5 sebab utama kenapa pekerja bagus di syarikat anda cabut lari ke tempat lain


Pekerja bagus bukan senang nak cari. Kalau tak percaya, cuba tanya mana-mana majikan atau taukeh bisnes yang anda kenal.

Itu dilema besar yang sering menimpa para usahawan.

Kalau anda berniaga, tentu tahu. Perkara utama wajib ada supaya syarikat berkembang dan membesar, adalah kehadiran para pekerja yang bagus.

Dah jadi lumrah kehidupan pada perkara yang bernilai, ianya akan jadi sesuatu yang sentiasa tak cukup. Permintaan sentiasa melebihi bekalan.

Untuk usahawan, bab pekerja inilah yang paling sukar sekali untuk diselesaikan. Hampir semua industri menghadapi masalah yang sama.

Dah lah sukar nak cari pekerja yang ada kemahiran dan pengalaman. Untuk cari pekerja bagus, terlebihlah lagi sukarnya.

Mesin ganti pekerja bagus

Sebab itu syarikat-syarikat besar tidak fikir panjang untuk laburkan duit dalam mencari kaedah terbaik menggantikan manusia. Mereka mahu tukarkan dengan mesin.

Lebih mudah kendalikan mesin dari kendalikan manusia.

Sehingga kini, banyak mesin telah gantikan kerja yang selama ini dilakukan oleh manusia.

Dalam industri perbankan, mesin ATM buatkan kerani di kaunter bank dah tak ada kerja. Tak lama lagi, dengan kepesatan pembangunan Artificial Intelligence (AI), lebih banyak mesin akan buatkan manusia hilang kerja.

Banyak syarikat baru terutamanya di Israel dan Amerika memberikan tumpuan kepada penghasilan mesin yang cekap dan bijak, menyelesaikan masalah yang selama ini dilakukan oleh manusia.

Contoh paling ketara yang saya baca baru-baru ini adalah dalam penggunaan AI bagi membuat semakan terhadap kontrak perjanjian. Kerja itu selama ni dilakukan oleh peguam.

AI semak kontrak perjanjian dengan pantas dan lebih cekap, dari para peguam handal yang dah berpengalama lama buat kerja itu.

AI juga dah mula buat kerja para doktor dalam urusan diagnosis pesakit.

Hasil dari kerja yang dilakukan oleh AI dalam kedua-dua contoh yang saya berikan tadi, adalah jauh lebih cekap dan pantas berbanding orang.

Jangan terkejut jika selepas ini semua pekerja adalah mesin.

Mungkin itu adalah berita baiknya untuk para usahawan.

Lambat laun, masalah cari pekerja bagus sudah tidak timbul lagi. Diharapkan begitulah. Usahawan hanya perlu sediakan wang yang banyak sahaja untuk dapatkan akses kepada mesin.

Jenis kerja sesuai untuk mesin

Kerja manusia yang akan digantikan oleh mesin adalah jenis yang remeh. Kerja berulang, yang makan masa tetapi penting.

Manusia memang mudah jemu dengan kerja sedemikian. Mesin yang tak ada perasaan lebih sesuai buat urusan macam itu.

Satu-satunya yang mesin tak boleh buat adalah bab pengurusan.

Untuk itu, manusia lebih diperlukan dalam bab pengurusan. Keupayaan mengurus yang lemah akan membuatkan manusia jadi hampir tak bernilai.

Kalau orang-orang muda sekarang mahukan dirinya punya nilai yang tinggi, pastikan anda cekap mengurus. 

Setakat kuat buat kerja yang pakai tenaga sahaja sudah tak berapa berguna sangat untuk majikan satu masa nanti.

Pekerja asing yang ramai

Perkembangan mesin ganti kerja manusia pesat berlaku di negara maju seperti Jepun, China, Israel dan lain-lain.

Tapi, usahawan kat Malaysia masih banyak perlukan tenaga pekerja bagus untuk membina syarikat dan perniagaan yang kita jalankan. 

