Paling minimum, anda perlu ada 3 tabiat penting ini untuk jadi usahawan berjaya

3 tabiat paling penting

Ada 3 tabiat paling penting yang anda perlu ada kalau ada niat nak jadi seorang usahawan yang berjaya.

Jika selama anda pernah bertanya tentang sikap bagaimana yang perlu ada untuk sediakan diri jadi usahawan, artikel ini ada jawapannya. 

Teruskan pembacaan anda .. 

Kepentingan tabiat baik

Cuba tanya kawan yang anda kenal. Yang dari dulu asyik kata nak henti kerja dan jadi usahawan, tapi sampai sekarang masih tak jadi-jadi.

Tanya padanya soalan ..

"Apa perkara paling penting dalam persediaan untuk jadi usahawan?"

Dia tentu jawab DUIT!

Itu kepercayaan yang ada dalam diri kebanyakan orang.

Mereka sangka duit adalah segala-galanya. Ada duit semua boleh jadi. Perlu ada banyak duit, baru boleh jadi usahawan berjaya. Dan lain-lain seumpamanya.

Saya dah alami sendiri pengalaman berkenaan duit.

Ini apa yang saya rumuskan ..

Duit bukan perkara paling penting yang anda perlu ada jika mahu jadi usahawan berjaya.

Saya yakin rumusan itu terpakai dalam semua perkara. Bukan saja dalam bab jadi usahawan. Untuk berjaya dalam apa urusan sekalipun, duit bukanlah perkara nombor satu.

Perkara No. 1, paling penting adalah diri anda sendiri.

Maksud saya, identiti fizikal apa yang membentuk diri anda. Kemudian tabiat yang dikaitkan dengan diri, sebagaimana orang kenal anda sekarang. 

Fizikal adalah perkara luaran. Tak boleh nak buat apa-apa lagi dah dari segi rupa paras. Tabiat adalah jauh lebih penting berbanding rupa paras.

Memiliki tabiat yang betul adalah perkara paling utama yang perlu anda perhatikan.

Tak guna kalau ada banyak duit, rupa paras menarik dan bijak, tapi tabiat yang anda ada buruk dan tak dapat bantu untuk jadikan anda sukses.

3 tabiat paling penting

Bila bercakap pasal tabiat atau sikap, ada banyak nasihat yang selalu kita dapat dari pakar motivasi. Samada dalam ceramah mahal mereka atau dalam buku tulisan mereka, berbagai sikap dihurai dan disarankan supaya semua orang bina untuk berjaya.

Tapi saya nak ringkas kesemua itu supaya jadi lebih mudah dan praktikal untuk anda lakukan.

Anda hanya perlu berikan tumpuan hanya pada 3 perkara sahaja. Sila perhatikan dan bina sampai jadi amalan dan tabiat diri. Tak banyak sangat tu! hanya 3 sahaja. Kalau 3 pun anda rasa macam berat dan tak mampu nak buat, memag layak sangat anda tak maju.

Jadi apa 3 tabiat paling penting yang perlu diperhatikan dan dibina tersebut?

#1. Bersemangat tinggi

Ini perkara paling asas. Nak jadi apapun perlu punya semangat yang tinggi.

Orang yang nak meninggal dunia sahaja yang akan terus hilang semua semangat yang ada. Sebab itu dia meninggal dunia. Bila otak kesan tuannya dah tak ada semangat untuk hidup, dia akan buka semua pintu yang memmudahkan tuannya untuk mati.

Saya dah tengok sendiri semua orang yang saya kenal. Bila mereka mula merepek sedih sana dan sedih sini, murung, tidak ceria, makan malas, bergerak malas, berfikir malas, semuanya malas. Tak ada satu perkarapun yang mampu menaikkan semangat mereka. Biasanya, tak lama kemudian saya akan dengar berita kematian mereka.

Jadi perlu ada semangat.

Walau macam manapun, bukan mudah duk tak duduk nak naik semangat. Mesti ada sebab untuk semangat kita naik. Biasanya semangat anda akan naik bila nak buat sesuatu yang anda suka atau minat.

Buat perkara yang disukai

Sebab itu hampir semua nasihat yang orang berjaya berikan kalau nak berjaya adalah, buat apa yang anda minat. Memang logik pun. Anda akan bersemangat buat segala urusan yang anda suka. Kena marahpun tak apa, dan tak dapat duit pun tak kisah. Apatah lagi jika anda buat perkara yang disukai dan dapat duit pulak! lagilah bersemangat.

