6 perkara asas yang anda perlu buat supaya bisnes tak alami kerugian


Artikel panjang ini adalah panduan khas buat para pengusaha bisnes kecil yang mahu pastikan bisnes mereka tidak mengalami kerugian.

Walaupun panjang, saya yakin ianya amat berbaloi dan memberikan manfaat yang besar untuk anda baca.

Artikel ini sesuai untuk anda yang seperti berikut.

  1. Baru berniaga - Ini artikel khas untuk anda yang baru nak belajar yakinkan diri dalam dunia bisnes yang baru anda ceburi. 
  2. Dah lama berniaga lama - Lama tapi sampai sekarang masih tak berkembang. Masih pulun seorang diri atau sesama keluarga sahaja. Sentiasa rasa tak yakin untuk lebarkan sayap, ambil pekerja atau tambah pekerja supaya bisnes anda lebih maju. 
  3. Peniaga kecil separuh masa - Sesuai juga untuk anda yang masih menjalankan bisnes secara sambilan sahaja. Masih rasa was-was samada nak berhenti kerja untuk berbisnes sepenuh masa atau tidak.

Semua perkara asas yang saya kongsikan di bawah, anda boleh lakukan sendiri dengan kadar segera.

Impaknya, insyaallah, pasti akan datang. Mungkin cepat, mungkin ambil masa sikit. Harap anda mampu bersabar. Yang penting, ada impak.

Sebaik saja ianya mula memberikan kesan, insyaalah kesan kebaikan itu akan lekat berkekalan.

Berusaha keras agar bisnes tak rugi

Wahai pembaca budiman, anda perlu ingat pesan ini ! 

Usaha untuk membina sebuah bisnes yang berjaya, tidak rugi dan kukuh memerlukan masa.

Sama seperti usaha menjadikan badan anda sihat, cergas dan sasa. Tak boleh dilakukan dengan pantas, 2 atau 3 minggu. Malah, 2 atau 3 bulan pun masih tak cukup. Ia harus diusahakan secara berterusan sedikit demi sedikit.

Cuba bayangkan.

Kalau anda mahu badan jadi sasa melalui senaman angkat besi, berlari dan sebagainya, selama 7 hari berturut-turut siang dan malam tanpa rehat!

Anda pun tahu itu kerja gila. Apa yang anda akan dapat hanyalah keletihan tahap kronik. Boleh jadi masuk hospital terlantar atas katil.

Tak ada yang anda dapat selain dari sakit sana dan sini.

Dalam keadaan sebegitu, sudah pasti anda akan buat rumusan bahawa ianya adalah satu cubaan yang sia-sia. Lalu terus padam niat untuk jadikan badan sasa.

Usaha sedikit tapi konsisten

Masih lagi perumpamaan jadikan badan sihat dan sasa.

Cuba buat usaha yang sedikit saja, dalam 30 minit sekali. Contohnya angkat besi sekurang-kurangnya 3 kali dalam seminggu. Jogging atau senam robik 30 minit untuk setiap 3 hari dalam seminggu.

Buat semua itu secara konsisten sehingga jadi amalan rutin.

Jika anda berjaya buat sebegitu, akan mula timbul rasa tak selesa, seperti ada kekurangan, kalau tak dapat lakukan semua amalan rutin tersebut di atas.

Sama badan sasa atau tidak, anda tak akan ambil perhatian sangat. Yang penting, dapat rasa selesa, rasa segar setiap kali dapat lakukan kesemua amalan itu.

Bila dah dapat rentak sebegitu, ianya akan berterusan 2, 3 bulan. Terus lagi jadi 6 bulan. Teruskan lagi sampai setahun, 2 tahun. Amalan itu sudah terbentuk jadi tabiat yang berlaku secara konsisten.

Apa yang akan berlaku?

Sudah pasti akan ada perubahan ketara berlaku pada bentuk badan anda.

Jadi segar, sihat, dan insyaallah kejap serta sasa. Perubahan ketara itu dapat dilihat dengan jelas oleh kawan-kawan, sudah berlaku pada diri anda.

