Ini 4 nasihat Robert Kuok pada orang muda yang mahu berjaya dalam usaha mereka


Data tahun 2021 menunjukkan Robert Kuok berada di senarai ke 104 orang paling kaya di dunia. Jumlah kekayaannya bernilai USD12.6 billion.

Untuk makluman, ada seramai 2,755 orang kaya dunia yang mencapai taraf billionaire. Jumlah keseluruhan kekayaan semua billionaire itu bernilai USD13.1 Trillion.

Dari data Forbes, yang menyatakan bahawa 0.35 billionaire untuk setiap satu juta penduduk mukabumi, saya buat kiraan, dapat begini ..

Untuk setiap 2.86 juta penduduk bumi, ada seorang billionaire. Dalam ertikata lain, mereka ni adalah 1 antara 2.86 juta manusia istimewa banyak hartanya.

Jumlah billionaire paling ramai ada di Amerika, seramai 724 orang. Kedua di China seramai 698 orang dan ke-3 pula di India, seramai 237 orang.

Diikuti dengan Jerman, 136 orang dan Russia, 117 orang.

Malaysia ada seramai 12 orang. Dan yang paling kaya antara 12 orang itu adalah Robert Kuok.

Ringkasan tentang Robert Kuok

” Jangan tamak hanya sebab sesuatu itu besar, jangan putus asa hanya sebab sesuatu itu kecil “

Yang saya tulis atas itu merupakan antara pegangan Robert Kuok yang dikenali juga sebagai ‘Raja Gula’.

Atas dasar itu, beliau tetap tekun membina perniagaan gula walaupun peratusan keuntungan dari perniagaan itu adalah rendah. Begitu juga dengan perniagan lain seperti bijirin dan minyak masak.

Ayah Robert Kuok, Kuok Keng Kang berhijrah untuk mencari makan ke sini pada hujung abad ke 19. 

Dia bermula dari bawah, kerja kuat dan berjimat cermat sehingga berjaya membuka sebuah kedai Kopi.

Ketika Robert Kuok, masih bersekolah, bapa saudara beliau yang menjalankan perniagaan beras, kacang soya dan gula memberikan hak perniagaannya pada ayah Robert Kuok. 

Di situ bermulanya empayar perniagaan bijirin dan gula Robert Kuok.

Robert Kuok tidak dapat meneruskan pengajiannya di Universiti akibat serangan tentera Jepun di Tanah Melayu.

Selepas perang tamat, dia mula membantu perniagaan bijirin dan gula keluarga.

itu menjadi pendedahan awal Robert Kuok menyelami ilmu perniagaan dengan amalan kejujuran, tidak tamak dalam buat untung dan sentiasa menghormati kepentingan pelanggan.

Robert Kuok menubuhkan syarikat perniagaan pertamanya yang diberi nama Li Ke Wu pada tahun 1947.

Syarikat pertamanya itu menjalankan perniagaan gula.

Nama syarikatnya kemudian ditukar kepada Kuok Brothers Limited apabila dia mula melibatkan diri dalam aktiviti perniagaan perkapalan.

Ayah Robert Kuok sentiasa mementingkan urusan membina jaringan. Dia terkenal sebagai seorang usahawan berjaya ketika itu dan membina perhubungan rapat dengan pengasas UMNO, Dato Onn Jaafar.

Selain itu, ayah Robert Kuok juga mempunyai hubungan yang baik dengan Sultan Johor, Sultan Ibrahim.

Dari ayahnya beliau didedahkan pada falsafah perniagaan awal. 

Robert Kuok juga mempunyai kenalan yang hebat-hebat ketika zaman persekolahannya. Mendiang Lee Kuan Yew merupakan kenalan sekolahnya ketika sama-sama menuntut di Raffles Institution, Singapura.

Arena antarabangsa Robert Kuok

Pada satu ketika, perniagaan Robert Kuok dilanda masalah. Dia mengambil keputusan untuk berehat sebentar dari dunia perniagaan dengan pergi ke Britain.

Itu adalah satu keputusan paling baik yang dia pernah buat kerana sesampainya di sana, dia kagum melihat bagaimana orang putih menjalankan perniagaan mereka.

Dilihatnya orang putih punyai skil perniagaan yang cemerlang dengan pengurusan perniagaan yang teratur.