Bagi saya, bila tahu nak jumpa kawan yang suka bincang bab-bab ilmiah dan berat, semangat saya akan naik. Rasa segar dan ceria tak sabar nak jumpa dan berbincang. Begitu juga bila tengok padang bola yang baru di-mesin rumputnya. Bau rumput baru dipotong dengan cuaca yang segar membuatkan saya terus rasa segar dan bersemangat.

Itu contoh mudah macam mana nak pastikan kita bersemangat. Perlu kenal pasti suasana, perkara atau amalan yang mampu membuatkan diri rasa bersemangat. Cari semua perkara yang membuatkan diri anda naik semangat dan catitkan untuk digunakan bila perlu.

Gaya hidup sihat

Untuk pastikan anda sentiasa bersemangat tinggi, perlu pastikan minda sentiasa sihat dan bertenaga. Dan untuk pastikan minda sihat dan bertenaga, tubuh badan anda perlu dijaga dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat.

Jangan lupa makan. Mungkin saya tak perlu sebut perkara itu, semua orang tak pernah lupa untuk makan. Tapi jangan makan sampai tahap yang boleh dipanggil melantak. Makan sampai tak sedar diri. Kenyang perut penuhpun masih nak suap masuk makanan dalam mulut! itu melantak namanya.

Berhenti bila dah hilang rasa lapar. Makan makanan yang seimbang. Pergi belajar perkara asas tentang makanan yang seimbang. Google saja dalam internet untuk ambil tahu makanan yang seimbang tu.

Pastikan jangan lupa untuk bersenam.

Tak payah nak berikan alasan tak ada masa, sibuk, suasana sekelilng dan kerja yang tidak mengizinkan untuk bersenam. Hendak seribu daya, tak hendak seribu alasan. Perah otak untuk pastikan anda boleh luangkan masa untuk bersenam. Paling kurang 3 kali seminggu dalam tempoh 45 minit sekurang-kurangnya.

Pilih untuk lebih banyak berjalan dan naik tangga dalam melakukan semua urusan kerja anda. Kurangkan duduk dalam kereta dan tekan butang lif untuk naik ke tingkat atas bangunan.

Seterusnya jaga tidur untuk rehatkan badan dan minda. Jika anda makan seimbang, banyak bergerak dan bersenam secara rutin, anda akan jadi mudah tidur sebenarnya. Oleh itu fokuskan pada jaga makan dan bersenam, bab tidur akan datang secara automatik. Jangan belasah tidur lebih dari 8 atau 9 jam sehari sudahlah!

Kuasai semua urusan anda

Ini juga amat penting untuk membina semangat yang tinggi.

Perlu kenal pasti apa perkara yang berada di dalam kawalan diri anda dan apa perkara yang berada di luar kawalan anda. Bila dah kenal pasti, pastikan anda hanya fokus pada perkara yang di dalam kawalan diri.

Tak payah nak merungut, menyampah, serapah dan lain-lain lagi pada perkara yang bukan berada di dalam kawalan diri anda. Tak gunapun sebab anda tak akan boleh buat apa-apa.

Bila berlaku sesuatu perkara yang tak kena, tanya apa yang anda boleh buat untuk baiki kedudukannya. Perah akal sampai jumpa dan hentikan nak marah kat orang lain. Tanya apa yang aku boleh buat. Tanya banyak kali sampai jumpa jawapannya dan bangun pergi buat.

Latih bergerak sendiri

Akhir sekali, anda perlu sentiasa latih diri untuk bergerak ke depan. Buat senarai perkara kecil-kecil yang perlu dilaksanakan dan laksanakannya sampai siap. Lepas itu buat lagi rencana lain dan buat dan begitulah seterusnya.

Belajar untuk senaraikan perkara kebaikan kecil-kecil yang baru yang boleh anda amalkan. Sehari satupun dah ok. Contohnya anda rancang untuk bantu orang angkat barang hari ini. Pastikan anda pekakan mata untuk lihat peluang untuk buat begitu.

