya, tawarkan duit pada bisnes yang tak ada duit dan tak payahlah nak bagi duit pada bisnes yang ada banyak duit.

Namun begitu, semua mesti ingat. Pihak bank juga merupakan sebuah entiti perniagaan. Mereka nak untung, bukannya nak tolong. Ertinya, keuntungan adalah paling utama dan tolong datang kemudian.

Perniagaan memang macam itu.

Transaksi dalam perniagaan hanya akan berlaku bila kedua-dua pihak sama-sama untung.

Itu yang akan dipastikan terlebih dahulu oleh kedua-dua pihak. Bila ada, baru sama-sama nak tolong menolong.

Fokus supaya modal permulaan paling rendah

Ideanya adalah untuk pastikan bisnes yang anda nak mula buat itu memerlukan modal yang paling sedikit yang boleh.

Lagi rendah, lagi bagus idea bisnes anda tu.

Macam yang saya katakan kat atas tadi. Modal kalau ada memang bagus. Tapi kalau tak ada, bukan bermakna anda tak boleh mula berniaga. Jika kreatif, insyaallah, masih tetap boleh mula berniaga.

Saya bukan cerita pasal teori kat sini.

Saya sendiri mula berniaga tanpa ada modal pun. Kesemua bisnes yang saya buat, tak ada satu senpun modal keluar dari poket saya. 

Dari bisnes awal sekali buat bisnes jual baja, sampai bisnes pest control, dan lain-lain bisnes yang berjaya menjana duit, tak perlukan modal.

Yang lucunya, hampir kesemua bisnes yang bila saya ada duit, laburkan berpuluh ribu, semuanya hancur.

Bisnes yang saya mulakan dengan ada modal lebih banyak yang lebur dari sukses.

Ada satu buku yang saya baca, tak ingat buku mana satu. Dia kata orang kaya adalah mereka yang paling mudah untuk kita ambil duit mereka.

Makin kaya, makin berkurangan tahap pekanya terhadap risiko duit hilang. 

Bila saya ada duit, sukar nak berkira sama macam masa tak ada duit. Lebih cenderung nak lebih kurang dan alpa. Sifat semula jadi manusia yang suka jimatkan tenaga.

Dari pengalaman, saya dapat sahkan yang kata-kata itu ada benarnya!

Rancang idea bisnes macam biasa dulu

Macam mana nak amalkan konsep mulakan bisnes dengan modal paling sedikit?

Cara paling mudah adalah dengan buat perancangan macam biasa saja terlebih dahulu.

Apa gambaran yang ada dalam kepala anda untuk menjalankan bisnes itu, senaraikan terlebih dahulu.

Buat kesemua senarai perkara dan benda yang diperlukan satu persatu sampai lengkap sempurna untuk mulakan bisnes anda.

Selepas itu, buat klasifikasi antara yang wajib ada dan yang tak wajib ada. 

Wajib ertinya kalau tak ada bisnes tu tak boleh dijalankan. Asingkan dua kategori yang wajib ada dalam satu senarai.

Dari situ, anda dah boleh zoom sekali lagi pada senarai item yang wajib ada tu. Fikirkan macam mana nak adakan item itu tanpa perlu ada duit.

Saya berikan contoh macam mana saya mulakan bisnes khidmat ‘Fumigation’ tanpa ada pejabat, pekerja dan peralatan untuk buat kerja. Yang saya ada hanya syarikat sahaja.

Saya pergi cari Taukeh syarikat yang ada kesemua kemudahan untuk buat kerja, bincang kerjasama dan bila termeterai persefahaman, terus pergi cari pelanggan.

Tak lama berusaha, syarikat baru saya tu terus mula jana sales lebih kurang RM20 ribu sebulan dengan hanya saya seorang sahaja pekerja dalam syarikat itu!

Dari situ saya susun dan bina sedikit demi sedikit. 

Mula cari pejabat tumpang kat pejabat kawan, mula adakan pekerja dan akhirnya sedar tak sedar dah ada macam-macam kemudahan dari peralatan sampai banyak kenderaan syarikat.