Memang kebanjiran mesin datang dalam skala besar tetap akan berlaku juga di negara kita, Malaysia, tapi bukan dalam masa terdekat ini.

Cuba lihat suasana dunia pekerjaan sekarang. Kita masih banyak pakai tenaga buruh murahan dari luar.

Jumlah tenaga kerja bukan rakyat Malaysia yang ada sekarang mencecah lebih 6 juta orang.

Ada pendapat yang kata keseluruhan tenaga kerja termasuk yang tak ada permit mungkin mencecah lebih 11 juta orang. 

Ertinya dalam 4 orang yang anda jumpa kat jalan tu, seorangnya adalah warga asing bukan rakyat Malaysia.

Kalau anda mengeluh ekonomi tak berapa baik untuk hidup sekarang, mungkin itu antara puncanya. 

Bayangkan jika selama ini, kita ingat kek ekonomi dikongsikan hanya oleh 37 juta rakyat. Tapi hakikatnya kita terpaksa berkongsi dengan lebih dari 48 juta orang. Patut lah rasa sempit sikit nak berusaha cari makan.

Mesejnya kat sini, semua itu menunjukkan negara kita masih bergantung pada aktiviti pembuatan dan pengeluaran yang fokus pada tenaga kerja murahan.

Masih tahap negara baru nak naik.

Kita bukannya negara berpendapatan tinggi yang bergantung pada aktiviti industri bernilai tinggi.

Kriteria pekerja bagus

Kita masih perlukan pekerja bagus untuk menjayakan bisnes.

Jadi, apakah kriteria mudah untuk kenal pasti pekerja yang bagus?

Saya berikan kriteria mudah tersebut di bawah,

  • Kemahiran – Pekerja yang bagus sudah semestinya pekerja yang punya kemahiran yang bagus. Kemahiran yang diperlukan bergantung kepada kerja apa yang anda tugaskan kepadanya.
  • Sikap – Selain dari kemahiran yang baik, perangai atau sikap juga mesti bagus. Berdisiplin, sentiasa perbaiki diri, bersikap positif dan sebagainya adalah ciri-ciri yang membuatkan seseorang pekerja itu jadi bagus. Sikap mestilah seiring dengan budaya syarikat atau cara taukeh buat kerja.

Kedua-dua kriteria di atas wajib ada pada pekerja yang bagus.

Kalau nak syarikat berjaya, carilah pekerja yang ada kedua-dua ciri tersebut. Kombinasi selain dari 2 ciri di atas tak diperlukan sangat dalam membantu syarikat untuk pergi jauh.

Ada 3 lagi jenis pekerja yang ada dalam sesebuah syarikat. Ianya adalah seperti berikut di bawah.

  1. Kemahiran tinggi perangai buruk – saya dah beritahu kat atas tadi, ini tak bagus untuk syarikat. Pekerja begini perlu diberi amaran untuk ubah sikap atau suruh dia belah.
  2. Kemahiran buruk dan perangai juga buruk – kalau anda ada simpan pekerja sebegini memang anda sengaja nak lingkupkan syarikat. Jangan fikir panjang untuk cari jalan beretika dan berlandaskan undang-undang untuk buang semua pekerja jenis macam ni.
  3. Kemahiran rendah tapi perangai cemerlang – Biasanya syarikat kecil dan sederhana lebih mudah untuk dapatkan pekerja jenis ini. Mereka tak berpeluang masuk kerja syarikat besar atas faktor kemahiran dan tak ada kabel untuk tolong.
    • Kadangkala anda silap letakkan kerja yang sesuai dengan kemahirannya. Letak semula pada kerja yang sesuai akan ubah golongan ini jadi pekerja bagus.
    • Biasanya mereka kurang pengalaman dan kurang latihan. Berikan dan sabar sedikit ambil masa. Latih supaya mereka jadi cekap dan seterusnya jadi pekerja bagus untuk syarikat anda secepat mungkin.