6 perkara asas elak bisnes rugi

Untuk pastikan bisnes tak rugi, anda perlu ambil pendekatan sama seperti perumpamaan sihatkan tubuh badan di atas.

Perlu berusaha sedikit demi sedikit. Buat perkara yang betul dan berkekalan sampai ia jadi satu amalan biasa yang anda lakukan dalam menguruskan bisnes.

Untuk jadikan bisnes tak rugi, anda perlu berikan perhatian penuh terhadap semua proses kecil yang betul secara berkekalan.

Fokus pada amalan itu saja.

Berikut saya kongsikan kesemua amalan tersebut. Ia merupakan 6 perkara yang perlu anda usahakan agar bisnes tak rugi.

1. Kira jumlah duit masuk & keluar

Ada dua aktiviti penting di sini.

  • Jumlah duit masuk – Setiap jualan yang berlaku dicatit. Catit dalam buku 3×5 atau dalam excel spreadsheet. Kalau guna aplikasi lagi bagus. Catit maklumat, bila, dari siapa, produk, kerja apa dan berapa jumlahnya. Pantau jumlah sehari, seminggu, setengah bulan dan sebulan.
  • Jumlah duit keluar – Anda hanya perlu catitkan jumlah duit yang dikeluarkan bila beli barang untuk laksanakan jualan. Kira kos bahan mentah yang dibeli. Simpan semua resit supaya mudah buat catitan serta jumlahkan.

Dalam berniaga, kedua-dua aktiviti di atas merupakan aktiviti kiraan yang paling kerap berlaku.

Selagi anda masih buka kedai, masih berniaga, selagi itu lah kedua-dua aktiviti catit dan jumlah di atas berlaku.

Sekali anda lalai, lalu tinggal aktiviti itu, kerja akan bertimbun. Jika ditangguh, akhirnya anda akan putus asa dan terus tak buat.

Jadi, jangan tangguh. 

Anggap yang kerja tak habis, selagi proses catit dan jumlah itu tidak dilakukan.

2. Kira margin untung kasar

Kalau dah buat langkah no. 1 kat atas tu, langkah no. 2 ni boleh dianggap dah separuh siap.

Cuma tinggal nak kira saja.

Sebelum itu, saya nak kongsikan petua bab kadar keuntungan.

Dalam setiap perniagaan, pastikan margin untung kasar adalah 50% atau lebih.

Maksudnya, dalam setiap RM100 yang anda terima dari pelanggan, ada untung kasar sebanyak RM50 atau lebih.

Saya kongsikan cara kira kadar untung kasar di bawah ni.

Pertama, kira jumlah jualan yang anda catitkan dalam satu tempoh (sebulan umpamanya).

Kedua, ambil jumlah kos bahan mentah (kos jualan).

Ketiga, untung kasar adalah jumlah jualan sebulan tu, ditolak dengan jumlah kos bahan mentah sebulan.

Untung Kasar = (Jumlah Jualan) – (Jumlah Kos Jualan)

Margin Untung Kasar % = [(Untung kasar) / (Jumlah Jualan)] x 100

Buatlah macam manapun, cari jalan supaya margin untung kasar adalah 50%.

Kalau anda masih tak jumpa jalan cara nak jadikannya 50%, perlu datang cari saya. Belanja minum kopi kat Starbuck, kita akan cuba selesaikannya.

Kalau segan nak jumpa saya, cari kawan-kawan yang geliga akalnya.

Berikan soalan tersebut padanya. Suruh dia cari jalan macam mana nak pastikan bisnes dapat, secara purata, margin sebanyak 50% setiap bulan !

OK! 

Sekarang saya dah andaikan yang anda dah berjaya pastikan purata margin untung kasar perniagaan yang anda jalankan adalah 50% setiap bulan. Kita ke langkah no. 3 di bawah.

3. Pantau Titik Pulang Modal

Anda, sebagai seorang pengusaha bisnes kecil perlu tahu perkara mudah tetapi penting ni.

Namanya Titik Pulang Modal (TPM).

Orang putih panggil Breakeven Point.