Satu senpun tak ambil pinjaman dari bank untuk hasilkan semua itu!

Nota: Semua kenderaan baru yang saya beli untuk operasi sudah tentu buat loan bank. Benda boleh loan, nak beli cash buat apa kan!

Perah akal sampai boleh

Modal paling besar yang ada dalam diri anda itu adalah akal. Gunakan ianya sebaik mungkin supaya modal kebendaan dan kewangan datang sendiri pada perniagaan anda.

Jika anda benar-benar perah akal, sudah pasti sentiasa nampak jalan.

Satu lagi modal besar dan penting yang perlu diadakan adalah kepercayaan orang kepada diri anda.

Kepercayaan orang pada anda ini macam buka akaun bank. Sebaik saja anda kenal orang, berbuat baik dan berlaku jujurlah.

Bantu tanpa mengharapkan balasan. Itu merupakan simpanan kepercayaan anda kepadanya. Macam simpanan duit yang anda masukkan ke dalam akaun bank.

Makin lama makin besar simpanan tu.

Dengan simpanan duit dalam akaun satu bank tertentu, anda boleh tunjukkan pada bank lain. Itu akan jadi cagaran untuk bank lain berikan anda pinjaman dan kemudahan lain pula.

Kepercayaan yang anda mahukan dari orang lain sama juga. 

Bila banyak simpanan kepercayaan anda pada seseorang, ia boleh membantu menarik pekercayaan orang lain pula dari kalangan kawan yang dah percaya pada anda tu.

9. Sediakan produk susulan


Selain dari produk utama, perlu ada banyak lagi produk susulan untuk ditawarkan kepada pelanggan

Kita dah sampai ke kriteria ke-2 terakhir semua perkara yang wajib anda tahu, semak dan fikirkan setiap kali nak mulakan perniagaan. Tak kisah samada anda memang dah berniaga, atau baru nak cuba-cuba berniaga, panduan ini saya yakin sangat bermanfaat.

Di atas, saya dah tulis pasal isu modal permulaan untuk jalankan bisnes. Ideanya adalah untuk perah otak cari jalan bagaimana nak pastikan modal permulaan yang paling rendah sahaja diperlukan untuk memulakan bisnes anda tersebut.

Kali ni kita lihat pasal produk pula.

Produk utama dan produk susulan

Dalam apa saja bisnes, pasti akan ada satu produk utama yang usahawan nak ketengahkan.

Disebabkan produk utama itulah perniagaan itu dibuat.

Produk utama itu dirasakan ada ummmph! 

Ada kelainan berbanding pesaing samada secara terus atau tidak terus.

Produk utama itu juga dirangka untuk selesaikan masalah pelanggan dengan lebih cekap berbanding produk lain dalam pasaran.

Kebanyakan peniaga tak berapa perasan apa produk utama yang dia ketengahkan sebab bisnes yang dia buat adalah hasil dari peniruan bisnes yang dah ada dalam pasaran sahaja.

Jika ditanya apa produk utama bisnesnya, dia akan jawab keseluruhan bisnes itulah produk utamanya.

Bila kita tiru model perniagaan yang memang dah lama wujud memang begitu. Tambah lagi jika anda ada modal permulaan yang banyak, maka permulaan bisnes akan terus dibuat dengan konsep model perniagaan yang dah terbukti berjaya tu.

Sediakan saja apa yang anda lihat ada pada semua bisnes yang terbukti berjaya.

Contoh paling mudah adalah seperti bisnes workshop.

Pergi lihat workshop yang nampak berjaya, buat senarai apa yang ada kat workshop tu, buat salinan susun atur wortkshop tu, buat aliran perjalanan bisnes tu dan lain-lain lagi.

Kemudian dapatkan loan dari PUNB RM500 ribu, buka satu workshop saling tak tumpah macam workshop yang anda lihat atau pernah ada pengalaman bekerja kat situ.

Tapi cuba bayangkan anda jenis yang nak ikut nasihat cara saya nak mulakan perniagaan. Modal tak ada.

Pinjaman Mara, PUNB semua tak layan. Malah, TEKUN pun tak layan. Duit dalam simpanan hanya ada dalam RM4 atau RM5 ribu saja.