Sebaik saja nampak segeralah pergi bantu. Minta kebenaran untuk membantu dan jika diizinkan terus buat. Bila selesai, anda akan dapat kepuasan yang amat tinggi. Semangat naik dan anda dah berjaya latih diri untuk merancang dan bergerak sendiri.

Tabiat wajib no. 2 untuk berjaya

Kalau tabiat wajib di atas anda dah faham dan hadam, perlu lanjutkan pula dengan aktiviti mengamalkannya.

Tabiat, bukan urusan mudah yang datang melekat dalam diri sekelip dalam masa sehari dua. Ia perlukan latihan tubi yang lama, sampai melekat jadi darah daging.

Untuk melekat jadi darah daging, anda terpaksa harungi segala cabaran untuk ulang buat amalan tersebut samada suka atau tidak.

Ia bermula dengan azam dan disiplin yang tinggi.

Terpaksa berdisiplin terlebih dahulu secara paksaan. Bila kerap diulang secara konsisten, ia akan melekat bertukar jadi tabiat.

Bila dah jadi tabiat, tak perlukan disiplin lagi sebab ia akan jadi 'default value' kepada segala pemikiran dan tindakan diri anda secara lancar.

Saya dah gariskan semua tindakan yang anda perlu buat untuk serap tabiat wajib no. 1 di atas.

Sekarang saya berikan tabiat wajib ada no. 2 pulak kat bawah ni.

#2. Hidup secara teratur dan fokus

Kalau ada orang sarankan, agar anda sentiasa sediakan sedikit masa setiap hari, untuk duduk berfikir, merancang segala urusan kehidupan anda sekarang, dan anda berikan jawapan seperti berikut kat bawah ni ..

“Saya tak ada masa untuk fikir semua tu!”

Itu tanda paling ketara yang membuktikan bahawa tabiat tersusun dan fokus tak ada dalam diri anda sekarang.

Tabiat rajin buat kerja tanpa henti memang ada pada ramai orang kat luar sana.

Paling rajin tak jemu membanting tulang dan memerah segala kudrat yang ada, dimiliki oleh semua orang yang kerja sebagai buruh kasar dalam semua lapangan kerja kasar.

Nelayan, petani, pekerja kontrak, pemotong rumput, pencuci bangunan, tukang angkut sampah dan seribu satu macam lagi pekerja yang seumpamanya tak perlu dinafikan lagi tahap kerajinan mereka.

Sebab itu bila pemimpin kita sebut Malayu susah sebab mereka malas, ada ramai juga orang yang marah. Pekerja buruh kelas bawah ramai dari kalangan orang Melayu.

Majoriti orang Melayu memang tak malas. Kalau tak serajin warga Bangladesh atau Indonesiapun, mereka tetap kerja kuat membanting tulang walaupun tak sehebat warga asing.

Apa yang tak ada pada mereka yang meyebabkan mereka susah dan tak berjaya meningkat, adalah tabiat diri “teratur dan fokus” ini.

Macam mana nak jadi teratur dan fokus?

Ianya ada kaitan yang amat rapat dengan cara anda menguruskan masa.

Bukan nak urus masa yang dah tetap sebanyak 24 jam sehari tu. Tapi bagaimana anda gunakan masa yang diberikan sebanyak 24 jam sehari itu.

Bila anda kata tak ada masa nak duduk berfikir merancang dan mengatur kehidupan, itu tandanya ada dah abaikan satu urusan paling penting untuk pastikan hidup berjaya. Anda tak ada masa untuk diri sendiri.

Itulah yang berlaku pada kebanyakan orang yang rajin kerja tak henti. Mereka belasah guna semua masa yang ada hanya untuk urusan fizikal tanpa luangkan masa untuk urusan mental.

Mudah cakap … malas bersusah payah untuk berfikir.

Mungkin anda anggap otak anda senantiasa berfikir. Tapi sebenarnya tidak!. Otak anda lebih banyak mengelamun melayan emosi yang tercetus mengikut keadaan semasa di mana anda berada.

Berfikir yang dimaksudkan disini adalah urusan memerah akal yang waras tanpa dibelenggu perasaan yang ada ketika itu.

Bila anda tak luangkan masa untuk berfikir dengan waras, tentukan sususan kerja dalam hidup anda, maka orang lain akan tolong berfikir untuk anda. Orang lain akan fikirkan kerja apa yang nak diberikan pada anda.