Jangan rasa takut dengan nama yang diberikan itu.

Ianya sekadar nama saja.

Kalau anda rasa tak selesa dengan nama tu macam hebat sangat. Boleh cipta nama anda sendiri. Mungkin rasa lebih seronok panggil TPM tu dengan nama Titik Berahi Bisnes.

atau

Titik Lega. 

Ikut suka nak panggil apapun. Asalkan anda tahu macam mana nak kira benda ajaib tu.

Kos tetap perniagaan

Sebelum dapatkan titik ajaib tu, anda perlu kira kos tetap yang bisnes anda perlu bayar setiap bulan.

Kos tetap ni biasanya hanya perlu kira sekali saja. Sebab sama saja jumlahnya setiap bulan. Berulang-ulang yang anda perlu bayar setiap bulan.

Tak sama macam Kos Jualan kat atas tadi yang lain hari, lain bulan, kiraannya akan naik dan turun bergantung kepada jumlah jualan yang berjaya dibuat.

Kos tetap adalah, semua pembayaran wajib tak kira samada anda buka kedai atau tidak. Kalau cuti Raya selama 2 bulan contohnya, sewa kedai masih tetap kena bayar juga setiap bulan.

Pemilik kedai yang anda sewa tu tak ada belas kasihan nak pertimbangkan untuk tak perlu bayar kalau cuti 2 bulan.

Sama juga kalau anda buka kedai, tapi lansung tak ada jualan selama 3 bulan berturut-turut. Sewa kedai masih tetap kena bayar.

Tiada maaf bagi mu!

Cara kira kos tetap

Ambil kertas dan buat senarai satu persatu segala kos tetap yang anda wajib bayar. 

Tak kira samada anda buat bisnes kat rumah atau sewa kedai.

Kos tetap paling utama adalah Gaji anda sendiri. Ramai peniaga terlepas pandang bab ni. 

Anda perlu tetapkan gaji yang wajib diambil setiap bulan untuk perbelanjaan peribadinya, keluarga dan tanggungan.

Memang betul, masa awal bisnes perlu banyak berkorban. Tapi itu bukan bermakna anda perlu pejam mata tak ada gaji. Terlebih lagi jika anda lelaki, yang ada kewajipan sara anak dan isteri serta ibubapa.

Ada 3 tahap gaji yang perlu dirangka untuk tentukan gaji taukeh yang bertungkus lumus berusaha hidupkan bisnes. 3 tahap itu adalah seperti berikut.

  1. Gaji asas – Ini jumlah gaji paling minimum yang sesuai untuk mereka yang baru mula berniaga. Jumlahnya bergantung kepada komitmen yang anda perlukan untuk hidup. Makan minum, penginapan, pendidikan anak, perubatan, kenderaan, hutang peribadi dan lain-lain lagi. Anda sendiri tahu berapa jumlahnya yang wajib ada setiap bulan. Ingat! yang wajib saja. Hanya perkara asas yang perlu dipertimbangkan. Bukan untuk hidup selesa. Contoh RM1500
  2. Gaji selesa – Jika bisnes anda dah berjaya berikan gaji asas di atas secara konsisten, perlu sasarkan gaji selesa pulak. Sama macam tadi, anda sendiri yang tentukan berapa gaji selesa yang anda mahu. Asalkan waras dan logik berdasarkan bisnes yang sedang dibuat. Contoh RM4000
  3. Gaji idaman – Jika bisnea dah berjaya berikan gaji selesa seperti kat atas tu, ini merupakan tahap ketiga. Panduan mudah terhadap gaji idaman adalah 5 angka. Ertinya, paling kurang, perlu sasarkan gaji anda sebanyak RM10 ribu setiap bulan.

Wajib tetapkan gaji taukeh

Majoriti besar usahawan akan belasah ambil berapa saja yang ada, baki setelah bayar semua kos bisnes.

Kalau jualan banyak, maka banyaklah yang dia ambil. Kalau jualan tak seberapa, ikat perutlah tahan sabar.