Dalam keadaan macam tu takkan nak buka workshop lengkap macam kedai yang pernah anda kerja dulu tu?

Tentu tak mampu!.

Kalau anda ada sesuatu yang istimewa, samada skill atau idea yang berlainan, maka anda terpaksa berikan tumpuan kepada skill itu sahaja terlebih dahulu.

Orang yang macam ni lah selalunya akan bermula secara kecil-kecilan. Fokus kepada kemahiran uniknya. Dan mula bertapak naik selangkah demi selangkah.

Saya pernah jumpa seorang pemilik workshop yang bermula macam tu. Dia berhenti sekolah menengah, buka workshop kat rumah kampung sebab sangat minat dengan dunia kereta perlumbaan.

Makin lama makin ramai orang datang repair dan akhirnya kena marah dengan orang kampung. Terpaksa cari workshop yang betul di kawasan bangunan kedai.

Nak pindahpun tak ada duit nak bayar deposit 2+1 walaupun kos sewa kat area Perak tu sangat murah masa tu. Dalam RM300 sahaja sewa kedai end lot tu. Tapi main dengan duit tak ada, deposit 2+1 yang lebih kurang RM900 tu pun tak lepas!

Nak dipendekkan cerita, mak dia bagi RM1 ribu. Dengan modal itulah dia sewa kedai tu. Hanya kosong saja kedai atau workshopnya. Adalah sedikit peralatan yang serba kekurangan.

Tapi sebab dia ada kemahiran repair kereta sport dan orang percaya dia memang bagus, maka tak lengkap macam workshop lainpun orang datang juga.

Dari situ dia menapak naik. Dalam tempoh 13 tahun, dia punya beberapa bisnes workshop yang besar dan berjaya. Berebut la pulak orang nak bagi loan dan sebagainya.

Apa produk utama anda

Panjang lebar saya cuba terangkan pasal produk utama sebab nak bagi anda faham bahawa cara sedemikian adalah cara yang biasanya terbukti berjaya.

Malah menjimatkan duit. Kalau gagalpun, tak habis rugi banyak sangat duit sebab segalanya dimulakan dengan fokus kepada produk utama yang satu saja terlebih dahulu.

Bila fokus pada satu produk macam itu, nak buat strategi pemasaran juga sangat mudah. Tak perlu pening-pening cari idea. Hanya perlu kreatif susun ayat saja untuk sampaikan satu-satunya kelebihan skill, atau produk yang anda tawarkan yang berbeza dari orang lain.

Kita ambil contoh Taukeh workshop yang saya cerita kat atas tu.

Produk utamanya adalah dalam bab repair kereta orang yang minat kepada perlumbaan atau nak tingkatkan prestasi kereta.

Jadi, orang datang sebab atas tujuan utama tersebut.

Bla orang dah datang, takkan nak diam macam tu saja jika apa yang dia mahukan diselesaikan!

Adalah lebih bijak untuk rangka tawaran-tawaran lain yang berkaitan dengan kereta. Ada macam-macam sebenarnya kalau cerita bab workshop ni.

Kalau modal tak cukup, anda boleh buat kerjasama dengan workshop lain yang serba lengkap peralatannya.

Pelanggan yang datang percayakan anda. Jadi, adalah lebih mudah untuk jual atau tawarkan produk susulan atau sampingan kepada pelanggan yang memang dah percaya.

Sekalipun pelanggan tahu anda pakai workshop lain, pelanggan tentu yakin kepakaran anda dalam memilih workshop yang menepati kualiti dan citarasa pelanggan.

Satu lagi contoh adalah kedai jual telefon.

Bila anda pergi beli telefon, dia akan tawarkan banyak lagi produk sampingan yang berkaitan dengan pembelain anda tersebut.

Rumusannya adalah, selepas dah yakin dengan keupayaan produk utama anda, fikirkan pula apa lagi produk susulan atau sampingan yang anda boleh tawarkan kepada pelanggan yang datang.

Wajib ada produk susulan tersebut. Lagi banyak lagi bagus.