Anda akan senantiasa kerja teruk letih nak mampus sampai bila-bila.

Panduan hidup teratur dan fokus

Kalau anda masuk dalam kategori orang yang rajin yang saya gambarkan kat atas tu, saya mohon maaf kalau terasa.

Bukan bermaksud tak perlu rajin membanting tulang. Teruskan amalan baik tu. Jangan malas kerja.

Apa yang perlu anda tambah sekarang adalah, mula merancang kehidupan. Jadikan diri anda seorang yang teratur dan fokus untuk berjaya.

Macam mana nak buat?

Saya berikan panduan mudah kat bawah ni ..

Luangkan masa bersendirian

Kalau anda boleh sediakan masa untuk majikan, saudara, kawan, jiran, kenalan, dan semua orang lain, maka anda sepatutnya perlu sediakan juga masa untuk diri anda sendiri.

Bukan lamapun. Paling lama sejam.

Biasanya setengah jam dah mencukupi apabila anda jadikan amalan bersendiri ini sebagai rutin hidup.

Apa nak buat ketika bersendiri tu?

Semak status diri anda untuk 3 perkara berikut:

  • Apa yang sebenarnya sedang anda usahakan – Renung semula kesemua usaha yang sedang anda buat. Iaitu semua usaha atau kerja yang benar-benar sedang berlaku
  • Apa yang sepatutnya anda usahakan – Apa yang anda usaha tak semestinya betul ( sah atau legal atau tak salah). Juga tak semestinya mendatangkan faedah. Kadang-kadang anda buat hanya sebab terpaksa, orang suruh, layan nafsu dan sebagainya. Jadi apa sepatutnya yang perlu anda usahakan berbeza dari apa yang sebenarnya berlaku.
  • Apa yang anda benar-benar mahu usahakan – Ini pula hasrat hati anda sebenarnya. Semua usaha yang mendatangkan kepuasan, makna dalam hidup dan benar-benar idaman kalbu anda.

Elok urusan buat senarai tu dilakukan dengan menconteng kertas A4. Pecahkan pada 3 bahagian.

Urusan semak kedudukan diri di atas perlu selalu dilakukan. Tak kisah samada anda seorang yang sedang makan gaji atau seorang usahawan.

Kalau setiap pagi anda mula buat urusan semak 3 perkara tersebut kat atas, anda akan dapat jauhkan diri dari tersasar dan tersesat jauh sangat dari kesilapan dan buang masa.

Kerja semak kat atas tu juga boleh dibuat untuk semua urusan harian, mingguan, bulanan, tahunan atau jangka masa yang lebih panjang.

Setiap kerja atau usaha yang anda senaraikan perlu diikuti dengan pertanyaan samada urusan itu perlu dibuat atau tak perlu.

Perlu ertinya ia kritikal atau penting untuk diri anda. Tak perlu ertinya kalau anda tinggalkanpun tak ada apa-apa kesan samada jangkamasa pendek atau panjang.

Kalau tak perlu, buang saja dari senarai.

Akhirnya, yang tinggal hanyalah semua urusan atau usaha yang perlu dilaksanakan dalam 3 kategori yang sama:

  • Sedang berlaku – apa yang sedang anda buat. Contoh: Buat sales di media sosial.
  • Sepatutnya berlaku – pembaikan yang perlu dilakukan segera. Contoh: Fokus pada hasil dan elakkan dari hanyut layan sampah di medai sosial.
  • Teringin berlaku – pembaikan yang perlu diusahakan di masa depan. Contoh: Upah profesional atau gajikan orang untuk lakukan semua itu.

Sediakan buku nota

Sehebat manapun anda rasa daya ingatan yang ada dalam otak tu, biasanya orang hanya mampu ingat dalam 5 ke 9 idea saja dalam kepalanya.

Jangan susahkan hidup untuk hafal teruk-teruk kesemuanya dalam kepala.

Senarai 3 kategori yang saya cadangkan anda buat dan perlu semak ketika bersendirian kat atas tadi tu dah cukup banyak. Itulah tujuan Buku Nota ni perlu disediakan.

Bila dah pasti segala tindakan yang perlu anda ambil untuk laksanakan urusan ke-2 dan ke-3 kat atas tadi, masukkan semuanya ke dalam buku nota.