Yang malangnya kalau jualan asyik sikit sahaja. Tak pernah berjaya naik dan anda terpaksa tahan sabar bertahun-tahun lamanya dengan gaji ala kadar.

Kalau anda ada pembantu atau pekerja, gaji mereka mungkin jauh lebih banyak dan tetap berbanding gaji anda sendiri.

Itu sebab utama kenapa perlu tetalkan gaji taukeh.

Bila dah tetapkan, persoalan samada syarikat dapat bayar atau tidak bukanlah satu masalah. 

Memang itulah tujuannya.

Supaya anda tahu berapakah jumlah jualan minimum yang wajib dicapai supaya bisnes mampu bayar gaji anda tu.

Selain dari itu, dengan tetapkan gaji, maka segala perbelanjaan yang berkaitan dengan bisnes boleh diasingkan dari perbelanjaan yang berkaitan dengan peribadi.

Jangan campur adukkan urusan belanja bisnes dengan peribadi.

Kira kos tetap yang lain

Bila dah jelas dengan berapa gaji yang anda perlu ambil dari bisnes, barulah kira kesemua kos tetap yang lain pula.

Fikirkan masak-masak dan buat senarai satu persatu. Saya boleh berikan contoh seperti di bawah ini:

  • Gaji pekerja – amalkan bayar gaji tetap yang diberikan setiap bulan sekali atau separuh bulan sekali. Mudah nak urus.
  • Sewa kedai – Kalau anda tumpang rumah ibubapa, jangan alpa untuk bayar sewa bila anda jadikan rumahnya sebagai pusat anda beroperasi. Bagi dia rasa sejuk dan berbangga dengan anda. Insyaallah dia akan doakan untuk perniagaan anda lebih berjaya lagi.
  • Bil air dan eletrik – Berapa kena bayar setiap bulan. Peruntukkan bajet yang mencukupi.
  • Logistik – kos perjalanan seperti tambang Grab, minyak petrol dan seumpamanya untuk anda bergerak jumpa pelanggan, pembekal, pelabur, mentor, kawan tempat mengadu dan lain-lain lagi. Tetapkan kos bergerak ini samada bisnes buat jualan atau tidak, anda perlu lazimkan keluar jumpa orang.
  • Marketing – peruntukkan kos untuk ketengahkan bisnes anda supaya lebih ramai orang yang anda sasarkan tahu yang anda wujud. Lebih ramai yang tahu, lebih tinggilah kemungkinan untuk mereka jadi pelanggan anda.
  • Bayaran ansuran kenderaan – kalau anda ada kenderaan yang digunakan untuk bisnes anda itu, pastikan bisnes anda yang bayar segala kos bulanannya serta selenggaraannya.
  • Hutang perniagaan – kalau anda ada pinjam dari Tekun, MARA, PUNB, Bank Rakyat, MIDF atau mana-mana agensi perbankkan. Berapa jumlahnya setiap bulan.
  • Selenggaraan – Kalau anda ada mesin atau peralatan yang perlu diselenggara 6 bulan sekali contohnya. Kira jumlah setahun dan pecahkan kepada 12. Itu adalah jumlah komitmen bulanan yang anda perlu tanggung.
  • Kos luar jangka – peruntukkan sedikit kos luar jangka supaya anda sentiasa ada duit kalau keperluan tiba-tiba muncul tanpa diduga.

Kadang-kadang, ada kos yang hanya perlu dibayar setahun sekali atau dua kali. Kira jumlah setahun dan pecahkan kepada 12 supaya anda tahu berapa kos bulanannya.

Jangan terlepas pandang satupun kos tetap yang anda perlu tanggung.

Kalau syarikat jenis 'sendirian berhad', ada kos setiausaha dan audit. Itupun perlu diambil kira. Dapatkan jumlahnya setahun dan pecahkan kepada 12.

Berapa jumlah kos tetap bulanan anda?

Selesai buat kesemua senarai kat atas tadi, jumlahkan kesemuanya.

Bila dah dapat semua kos tetap tu, anda dah boleh kira untung bersih perniagaan sekarang (Untung bersih sebelum ditolak cukai).