Dia juga terkesan dengan model perniagaan orang putih yang ke depan berbanding apa yang pernah dilihatnya sebelum itu.

Tidak menghairankan kerana ketika itu Britain merupakan sebuah negara yang sudah maju ke depan.

Antara perkara paling diberikan perhatian oleh Robert Kuok adalah terhadap perniagaan ‘Stock Trading’ dan juga ‘Future Trading’.

Idea bagaimana untuk menjalankan perniagaan gula dengan lebih jauh dan besar mula timbul dalam kepalanya.

Pendedahannya lebih kurang sama dengan Li Ka Sheng yang melihat kesempatan baik yang boleh direbut ketika orang putih mahu tinggalkan Hong Kong.

Robert Kuok juga melihat kesempatan yang sama ketika zaman orang putih mahu tinggalkan Malaya.

Bermula dari situ, kita dapat saksikan Robert Kuok terus gemilang naik menjadi orang paling kaya di Malaysia.

Banyak lagi cerita menarik tentang Robert Kuok ini. Dia ada tulis memoir. Banyak yang dah orang tulis pasal dirinya di merata tempat. Boleh google saja kalau berminat.

Antara yang menarik bagi saya tentang Robert Kuok adalah kefasihannya berbahasa Melayu.

Dia mampu berbicara bahasa Melayu siap dengan peribahasa. Dikatakan kefasihan Robert Kuok berbahasa Melayu mampu membuat ramai orang Cina lain yang lahir dan membesar di Malaysia merasa malu.

Nasihat Robert Kuok pada orang muda

Berikut saya berikan ringkasan 4 nasihat Robert Kuok pada orang-orang muda di luar sana yang mahu berjaya dalam perniagaan mereka.

Moga nasihat Robert Kuok yang baik ini dapat kita jadikan panduan untuk merintis jalan kejayaan kita dan jenerasi kita yang akan datang.

#1. Jangan berhenti mengejar peluang

Tak kira apa yang anda lakukan, jangan sesekali berhenti dari mengejar peluang yang ada di sekeliling. Sebaik saja ada peluang, tangkap peluang tersebut dan jangan berlengah-lengah. Pastikan anda kekal bermotivasi untuk semua itu.

#2. Sentiasa bersabar

Tidak ada jalan yang mudah dalam melakukan apa saja urusan kita untuk berjaya. Oleh itu bersabarlah. Jangan putus asa macam pondan (itu saya tambah). Bangun dan teruskan perjalanan setiap kali jatuh. Itu merupakan sikap yang wajib ada pada semua usahawan yang nak berjaya.

#3. Waspada dengan kejayaan

Ambil perhatian berat untuk sentiasa berwaspada terhadap kejayaan yang anda tempuh. Jika orang percaya kegagalan adalah sumber kepada kejayaan, berdasarkan pengalaman Robert Kuok, kejayaan juga boleh menjadi sumber kepada kegagalan.

#4. Jangan lupa menyumbang

Jangan lupa matlamat akhir ini. Jangan lupa untuk berikan semula sumbangan anda pada masyarakat bila dah menempa kejayaan. Lagi banyak yang anda sumbangkan lebih baik sebenarnya.

Sebagai orang yang mahu berjaya, kita jangan sesekali membenarkan orang memandang rendah pada keupayaan kita.

Jangan buang masa habiskan waktu degan mengejar hiburan siang dan malam. Gunakan masa yang ada untuk berusaha.

Memang ada ramai orang yang jauh lebih bijak daripada kita sebenarnya, itu pasti.

Tapi bijak saja tak cukup jika masa dihabiskan dengan berfoya-foya membuang masa.

Orang yang average macam saya dan anda senang-senang saja meinggalkan mereka yang jauh lebih bijak itu jika kita istiqamah berusaha tanpa membuang masa.

Pesan tambahan Robert Kuok pada orang muda

Satu lagi pesan beliau pada orang muda. Sentiasa cari dan buat kawan. Biar berkawan ramai, seramai mungkin.

Tapi ingat !

Anda perlu pandai bezakan, mana satu kawan yang baik dan mana satu kawan yang buruk…

moga ada manfaatnya.

Sumber gambar: Klik di sini

Post a Comment

Previous Post Next Post