Semua perkara itu akan jadi Pelan Tindakan yang perlu anda laksanakan.

Sentiasa semak keutamaan

Bila dah ada senarai pelan tindakan kat atas tadi tu, anda perlu sentiasa perhatikan mana yang paling utama dan mana yang paling tidak penting.

Selesaikan yang paling utama terlebih dahulu.

Jangan sesekali buat 2 atau 3 kerja dalam satu masa. Jangan campur aduk kerja kononnya supaya boleh selit sana dan sini untuk jimatkan masa.

Selesaikan satu persatu dengan sempurna sebelum nak beralih kepada urusan lain pula.

Elak gangguan

Setiap kali anda nak bersendirian, nak buat semakan usaha, nak semak keutamaan dan sebagainya, pastikan tidak ada gangguan.

Samada kawan, rakan kerja, orang bawah, keluarga, media sosial, smart phone atau apa saja.

Bukan lamapun, hanya 30 minit saja.

Sediakan tempat yang sesuai yang membolehkan anda mengelak dari sebarang gangguan.

Susun atur hidup secara serius

Semua panduan kat atas tadi adalah sekadar untuk teruskan dengan apa yang anda sedang buat dalam hidup. Tapi dengan cara yang lebih tersusun dan teratur serta fokus.

Jika anda dah selesa amalkan buat kerja secara tersusun dan fokus itu, anda akan perlukan satu lagi aktiviti yang serius dan penting.

Ianya berkenaan jangka masa yang lebih panjang bermula dari sekarang.

Matlamatnya adalah untuk pastikan anda susun dan atur hidup secara lebih serius.

Untuk susun atur hidup dengan serius anda perlu mula dengan meluangkan masa membuat satu sasaran.

Apa yang anda nak capai dalam tempoh masa sekurang-kurangnya 5 tahun dari sekarang.

Ambil kertas kosong, duduk seorang diri tanpa ada sebarang gangguan, mula berfikir dengan mendalam untuk jawab soalan ..

5 tahun lagi kedudukan aku kat mana?

Jawab soalan penting ini dengan serius

Kalau anda masih makan gaji, mungkin anda dah ada jawapan jelas jika ada niat nak jadi usahawan.

Kalau anda tak ada lagi hasrat nak jadi usahawanpun dalam tempoh 5 tahun lagi, nak teruskan makan gaji juga, anda masih perlu fikir secara serius nak jadi apa 5 tahun lagi dari sekarang.

Jika anda memang dah berniaga secara sepenuh masa, lagilah penting untuk jawab soalan penting ini. Jangan sampai ada pekerja anda tarik satu hari nanti dan tanya pada anda salan yang sama.

Soalan cepumas yang akan membuatkan usahawan kelihatan bodoh adalah bila pekerjanya tanya, soalan berikut ..

Boss!, 5 tahun lagi kedudukan saya kat syarikat ni macam mana?

Soalan cepumas pekerja pada taukeh

Anda akan kelihatan bodoh bila tak mampu nak jawab soalan tu pada pekerja. Baru sedar selama ini kenapa pekerja tak setia dan cabut bila ada peluang yang lebih baik. Baru sedar masalahnya bukan pekerja, tapi anda sendiri yang bermasalah.

Boss yang bermasalah adalah Boss yang tak tahu ke mana dia nak pergi!. Tak tahu syarikatnya nak dibawa ke mana.

Fokus pada satu matlamat

Bila anda luangkan masa untuk fikirkan soalan di atas tadi, anda akan secara lansung berlatih untuk fokus.

Kalau dalam tempoh 5 tahun dari sekarang anda sasarkan nak jadi nelayan hebat, petani of the year, kontraktor bangunan disegani dan dalam masa yang sama jadi pekerja terbaik ditempat kerja anda ..

Memang sah anda ada masalah kecelaruan daya fokus dalam hidup.

5 tahun pun dah ada banyak matlamat, apatah lagi jika lebih dari 5 tahun.

Sebenarnya, nak jadi semua benda sama saja macam tak nak jadi apa-apapun. Hanya membuang masa hanyut dari satu mimpi ke mimpi yang lain. Sedar-sedar orang dah baca surah Yasin kat sebelah katil.