Caranya mudah saja.

Untung bersih = (Untung kasar) – (Kos tetap)

Mudah kan!

Sekarang ambil masa dan buat semua kiraan tu.

Anda akan dapat samada untung bersih atau rugi bersih. Untung atau rugi tak jadi hal. Yang penting, dah tahu di mana kedudukan bisnes anda sekarang.

Titik pulang Modal

Jika anda kira dan dapati untung bersih adalah bersamaan atau menghampiri kosong. Maka anda dah berjaya jumpa titik pulang modal bisnes tu.

Jika untung bersih adalah kosong (0 - Zero), rujuk semula jumlah jualan keseluruhan kat atas tadi.

Itulah titik pulang modal yang anda wajib capai setiap bulan supaya bisnes tak rugi.

Itu tugasan anda bermula dari sekarang.

Pastikan jumlah jualan sebanyak itu sentiasa tercapai walau apapun yang berlaku.

Berusaha untuk untung dan kekal lama

Ada orang berjaya jadikan bisnesnya tak rugi dalam masa yang pantas.

Ada sesetengah orang, ambil masa yang lama.

Yang pastinya, tak ada orang orang yang boleh mula berniaga dan terus untung. Saya maksudkan orang yang ada niat untuk bina sebuah bisnes atau syarikat yang mampu bertahan selama yang mungkin.

Alang-alang nak jadi usahawan, eloklah ada niat untuk membina syarikat yang boleh kekal lama. Dapat perturunkan kepada anak cucu.

Atau sebuah syarikat yang akhirnya dikendalikan oleh kumpulan profesional ke tahap yang lebih jauh. Sejauh mungkin.

Kalau buat bisnes sekali sekala ikut musim. Buat duit kemudiannya berhenti. Cari pula projek lain, buat duit dan berhenti. Itu namanya buat duit. Bukan nak berusaha untuk bina apa-apapun melainkan nak buat duit saja. 

Kita tak nak bincangkan projek keusahawanan semacam itu dalam artikel ini.

Ulangkaji

Sebelum kita teruskan, jom ulang kaji semula.

Saya ulang balik kesemua perkara yang dah saya kongsikan semua di atas. Untuk pastikan bisnes tak rugi perlu buat semua di bawah ini.
  1. Pantau duit keluar dan masuk – Harap semua dah cekap buat urusan penting ini. Kalau ada modal, gunakan teknologi supaya urusan ini jadi lebih mudah dan teratur.
  2. Kira margin untung kasar – Pantau segala belian yang diperlukan untuk tunaikan segala pembelian yang berlaku. Catit dan ambil kesemua resit kos jualan. Dari jumlah jualan dan kos jualan, anda dah boleh dapatkan kiraan jumlah untung kasar. Pastikan untung kasar 50% atau lebih berbanding jumlah jualan.
  3. Kira titik pulang modal dan pastikan sentiasa lepas – Untuk kira titik pulang modal, anda perlu seleaikan kiraan untung bersih perniagaan yang anda buat tu. Untung bersih sebelum cukai mudah saja nak kira bila anda dah tahu untung kasar. Kos tetap perniagaan tu hanya perlu kira sekali saja sebab ianya adalah tetap dan jarang berubah dalam keadaan bisnes berjalan seperti biasa.

KIta dah lihat macam mana nak kira Titik Pulang Modal di atas tadi.

Iaitu, jumlah jualan yang paling minimum perlu dicapai supaya perniagaan tidak untung dan tidak pula rugi.

Setelah tolak kesemua kos jualan, tolak kos tetap, tak ada lagi baki untuk disimpan dalam akaun bank syarikat anda.

Sekali pandang, nampak macam kerja sia-sia.

Apa kes berniaga macam itu. Satu senpun bisnes tak buat untung!.

Sebelum anda buat anggapan macam itu. Lihat semula macam mana anda kira tadi. Walaupun bisnes lansung tak ada baki, sekurang-kurangnya, gaji untuk anda sendiri sebagai pemilik bisnes dah selesai.