Kekalkan pekerja bagus syarikat

Jika anda sekarang ada pekerja yang bagus dalam syarikat, pastikan mereka dijaga seelok mungkin.

Kalau anda tak mahu jaga dengan baik, ada banyak lagi syarikat lain yang nak tolong jaga.

Jangan sampai pekerja yang bagus cabut lari ke syarikat lain.

Daripada kajian yang saya baca dari berbagai sumber, para pakar merumuskan ada 5 sebab utama kenapa pekerja bagus cabut lari.

5sebab itu adalah seperti berikut

1. Tiada kebebasan


Boss yang suka ambil tahu, arah itu dan ini secara tersangat ketat banyak membuatkan pekerja bagus cabut lari.

Pekerja bagus lebih suka kebebasan untuk melaksanakan tugasan dengan cara mereka yang tersendiri. Bila dah terlalu terkongkong, ejaan whatsApp pun boss nak tegur dan marah, alamat tak lama dia kerja dengan anda.

2. Tiada masa depan berkembang


Ini satu lagi faktor ketara dalam banyak syarikat kecil dan sederhana. Pekerja tak nampak prospek masa depan mereka dan tak tahu bagaimana kerjayanya boleh berkembang. 

Apa halatuju syarikatpun boss tak pernah cerita. Kerja yang diberikan pulak amat rutin dan tidak mencabar keupayaan mereka untuk belajar. Bila mereka bosan, cabut lari adalah jalan paling logik yang akan mereka buat.

3. Tak faham perasaan pekerja


Ramai pekerja bagus cabut lari bila boss jenis tak tinggi EQ. Kemahiran merasakan perasaan orang lain yang teruk membuatkan pekerja rasa diperhambakan. Manusia ni samada bijak atau tidak, lebih pentingkan perasaan. 

Jadi sila jaga perasaan mereka samada dalam kerjaya atau hal-hal peribadi untuk pastikan pekerja bagus tak cabut lari.

4. Hak jalani kehidupan seimbang


Memang boss nak majukan syarikat dan mahukan pekerja mereka mantap. Tapi itu tidak boleh dijadikan alasan hidup tidak seimbang. 

Kalau boss nak ligan kejayaan sampai hidup caca merba, itu boss punya pasal. Jangan babitkan pekerja jadi macam boss. Pekerja ada keluarga, ada kawan, ada badan dan jiawa yang perlu dipastikan sihat dan boleh dipakai lama lagi, jadi hormati hak pekerja untuk jalani kehidupan yang seimbang.

5. Tak berikan kredit dan motivasi


Ada boss yang kalau syarikat berjaya dia sapu semua kredit kejayaan itu pada dirinya seorang. Kalau syarikat merudum dia salahkan pekerja. 

Tak ada manusia yang akan kekal lama dengan boss macam itu. Berikan pujian, ucapkan penghargaan dan berikan kredit selayaknya pada pekerja bagus di syarikat anda, kalau tak mahu mereka cabut lari.

Itulah 5 sebab kenapa pekerja yang bagus dalam syarkat anda cabut lari. Saya juga agak lemah dalam melaksanakan kesemua 5 perkara tersebut di atas. Paling ketara adalah dalam perkara no. 5 kat atas tu.

Saya susah nak puji orang. Tapi kalau saya puji tu, bermakna memang saya benar-benar terharu dengan sumbangannya. Tapi rasanya masih tak cukup. Untuk mereka yang kerja dengan saya, maafkan saya kalau bab ke-5 itu masih lemah. Saya tahu dan akan baiki supaya lebih sempurna, insyaallah. Tolong berikan masa dan sabar dengan saya.

Bagi anda yang dah ada pekerja, sila ambil perhatian dengan apa yang saya kongsikan kat atas itu. Pekerja bagus adalah tulang belakang syarikat anda. Jaga mereka sebaik mungkin dan insyaallah anda menghampiri kejayaan.

Moga sama-sama dapat kita beramal!

Post a Comment

Previous Post Next Post