Oleh itu sila fokus pada satu sasaran saja. Kalau ada 10 sasaran, sila tapis dan tapis sehingga tinggal satu. Jika anda fikir baik-baik, sudah pasti hanya ada satu saja sasaran yang jika anda capai sasaran itu, kesemua 9 lagi sasaran yang anda letak, jadi tak penting lagi.

Apa satu sasaran itu?

Buat senarai tindakan utama

Bila dah puas hati dengan sasaran yang anda mahu capai. Anda perlu fikirkan pula bagaimana nak capai sasaran tersebut.

Apa yang anda perlu ada dari segi fizikal, mental dan material untuk mencapai sasaran yang telah ditetapkan.

Katakan sekarang anda masih makan gaji. Dan anda sasarkan 5 tahun dari sekarang dah ada syarikat dan perniagaan sendiri yang dijalankan secara sepenuh masa.

Apa tindakan yang perlu diambil untuk pastikan 5 tahun lagi anda jadi usahawan sepenuh masa?

Proses ini akan jadi sama dengan aktiviti yang saya terangkan pada mula tadi.

Amalkan tabiat wajib no. 2

Panjang sungguh saya goreng pasal tabiat wajib no 2 yang wajib ada pada anda yang nak jadi usahawan berjaya.

Sebenarnya asasnya mudah saja.

Pastikan anda susun atur hidup dan fokus pada segala kerja yang dilakukan.

Itu saja petuanya.

Mudah nak cakap. Tapi tak mudah nak amalkan.

Anda boleh cari jalan sendiri untuk jadikan hidup tersusun dan fokus. Tak perlu ikut cara yang saya cadangkan kat atas tu.

Yang pastinya, perlu biasakan diri bersedirian, merancang dan membuat catitan. Sentiasa semak keutamaan dan selesaikan satu urusan sampai sudah sebelum ke urusan lain pula.

Itu asasnya yang perlu ada.

Kita sambung lagi kat bawah ni berkenaan 3 tabiat paling penting wajib ada pada semua usahawan yang nak berjaya dalam perniagaan mereka.

Saya dah berikan 2 tabiat di atas, seperti berikut:

  • Punya semangat yang tinggi
  • Terurus dan fokus

Kalau nak jadi usahawan, semangat kena tinggi. Lebih daripada kawan-kawan lain yang makan gaji.

Dengan semangat yang tinggi itulah yang buat anda berani laburkan masa, usaha dan harta yang ada untuk mulakan perniagaan. Biar apa orang nak kata, anda tetap berusaha sampai jadi.

Bila dah berani ambil risiko, janganlah pulak main hentam keromo, belasah berusaha tanpa ada perancangan dan daya tumpuan yang tinggi.

Semangat tinggi saja tak cukup.

Ramai yang berani ‘mati’ berhenti kerja, habiskan masa, tenaga dan duit ringgit untuk berniaga. Tapi akhirnya terkandas teruk sehingga susah nak pulih.

Puncanya adalah disebabkan main terjun, hentam ikut emosi dan rasa syok sendiri yang berlebihan. Tak ambil tahu mana yang tak penting dan mana satu yang amat penting.

Perlu gabungan kedua-dua tabiat

Bila anda berusaha menjayakan perniagaan, ada seribu satu kerja yang perlu dilakukan. Tak ada orang yang nak bantu jernihkan susun atur senarai kerja berdasarkan keutamaannya yang sebenar.

Malah semua orang akan berikan tekanan bahawa urusan yang berkaitan dengan dia adalah urusan paling penting di dunia ini.

Pembekal kata dia paling penting, pelanggan kata dia lebih penting, saudara mara juga kata begitu, macam tu juga kawan-kawan, jiran, bank, pihak berkuasa, pekerja, pembantu, penasihat tak diundang .. semua orang kata kerja dia paling penting !

Kalau ikut semua (maklumlah semangat anda tu tinggi!), setiap saat hidup dalam dunia perniagaan anda dipenuhi oleh tekanan kerja penting untuk semua orang yang terlibat.

Anda tak akan sempat nak guna otak untuk buat keputusan.

Kalau tak latih diri untuk uruskan masa dengan kerjaya berdasarkan keutamaannya, kalau tak ada daya tumpuan yang tinggi, anda akan hanyut dengan pantas.

#3. Bina jaringan sokongan

Ini tabiat no. 3.