Boleh tunaikan semua tanggungan yang ada untuk teruskan kehidupan tanpa tekanan.

Dari pengalaman berurusan dengan peniaga kecil, saya dapati hampir separuh dari mereka tak sedar selama ini bisnesnya rugi!.

Tak payah nak cakap pasal gaji Taukeh. Memang tak pernah dapat tetappun dan sentiasa kurang daripada jumlah yang diharapkan.

Antara kesilapan paling popular adalah, tak tentukan gaji tetap Taukeh.

Sebab itu saya sarankan sangat, supaya anda tentukan terlebih dahulu keperluan gaji tetap anda. Supaya anda dapat pastikan Kapten kapal tak kojol terlebih dahulu.

Kalau kapten tak kojol, maka peluang untuk kapal terus belayar adalah jauh lebih tinggi.

Dengan tentukan gaji tetap taukeh, anda mula tetapkan sasaran yang betul, ke arah pembinaan syarikat, supaya boleh pergi lebih jauh.

Dalam masa yang sama melatih diri berdisiplin kawal perbelanjaan peribadi jangan sampai terlajak dan ikut perasaan.

Cara mudah cari titik pulang modal

Jika anda dah buat kesemua kiraan yang saya dah kongsikan di atas, anda tentu dah faham kesemua perkara asas yang perlu diketahui untuk pastikan jumlah jualan yang wajib dicapai setiap bulan.

Jika masih tak faham, tak perlu risau.

Anda masih boleh kira jumlah jualan minimum perlu dicapai (Titik Pulang Modal) dengan ambil jumlah Kos Tetap perniagaan anda tadi.

Titik Pulang Modal = (Kos Tetap) x 2

Katakan setelah dikira, anda perlu bayar segala kos tetap perniagaan sebanyak RM12,450

RM12,450 x 2 = RM24,900

Dari kiraan kat atas tu, maka jumlah jualan yang perlu anda capai setiap bulan adalah RM24,900 ke atas.

Nak mudahkan urusan, genapkan saja jumlah tu jadi RM25,000

Itu formula mudah macam mana nak kira Titik Pulang Modal bisnes yang anda buat sekarang. 

Syaratnya adalah pastikan anda dapat Margin Untung Kasar 50% berbanding jumlah jualan.

Saya dah terangkan betapa pentingnya untuk berusaha dengan apa saja cara, supaya bisnes yang dibuat boleh capai untung kasar separuh dari jumlah jualan.

Itu panduan cara saya. Mungkin sekolah bisnes lain berbeza caranya.

Kalau nak ikut saya punya cara, itulah yang akan jadi pedoman untuk tentukan samada sesebuah perniagaan itu, nak diteruskan atau tidak.

Kalau mustahil untuk buat margin untung kasar 50%, pertimbangkan semula samada nak teruskan dengan bisnes tersebut.

Untuk yang baru nak berbisnes, lebih mudah dan selamat pakai cara itu.

Tapi kalau anda dah ada duit melimpah-limpah dalam bank, tentu tak ada masalah samada bisnes ada untung besar atau kecil. Terserahlah!

Berusaha capai titik pulang modal

Bila dah tahu yang jumlah jualan perlu sentiasa lebih dari RM25,000 macam contoh kat atas tadi, maka berusahalah sehingga ianya dapat dicapai sepantas mungkin.

Kat situlah bermulanya peranan penting untuk mantapkan segala strategi 'Pemasaran & Jualan' perniagaan yang anda jalankan. 

Fahamkan proses pemasaran dan jualan. Buat aktiviti pemasaran dan jualan. Dan paling penting, ukur keberkesanan setiap usaha yang dilakukan.

Mana yang berkesan teruskan. Mana yang tidak berkesan, perlukan perubahan sampai ianya berkesan. 

Anda perlu pantau setiap hari dengan lihat hasil jualan yang berjaya dicapai. Kita lihat contoh jumlah jualan RM25 ribu yang perlu dicapai seperti kes kat atas tadi.