Macam saya berikan contoh kat atas, tak semestinya anda kena sediakan sendiri. Boleh saja buat jalinan kerjasama dengan kawan usawahan lain yang boleh support perniagaan anda.

10. Minimumkan proses yang berulang


Ini perkara terakhir dalam senarai 10 perkara yang wajib anda semak terlebih dahulu, sebelum memula idea bisnes.

Ia menyentuh perkara operasi dalam melaksanakan jualan apabila ada pembelian.

Semakin rendah proses ulangan operasi bagi melaksanakan pembelian, semakin bagus potensi idea bisnes anda

Mohd Shubhi / wwwbisneskecil.com

Ayat tu masih kurang jelas jika tidak diterangkan dengan lebih panjang. Saya berikan contoh produk yang sangat baik dari segi tahap ulangan ni. 

Produk yang terbaik adalah yang perlu dibuat sekali sahaja. Bila dah siap, tak perlu nak ulang-ulang lagi setiap kali pelanggan datang nak beli.

Contoh mudah adalah 'e-book'.

Katakan anda buat satu e-book bertajuk ‘Panduan menjadi jutawan dalam tempoh 5 tahun’

Buku ambil masa 6 bulan untuk disiapkan. Itupun setelah melalui proses kajian dan pengumpulan segala maklumat yang terbukti berkesan dan berjaya selama lebih dari 5 tahun.

Bila dah selesai siapkannya, anda masukkan ke dalam portal menjual online dan mula pasarkannya secara meluas dan menarik.

Bila ada pelanggan berminat untuk beli, dia hanya perlu buat pembayaran. Kemudian, e-book itu boleh dimuat turun.

Seramai manapun orang yang beli, proses yang sama seperti di atas akan berlaku. Mudah saja, bayar dan download.

Anda boleh bercuti makan angin atau buat apa saja kerja lain yang anda suka tanpa perlu berikan tumpuan kepada pembuatan produk e-book itu lagi.

Itulah produk impian terbaik yang mampu anda buat dalam dunia teknologi internet sekarang.

kalau dulu, sebelum ada semua kemudahan internet dan komputer, produk terbaik adalah tulis dan jual buku.

Tulis buku ambil masa setahun, lebih atau kurang. Lepas dah siap manuskrip, mula buat cetakan dan edarkan di semua kedai buku yang ada.

Orang hanya perlu pergi kedai buku dan bayar untuk dapatkan satu naskah buku tulisan anda itu. Bila dah habis semua buku terjual, proses yang perlu dibuat adalah sekadar ulang cetak sahaja.

Tak payah nak tulis semula buku tu.

Proses menjual produk buku lebih dua tiga langkah panjang berbanding ebook. Tak perlu ulang tlis, tapi perlu juga cetak jika semua stok cetakan habis. Tapi masih tetap sangat pantas dan amat berkurangan ulang buat kerja bagi menghasilkan produk.

Proses ulangan operasi panjang

Ada bisnes yang tak boleh nak lari dari ulang semula setiap kerja dari A ke Z. Setiap kali ada pelanggan, maka semua kerja perlu diulang buat dari mula sampai habis.

Contoh paling mudah adalah bisnes konsultasi.

Katakan anda mendapat kerja untuk berikan khidmat konsultasi terhadap satu syarikat bagi membuat perubahan penambah baikan produknya.

Banyak kerja yang teraksa di lakukan untuk melaksanakan kerja konsultasi tersebut. Kena mula dari awal, study produk, dapatkan maklum balas pengguna.

Lepas tu kena pi tengok bagaimana produk tu dikeluarkan ari A ke Z juga sehinggalah ke peringkat produk tu dipasarkan sampai ke tangan pengguna.

Semua kena tengok secara terperinci.

Bila dah selsai kerja pengumpylan maklumat, kena buat rumusan pula dan merangka cadangan perubahan dan lain-lain yang seumpamanya.

Bla dah selesai semua kerja tu, baru dapat bayaran.

Bila anda nak mulakan kerja yang sama pada pelanggan lain, kena ulang kesemua proses yang sama dari A sampai Z sekali lagi.