Tabiat terakhir yang anda perlu ada, pupuk sampai jadi sebati dengan darah daging, kalau nak pastikan kemungkinan usaha perniagaan anda berjaya adalah tinggi.

Anda wajib paksa diri untuk pergi mengadakan sistem bantuan yang dapat memberikan segala sokongan dan pertolongan yang anda perlu dalam pelayaran anda menuju kejayaan.

Bila anda jadi usahawan, anda sebenarnya meletakkan diri dalam dunia yang terasing dan kesunyian. Tambah pulak kalau pasangan hidup tak mahu terlibat dengan apa yang anda usahakan.

Dari awal lagi anda akan rasa sunyi sepi melayang macam kapal angkasa rosak di angkasa. Walaupun secara fizikalnya anda dikelilingi oleh ramai orang, tapi hakikatnya tak ada orang yang nak dengar masalah yang anda hadapi.

Anda akan terpaksa berlakon, pakai topeng yang memberikan gambaran semuanya ok. Ya lah!, takkan nak buat muka sedih hilang keyakinan bila orang tanya pasal perniagaan anda.

Hakikat kedudukan perniagaan anda yang sebenar, anda sendirilah layan seorang diri di malam sunyi sambil merenung bintang di langit. Lebih-lebih lagi masa awal berniaga ketika semuanya dalam keadaan tidak pasti.

Jadi nak buat macam mana?

Bina sistem bantuan luar anda

Untuk keluar dari dunia sunyi dan gelap itu, anda perlu bina rangkaian sistem bantuan yang diperlukan supaya anda selamat dari menjadi murung teruk.

Perkara pertama yang anda perlu segera lakukan adalah dengan buat urusan yang ramai orang tak berjaya (lagi) tak suka ikut.

Perkara itu adalah mula pilih kawan berdasarkan kepentingan. Nyah semua kawan yang tak boleh bantu anda maju ke depan dan gantikan dengan mereka yang hanya bermanfaat.

Bab ini, ramai yang akan rasa meloya dan tak setuju dengan saya.

Tak sanggup nak singkirkan kawan-kawan lama, samada yang baik atau yang buruk. Tak sanggup dikatakan jenis pilih kawan, tak setia kawan dan lain-lain lagi yang sama buruk dengannya.

Isi masa dengan kawan yang betul

Untuk jelaskan masalah tersebut. Saya bukan suruh tinggalkan kawan-kawan negatif tak ada kepentingan tu terus. Erase nama mereka dari ingatan dan lupakan segala kenangan bersama yang lalu. Mana boleh buat macam tu!.

Anda tetap kawan dengan semua kawan yang anda kenal sekarang. Kalau mereka kesempitan perlukan bantuan kritikal, sudah tentu jadi tanggung jawab anda untuk berikan bantuan jika mampu.

Kalau mereka jemput makan kenduri tahlil, sudah tentu anda perlu pergi jika kelapangan.

Anda hanya perlu tambah masa dengan kawan-kawan yang bermanfaat dan kurangkan masa bersama mereka yang tak mendatangkan manfaat.

Itu saja, bukannya pangkah terus.

Buat semua kawan-kawan yang ada sekarang dan tandakan kawan mana yang paling banyak anda habiskan masa bersama. Tanda berdasarkan yang paling banyak masa sehingga paling kurang.

Fikirkan semula kawan paling lama anda habiskan masa tu samada dia memberikan manfaat yang anda perlukan untuk berjaya dalam urusan perniagaan dan kehidupan anda sejak 6 bulan yang lalu.

Contohnya jika kawan anda itu merupakan sumber idea, pencetus inspirasi atau banyak membuatkan anda tersedar ke bumi nyata, maka kekalkan kekerapa bertemu dengannya.

Tapi kalau kawan anda itu, hanya kaki buat lawak, dengan menjadikan orang lain sebagai badut untuk dilekehkan. Walaupun anda terbahak-bahak ketawa gembira. Walau pun anda juga sering tumpang tuang minyak naikkan api kerja tak berfaedah tu.

Elok kurangkan masa bersama dengannya. Tak akan membantu untuk melonjakkan segala usaha anda untuk berjaya.

Itu contoh antara 2 pangkal yang saya rasa boleh buat anda faham apa maksud saya.