  • Anda perlu capai jumlah jualan dari 1 haribulan ke 30 haribulan sebanyak RM25,000.
  • Ertinya, dari 1hb sampai 15hb, jualan anda perlu capai RM12,500
  • Dari 1hb hingga 7hb (seminggu) jualan anda perlu ada RM6,250
  • Sehari (dengan andaian anda berniaga 6 hari seminggu), anda perlu capai jualan sebanyak RM1,042
  • Dari pukul 8 pagi anda mula berniaga sampai tengahari, jualan mesti ada dalam tangan sebanyak RM521

Kalau anda buat macam itu punya pemantauan. Betulkan setiap kali tak berjaya capai, dengan usaha yang lebih baik. Maka insyaallah akan ada hasilnya. 

Malah boleh dijadikan SOP perniagaan anda itu untuk diajar pula kepada orang bawah yang menguruskan perniagaan anda.

4. Adakan polisi beri hutang

Apa yang saya terangkan dari langkah #1 hingga langkah #3 tu dah mencukupi untuk anda pastikan supaya bisnes tak rugi.

Memang betul!, setakat kira saja, tanpa ada usaha untuk tingkatkan jualan, apapun tak akan menjadi. Tapi ramai yang kata mereka berusaha untuk tingkatkan jualan. Bertahun, malah berbelas tahun, masih tak capai-capai juga.

Puncanya adalah buat aktiviti pemasaran dan jualan tanpa ada satu sistem untuk membuat ukuran keberkesanan segala usaha yang telah dilakukan. 

Ertinya, tak ada sasaran jumlah jualan yang perlu dicapai.

Main bola tanpa gol seronok juga. Tapi lebih seseronok lagi jika ada tiang gol. Ada sasaran dan arah tujuan untuk anda pergi sehingga boleh tembak masuk gol.

Bila anda dah berjaya capai titik pulang modal, langkah ke-4 ni sangat penting. Jangan sia-siakan segala usaha itu dengan buat kerja banyak tapi duit tak dapat.

Perlu ada polisi dalam bab beri orang hutang.

Jika bisnes yang anda buat tu semuanya adalah tunai, tak jadi masalah. Itu bermakna, polisi hutang anda adalah, “No Hutang!”.

Polisi untuk berurusan secara tunai sahaja adalah polisi terbaik dalam apa jua perniagaan.

Tapi bukan semua perniagaan boleh buat macam itu. Ada kalanya terpaksa benarkan juga pelanggan berhutang.

Jika perniagaan anda jenis macam itu, buat polisi hutang perniagaan dengan jelas. Pastikan .. 

  • Prosedur untuk benarkan hutang – tetapkan segala syarat untuk membenarkan mana-mana pelanggan berhutang. Anda sendiri tentukan apa syaratnya.
  • Tentukah tempoh bayar habis – Anda juga perlu tetapkan tempoh untuk pembayaran penuh dibuat. Jangan main-main dengan tempoh tersebut dan pastikan anda serius pegang janji terhadap tempoh yang dibenarkan. Berikan peringatan dan hantar surat amaran bila tiada bayaran.
  • Tentukan jumlah maksimum – Jangan main bagi hutang macam itu saja tanpa tentukan jumlah maksimum yang dibenarkan dalam satu-satu masa. Setiap pelanggan mesti ada jumlah tertentu yang anda benarkan. Pegang janji dan serius dengan jumlah tersebut.
  • Hadkan jumlah maksimum hutang keseluruhan – Hadkan jumlah orang hutang dengan syarikat anda supaya syarikat mampu bertahan dan dapat terus rolling duit untuk uruskan perniagaan dengan lancar. Bila had dah cukup, hentikan beri hutang dan fokus untuk kutip balik segala hutang tersebut sebelum benarkan hutang semula.

Dengan adanya polisi berikan hutang yang jelas dan teratur, anda tak akan jadi seperti sesetengah perniagaan yang nampak sibuk riuh rendah buat kerja tetapi akhirnya terpaksa gulung tikar sebab duit orang pegang tak bayar.

Anda perlu ingat bahawa proses jualan masih tak habis selagi duit tak masuk ke dalam akaun syarikat.