Memang tak boleh nak elak semua kerja tu.

Bisnes macam tu memang sangat meletihkan dan tak ada cara lain lagi nak pantas kan segala proses tersebut. Mungkin sekarang dengan teknologi sains maklumat, ianya jadi lebih mudah dan pantas.

Tapi tetap kena lalui kesemua proses juga setiap kali nak buat konsultasi kerja baru kepada pelanggan baru.

Pendekkan ulangan operasi

Ideanya kat sini adalah nak jadikan bisnes anda itu masuk dalam kategori paling minimum proses mengulang buat kerja operasi atau kerja hasilkan produk sebelum kutip duit dari pembeli.

Hasil dari proses ulang yang pendek, jualan berlaku kepada pelanggan dengan pantas.

Zaman sekarang ada banyak produk dah masuk dalam kategori macam tu. Ini berlaku hasil dari perkembangan teknologi pembuatan yang makin lama makin canggih.

Kasut dibuat terlebih dahulu dengan saiz-saiz yang berbeza dan dijual dengan mempamerkannya di kedai-kedai kasut.

Kalau setiap kali nak beli kasut anda perlu ambil ukuran terlebih dahulu, kemudian mula buat kasut untuk pelanggan dari awal sampai siap, memang sangat meletihkan.

Tapi sebelum perang dunia pertama dahulu, kebanyakkan produk memang macam tu. Tak banyak barang yang dibuat terlebih dahulu. Hampir kesemuanya dibuat hanya apabila ada pembeli.

Satu lagi contoh adalah baju raya seperti baju kurung dan baju melayu.

Ada 2 pilihan untuk model bisnes baju tradisional atau baju raya anda tu. Ambil tempahan, buat ukuran dan baru mula potong dan jahit.

Satu cara lagi, buat terlebih dahulu siap berdasarkan beberapa saiz universal yang berbeza. Kemudian edarkan di kedai-kedai atau ajen jualan.

Cara kedua adalah lebih baik berbanding cara pertama.

Fikir bagaimana nak automasikan

Perkataannya adalah automasi.

Itu mungkin teknik yang dapat membantu anda kurangkan proses ulang buat kerja dari A ke Z.

Satu lagi adalah dari segi masa.

Fikirkan macam mana nak percepatkan proses produk atau perkhidmatan jadi lebih pantas dan pelanggan tak perlu tunggu lama untuk dapatkan produk.

10 perkara wajib periksa dan betulkan

Saya berjaya tulis panjang lebar 10 perkara wajib semak sebelum mula bisnes kat sini.

Harap usaha ini dapat memberikan sedikit ilmu yang bermanfaat buat anda yang sedang merangka nak buat perniagaan.

Untuk memudahkan, saya senaraikan kesemua 10 perkara tersebut sekali lagi di bawah.

  1. Tahap desakan
  2. Saiz Pasaran
  3. Potensi harga
  4. Kos bawa pelanggan
  5. Kos jualan rendah
  6. Susah nak tiru
  7. Boleh mula selalu
  8. Modal permulaan paling sikit
  9. Perlu ada tawaran susulan
  10. Proses berulang minimum

Kesemua perkara yang tersebut di atas, adalah 10 perkara lengkap yang wajib anda fikirkan, semak dan rancang betul-betul.

Dengan berbuat demikian, idea bisnes anda adalah lebih masak dan tidak jadi syok sendiri.

Namun begitu, ia bukanlah satu jaminan yang bisnes anda tu akan berjaya. Jika kesemua 10 perkara itu dan sempurna, masih ada satu lagi faktor utama.

Faktor orang yang nak menjalankan bisnes tu.

Taukeh mesti komited dan banyak bersabar. Jika anda dah bagus, staff juga kena bagus. Tak boleh nak harapkan semuanya pada taukeh saja.

Perjalanan menjayakan sesebuah bisnes adalah teruk dan mencabar. Tapi kalau anda tak rasa ngeri dengan semua itu, hasil dan kepuasan yang anda mampu perolehi adalah sangat berbaloi


Post a Comment

Previous Post Next Post