Isi masa dengan bahan yang betul

Selain dari buat aktiviti menapis kawan-kawan, anda juga perlu tapis bahan-bahan sokongan lain yang banyak habiskan masa anda selama ini.

Maksudnya, lihat semula jenis buku, majalah, blog, akhbar, portal berita dan lain-lain seumpamanya. Yang banyak anda habiskan masa membaca dan melayarinya.

Buat juga senarai rancangan TV yang anda tonton.

Adakah bahan-bahan tersebut membantu untuk anda berkembang. Adakah bahan-bahan itu diperlukan untuk pastikan usaha anda lancar dan berjaya?

Semak satu persatu. Buat analisa secara jujur. Kalau tak ada faedah, singikirkan dari senarai keutamaan anda.

Contohnya anda jadi pembaca tegar Harakah. Tak pernah lepas beli dan sentiasa baca habis. Siap hafal lagi isu utama untuk dibahaskan di tangga surau selepas solat insya.

Adakah ia membantu perniagaan jual peralatan sukan anda?

Tentu anda sendiri boleh jawab.

Buat pengisian kekosongan semula

Kalau anda buat betul-betul apa yang saya sarankan kat atas tu. Sudah pasti akan ada banyak kekosongan yang perlu diisikan semula.

Perlu cari kawan baru untuk dihabiskan masa lebih kerap. Tambah lagi kalau kesemua 5 atau 6 orang kawan akrab yang anda ada sekarang jenis gossip politik 24 jam sampai bawa ke mimpi.

Perlu juga isikan bahan baru untuk digantikan dengan bahan yang tak mendatangkan faedah yang anda nak buang sekarang.

Tambah kawan dari kalangan usahawan yang berbeza industri. Cari mentor. Cari juga seorang role model yang anda kagum dan mula ikuti semua perkembangannya.

Fikir semula keperluan utama anda

Untuk isi kekosongan yang saya sebutkan kat atas tadi, anda perlu fikir betul-betul apa yang anda perlukan sekarang.

Samada dari segi ilmu, kemahiran atau bantuan lain seperti sokongan moral, tekanan positif dan seumpamanya.

Ilmu apa yang anda perlu tambah. Kemahiran apa yang anda perlu tingkatkan. Penasihat macam mana yang anda perlu cari dan sebagainya.

Dari siapa anda boleh dapat semua itu. Dari mana anda boleh rujuk untuk maklumat sebegitu.

Bila dah kenal pasti semua itu, anda boleh mula cari semula samada kawan, buku, majalah, portal dan sebagainya untuk dijadikan bahan sokongan dan bantuan untuk anda berjaya.

Anda juga boleh tambah lagi dengan aktiviti seperti seminar, kelas, forum, WhatsApp Group, FB Group dan sebagainya.

Dapatkan bantuan coach

Satu lagi cara mudah untuk mendapatkan bantuan dan sokongan adalah dengan menggunakan khidmat Business Coach.

Seorang coach yang baik mampu memberikan banyak bantuan terhadap keperluan anda untuk berjaya. Dia juga boleh mendorong dan memberikan tekanan supaya anda buat kerja sampai berjaya.

Pilih coach yang ada track record bantu orang lain untuk berjaya melalui program atau khidmat profesionalnya. Setakat dia mengaku seorang coach hebat belum tentu dapat membantu anda.

Pastikan coach yang fokus pada hasil. Bukan yang hanya sekadar kaki sembang kencang dan lebih fokus pada buat duit untuk kekayaan dirinya sendiri.

Ringkasan 3 tabiat wajib ada

Tamat sudah kesemua 3 tabiat yang anda perlu ada untuk pastikan supaya anda berjaya.

Bukan banyakpun. Hanya 3 sahaja. Tapi kesemuanya itu adalah senarai wajib ada. Tak ada pilihan kalau anda nak berjaya.

Memang ada banyak tabiat yang orang surah serapkan masuk ke dalam diri. Kalau anda rajinbaca buku, berbagai teori diberikan dalam bab tabiat ni.

Oleh sebab saya tak suka nak serabutkan diri sendiri dan juga kawan-kawan pembaca yang saya hormati, maka saya kongsikan konsep 3 tabiat hidup ringkas yang saya yakin sudah mencukupi.

Sila amalkan dan kongsikan kat sini bila dah berjaya nanti.


Post a Comment

Previous Post Next Post