Sebab itu saya masukkan bab polisi beri hutang ini dalam salah satu dari langkah pastikan bisnes tak rugi.

5. Rekrut pekerja yang sesuai

Ramai usahawan takut untuk merekrut pekerja tetap masuk dalam syarikat perniagaan mereka. Alasan paling popular adalah sebab takut tak mampu bayar gaji. Maka mereka berterusan berniaga buat kerja seorang diri dalam tempoh masa yang lama.

Tak ada syarikat yang boleh berkembang membesar tanpa adanya pekerja tetap yang uruskan syarikat perniagaan anda. Jadi mahu tak mahu perlu berani ambil pekerja.

Tak perlu nak risau pasal gaji sebab bukan anda yang bayar duit gaji mereka. Yang bantu bayar gaji pekerja ialah para pelanggan anda.

Untuk itu, perkara yang penting anda buat adalah untuk pastikan syarikat anda merekrut pekerja yang sesuai dan berkelayakan untuk melaksanakan kerjanya dengan baik dan cekap. Perlu ada cara atau sistem mereksut pekerja yang betul.

Fosmula asasnya mudah sahaja. Pastikan anda buat penilaian pekerja hanya berdasarkan dua perkara asas ini.

  • Sikap – Pastikan pekerja punya pemikiran dan sikap yang betul sesuai dengan budaya syarikat yang nak anda terapkan.
  • Kemahiran – Pastikan pekerja punya kemahiran yang cekap dan bersesuaian dengan kerja yang dia nak laksanakan. Jangan ambil orang yang pandai memasak untuk kerja cuci pinggan mangkuk. Kalau anda terpaksa ambil pekerja yang baik sikapnya tetapi kurang kemahiran, pastikan anda ada proses melatih kemahiran yang diperlukan.

Bila urusan merekrut pekerja yang sesuai berjalan lancar, urusan untuk pastikan syarikat anda tak rugi akan menjadi tersangat mudah. Malah lebih cekap daripada jika anda berniaga seorang diri. Semua berat dapat dipikul secara gotong royong.

Dengan adanya pekerja yang layak, kecekapan akan menjadi berganda. Satu campur satu akan jadi lebih dari dua.

6. Elak sikap semua nak buat sendiri

Langkah terakhir ini berkaitan dengan langkah nombor 5 di atas tadi.

Buang sikap nak buat semua urusan perniagaan anda sendiri. Kedekut, takut, tak yakin untuk serahkan tugasan kepada orang lain.

Anda perlu ada keberanian dan kepercayaan pada orang lain. Untuk permulaan, boleh upah orang lain yang lebih cekap dari anda untuk lakukan tugasan yang anda tak suka atau tak tahu nak buat. Perlu ada pemikiran sedemikian untuk belajar buang sikap semua nak buat sendiri ni.

Kalau masih tak perlu ambil pekerja tetap, boleh ambil pekerja part-time sahaja terlebih dahulu. Ini latihan awal untuk belajar bahagikan tugasan kepada orang lain.

Untuk pastikan mana tugasan yang anda perlu serahkan pada orang lain, terlebih dahulu anda perlu kenal pasti mana satu kerja yang paling penting yang anda perlu fokus untuk jayakan perniagaan anda.

Senaraikan semua kerja penting tersebut dan semak samada anda cekap atau tidak. Mana yang cekap, anda boleh buat sendiri. 

Mana yang tak cekap, cari orang lain yang jauh lebih cekap dari anda. Upah orang itu supaya dia boleh bantu anda selesaikan kerja penting tersebut.

Dengan membuang sikap semua nak buat sendiri, anda berlatih untuk mula menjadi seorang usahawan yang ‘work smart’. Bukan sekadar ‘work hard’.

Insyaalah, proses untuk jadikan bisnes tak rugi akan berjalan lebih lancar. Peningkatan akan berlaku berganda-ganda.

Tamat lah sudah artikel panjang ini. Proses untuk jadikan bisnes anda tak rugi. Moga semua perkara asas di atas dapat kita semua laksanakan.


Post a Comment

Previous Post Next Post